https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tak wajar pertikai Anwar PM, kata Annuar

 


PETALING JAYA: Pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tidak wajar terus dipertikai, kata Annuar Musa.

Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian kerana proses pelantikan telah selesai dan Agong mempunyai kuasa mutlak melantik perdana menteri yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Tumpuan kini haruslah untuk membentuk sebuah kerajaan yang mampu menunaikan tugas dan berkhidmat untuk rakyat dan negara.

“Dalam keadaan sekarang, yang diperlukan bukan saja perpaduan nasional tetapi juga rekonsiliasi nasional. Hentikan pertikaian, perkasakan muafakat dan kerjasama,” katanya di Facebook.

Ketua Umno Ketereh itu berharap Parlimen menjadi tempat suburnya amalan demokrasi berparlimen negara dengan nilai dan etika anggotanya.

“Marilah kita sama sama mendoakan agar semua 221 orang Ahli Parlimen yang telah terpilih itu akan menunaikan tanggungjawab mereka sebaik mungkin,” katanya.

Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 Khamis lalu dan memimpin kerajaan perpaduan dianggotai Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai 82 kerusi, diikuti BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (6) serta parti lain termasuk Ahli Parlimen bebas dengan sokongan sudah mencecah dua pertiga.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu antara pihak kuat menentang sebarang cadangan Umno-BN bekerjasama dengan PH terutama DAP, selain mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan kekalahan besar parti itu pada PRU15.

Jumaat lalu, tular di Twitter pertemuan antara pemimpin BN dan PAS dikatakan berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort dari 10.30 pagi hingga tengah hari Khamis.

Hantaran itu menyatakan antara pemimpin hadir termasuk bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, Annuar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Presiden MCA Wee Ka Siong dan setiausaha akhbar Annuar, Tun Faisal Ismail Aziz.

Khabar angin berhubung pertemuan di Tropicana Golf & Country Resort yang diberi jolokan “Langkah Tropicana” itu berlegar di media sosial, disertakan dengan beberapa gambar yang didakwa dirakam ketika pertemuan berkenaan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.