PKR sedia hadapi PRU-15
Port Dickson: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekiranya ia diadakan pada bila-bila masa selepas 31 Julai ini.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sepertimana dijelaskan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, tidak ada pilihan raya sebelum 31 Julai ini.
Namun, katanya, Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) terbatal apabila ada pilihan raya.
"Cuma sekarang kita nak desak beberapa isu yang belum selesai, Anti Lompat Parti sudah beres, yang belum (selesai) soal tadbir urus, penyelewengan dan rasuah.
"Ini memang satu yang kita ketengahkan kerana hal-hal ini seolah-olah menjadi kegiatan harian, ada sahaja terbongkar mengenai wang rakyat yang tidak diuruskan dengan baik," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Dataran Segar Huat Huat Food Court, Lukut, semalam.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan PH akan terus berkuatkuasa sehingga Parlimen dibubarkan.
Bagaimanapun Annuar berkata, ia terpulang kepada pihak yang menandatangani perjanjian itu sekiranya ingin menyemak semula perkara berkenaan.
Sementara itu, Anwar berkata, selepas Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat parti diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, PH akan terus mendesak kerajaan memberikan keutamaan dalam beberapa isu lain sebelum Parlimen dibubarkan termasuk berkaitan transformasi pentadbiran.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.