Tasik Chini berisiko dilucutkan status UNESCO
PARIS: Tinjauan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang disiarkan mengenai Tasik Chini baru-baru ini mendapati ia tidak lagi memenuhi kriteria ditetapkan.
Menurut tinjauan berkala pertama itu, Tasik Chini itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka dan berisiko dilucutkan statusnya sebagai rizab biosfera.
UNESCO bagaimanapun, memberi tempoh kepada Malaysia sehingga 30 September ini untuk memaklumkan badan dunia itu mengenai perancangan untuk merawat dan memulihkan Tasik Chini serta tanah lembap di sekelilingnya supaya kembali sihat.
Menurut laporan khas di South China Morning Post (SCMP), sekiranya Malaysia gagal berbuat demikian, Tasik Chini akan dilucutkan status biosfera.
Tasik air tawar yang kedua terbesar di Malaysia dengan kawasan tanah lembap di sekelilingnya itu diiktiraf oleh UNESCO pada 2009 sebagai 'rizab biosfera' pertama negara di mana pembangunan secara mampan sepatutnya diamalkan untuk melindungi ekosistem yang rapuh.
Tasik Chini yang terletak di Pahang amat berharga bagi negara kerana diperkaya dengan pelbagai lagenda dan dikhabarkan mempunyai sebuah bandar purba yang tenggelam selain mitos menyatakan ia didiami dewa naga.
Namun, Tasik Chini kini berisiko kehilangan status itu, selepas terdapat kegiatan perlombongan dan pembalakan yang berleluasa di sepanjang pantainya sehingga meracuni air dan memusnahkan habitat semula jadi.
Menurut laporan SCMP, pihaknya melihat tiada penyelarasan tugas antara jabatan perhutanan dan pejabat tanah di mana kedua-duanya bertindak secara bersendirian.
SCMP juga melaporkan, kebanyakan keputusan penting dibuat oleh 'orang
luar' yang tidak berada atau tidak terbabit secara langsung dengan di
Tasik Chini. - AGENSI
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.