https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dakwaan kartel sorok bekalan telur kerana PRU15 tak berasas, kata KPDNHEP


 

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyifatkan dakwaan wujud kartel menyorok bekalan telur ayam sebelum dan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak berasas.

Ketua Setiausahanya, Azman Mohd Yusof berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kegiatan terbabit.

“Sekiranya berlaku, pengguna boleh buat laporan kepada kami dan Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP akan jalankan siasatan, tetapi perlu kemukakan aduan terperinci bagi memudahkan pihak kami,” katanya menurut laporan Bernama.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai bekalan telur ayam kembali pulih di pasaran, namun dijual pada harga tinggi, selain dakwaan kewujudan kartel telur ayam memanipulasi bekalan.

Bagi isu kenaikan harga telur ayam di pasaran, Azman berkata, tindakan boleh diambil terhadap pemain industri mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

“KPDNHEP sentiasa peka dengan aduan pengguna bagi memastikan barangan kawalan bersubsidi sentiasa dipantau dan tidak dimanipulasi pemain industri.”

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, seramai 2,205 pengeluar, pemborong dan peruncit ayam serta telur ayam dikompaun RM534,200 atas pelbagai kesalahan sejak 5 Feb lalu hingga semalam bagi membanteras pencatutan harga barangan kawalan bersubsidi.

Daripada jumlah itu, katanya, 153 tindakan melibatkan kesalahan menjual melebihi harga maksimum, tidak mempamerkan tanda harga merah jambu pada barang kawalan (1,980) dan tidak mempamerkan tanda harga (72).

“Tindakan dan kompaun terbabit dikenakan terhadap 13 pengeluar, 54 pemborong dan 2,138 peruncit bekalan ayam dan telur ayam, dengan nilai sitaan RM336,634.”

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan pengguna membuat aduan melalui enam saluran rasmi KPDNHEP, iaitu Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245, aplikasi Ez-ADU, talian hotline 1-800-886-800, WhatsApp 019-279 4317/019-848 8000, portal e-Aduan http://e-aduan.kpdnhep.gov.my dan e-mel eaduan@kpdnhep.gov.my.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.