https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hentilah ‘bernostalgia’, terima hakikat, Khairuddin beritahu PN


 PETALING JAYA: Bekas pemimpin PAS, Khairuddin Aman Razali meminta Perikatan Nasional (PN) berhenti ‘bernostalgia’ susulan kegagalan mereka membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, PN perlu menerima hakikat bahawa mereka hanya mendapat 73 kerusi dan jumlahnya terlalu jauh bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan yang memerlukan 112 kerusi.

“Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini bersama PN kerana menyangkakan Barisan Nasional (BN) bersedia untuk menyokong.

“Apabila menyedari bahawa ia adalah sokongan sebahagian individu wakil rakyat BN yang “dicuri” dari pintu belakang mereka beralih sokongan kepada PH dan BN,” katanya di dalam hantaran di Facebook semalam.

Sebelum ini PAS dilaporkan berkata kerajaan baharu sekarang bukannya kerajaan perpaduan, sebaliknya adalah kerajaan minoriti.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, yang dipetik Berita Harian sebagai berkata ia kerana tiada parti yang mempunyai kerusi cukup untuk membentuk kerajaan.

Khairuddin berkata sekiranya PN masih belum berpuas hati, maka pada tarikh 19 Disember menunggu mereka untuk mengusulkan sesuatu di Parlimen nanti.

“Sementara itu terimalah keputusan pembentukan kerajaan perpaduan ini.

“Jika masih mahu menubuhkan kerajaan pujuklah BN menerusi pintu depan lalu akan diikuti oleh GPS dan GRS namun berbangkit persoalan bolehkah kerajaan tersebut stabil atau mengulangi pergolakan 2020-2022?,” soalnya.

Dalam perkembangan sama, biarpun ada dakwaan bahawa kerajaan perpaduan sekarang adalah kerajaan minoriti, namun Khairuddin melihat sebaliknya.

“Tidakkah dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri mewakili Pakatan Harapan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mewakili Barisan Nasional dan Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili GPS sebagai timbalan perdana menteri menunjukkan kerajaan ini mempunyai angka 82, 30 dan 23 sekali gus menjadikan jumlah sebanyak 135 ahli Parlimen.

“Apabila dilantik lagi menteri mewakili GRS menjadikan jumlah semua sebanyak 141 kerusi. Itu belum dikira Parti Warisan (3); Parti Bangsa Malaysia (1); Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1) dan Bebas (2). Maka semuanya 148 ahli Parlimen, telah mencapai dua pertiga majoriti,” ujarnya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.