https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Muhyiddin perlu berhenti merengek, belajar jadi pembangkang berwibawa'


 Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berhenti mempertikaikan pelantikan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Zahid, yang dinamakan sebagai timbalan perdana menteri dalam kabinet Anwar berkata, Muhyiddin mesti akur bahawa kuasa melantik perdana menteri terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

"Muhyiddin seolah-olah terus meroyan apabila gagal dilantik sebagai perdana menteri dan tidak sampai 24 jam kabinet angkat sumpah Muhyiddin menuduh pembentukan kerajaan dan kabinet tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat yang tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara.

"Muhyiddin lupa kuasa perlantikan perdana menteri ialah atas kuasa baginda Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Pelantikan yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ini juga selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara,” kata Zahid dalam satu kenyataan hari ini.

Zahid berkata perbincangan khas itu bertujuan agar Yang di-Pertuan Agong mendapat pandangan Raja-raja Melayu bagi membolehkan baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

"Begitu pelantikan kabinet. Perdana menteri telah mempersembahkan senarai semua ahli jemaah kabinet kerajaan perpaduan bagi mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," kata Zahid.

Tambahnya, selepas mendapat perkenan daripada Agong barulah diumumkan oleh perdana menteri.

"Ini berbeza dengan situasi pelantikan duta Indonesia suatu ketika dahulu yang seolah-olah tiada perkenan Istana Negara," katanya merujuk kepada pengumuman awal ahli parlimen Pasir Salak ketika itu Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang kemudiannya ditarik balik pada bulan Julai.

“Muhyiddin perlu menghormati segala pelantikan ini dan tindakan Muhyiddin dan sekutunya yang cuba mempertikaikan segala pelantikan ini adalah gambaran wajah sebenar Muhyiddin dan sekutunya yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu," kata Zahid.

Katanya, Muhyiddin dan sekutunya perlu berasa malu kerana dilihat gila kuasa sehingga sanggup mempertikaikan keputusan institusi Raja-raja Melayu.

"Mereka perlu mencontohi parti DAP yang lebih mementingkan kepentingan negara daripada kepentingan parti dan individu,” katanya lagi.

Kata Zahid, pengerusi PN itu dan sekutunya perlu belajar menjadi pembangkang yang berwibawa dan bukannya merengek dan terus tidak dapat menerima hakikat gagal menjadi perdana menteri dan gagal membentuk kerajaan.

Zahid turut mempertahankan pelantikan Anwar sebagai menteri kewangan dengan menyorot prestasi Anwar sebelum ini.

"Kritikan Muhyiddin bahawa tindakan perdana menteri yang memegang jawatan menteri kewangan tidak melihat keperluan semasa yang memerlukan Anwar yang dikenali berprestasi tinggi pernah menguruskan kewangan dan ekonomi Malaysia pernah surplus budget, iaitu pendapatan melebihi perbelanjaan negara.

"Anwar juga pernah diiktiraf sebagai menteri kewangan terbaik dunia oleh Euro Money Magazine dan Menteri Kewangan Terbaik Asia oleh Asia Money Magazine.

"Anwar juga pernah mendapat The Asian of The Year dan Malaysia mendapat gelaran The Asian Tiger kalangan negara Asia ketika Anwar menjadi menteri kewangan," kata Zahid sambil menambah bahawaekonomi merosot semasa pentadbiran Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.