https://critoxium.com/shop/

Terkini

Adakah PN beri peruntukan sama rata semasa jadi kerajaan, soal Zahid

 


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menolak gesaan pemimpin Perikatan Nasional (PN) supaya peruntukan sama rata diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Saya nak tanya balik, adakah (PN) beri peruntukan sama rata sebelum ini (semasa menjadi kerajaan)?” soal Zahid pada sidang media hari ini.

Ahli Parlimen pembangkang hanya diberi peruntukan sama rata bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, selepas memorandum persefahaman ditandatangani antara kerajaan ketika itu dan Pakatan Harapan (PH).

Semalam, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin memberitahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan mendapat “markah lebih” jika memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen PN Arau Shahidan Kassim turut membidas kerajaan berhubung kekurangan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang dalam belanjawan persekutuan, selepas Anwar membentangkan Bajet 2023 Jumaat lepas.

Shahidan berkata Putrajaya perlu “memansuhkan sahaja pembangkang” jika mahu menghukum blok itu, sambil menambah bahawa mereka tidak meminta wang saku sebaliknya peruntukan untuk rakyat yang mengundi.

Hormati keputusan Ismail untuk tidak mempertahankan jawatan naib presiden Umno

Sementara itu, Zahid berkata beliau menghormati keputusan Ismail Sabri Yaakob untuk tidak mempertahankan jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti akan datang, sambil menambah ia adalah hak bekas perdana menteri itu.

Presiden Umno itu juga menepis dakwaan bahawa terdapat tiga kem dalam parti itu, sambil mengatakan hanya ada satu iaitu “kem Umno Malaysia”.

Ismail tidak pernah menentang Zahid secara terbuka tetapi mengkritik tindakan tatatertib baru-baru ini terhadap tokoh-tokoh terkemuka seperti bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.

Ismail juga mendakwa Umno bertindak seperti dalam pembangkang semasa beliau menjadi perdana menteri sehingga 19 Nov 2022.

Zahid mengulas mengenai dakwaan wujudnya tiga kem dalam parti — satu menyokongnya, satu lagi menentangnya dan satu lagi yang dikatakan berkecuali.

Lapan calon akan bertanding merebut tiga jawatan naib presiden Umno termasuk penyandangnya Khaled Nordin dan Mahdzir Khaled, menteri undang-undang Azalina Othman Said, bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad dan Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani.

Seramai 93 calon bertanding merebut jawatan dalam Majlis Kerja Tertinggi Umno, manakala pertarungan dua dan lima penjuru pula membabitkan jawatan ketua Wanita dan ketua Pemuda Umno.

Selain itu 61 calon akan merebut jawatan dalam exco Wanita Umno, manakala 113 akan bertanding untuk jawatan exco Pemuda Umno.

Seramai 42 calon pula akan bertanding untuk menjadi sebahagian daripada kepimpinan Puteri Umno.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.