Hebatnya kakitangan kerajaan
Oleh
Walau apa pun gelarannya – penjawat awam, anggota perkhidmatan awam, atau kakitangan kerajaan, majoriti mereka orang Melayu. Bak kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, itu bukan tohmahan. Bukan juga pembohongan, tuduhan melulu, atau imaginasi jika saya diizin menambah kata.
Tetapi kata Adnan Mat, presiden Cuepacs, pengambilan kakitangan awam berdasarkan merit, bukan kaum. atau agama mengikut ketetapan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Berkata pula seorang kawan lama: “Kalau kau percaya tu ,kau percaya babi boleh terbang.” Kawan saya ini orang Melayu. Ayahnya pernah berjawatan tinggi di Kementerian Pertahanan suatu ketika dahulu.
Apa pun tidak ramai orang bukan Melayu dalam perkhidmatan awam dikaitkan dengan pilihan mereka sendiri. Dikatakan mereka enggan ‘kerja gomen’ kerana minat berniaga atau kerana kerja dengan kerajaan gaji kecil berbanding sektor swasta (sejak kebelakangan gaji kerajaan dikatakan lumayan). Satu lagi sebab (atau alasan) ialah ramai tidak mahir berbahasa kebangsaan lalu sukar melepasi temuduga dan ujian.
Ada betulnya itu semua tetapi ada persepsi sejumlah kecil orang bukan Melayu yang ‘bernasib baik’ diterima masuk sektor awam akan susah naik pangkat walaupun layak dan berkebolehan. Begitu persepsinya yang ramai dalam kalangan rakyat percaya meskipun sememangnya tidak ada hitam putih menyatakan hanya kakitangan Melayu boleh naik pangkat.
Realitinya, seperti dikata tadi, perkhidmatan awam didominasi orang Melayu. Kerajaan tak kiralah siapa pemerintah sekali pun – yang dulu, sekarang, dan akan datang mesti menjaga kakitangannya dengan baik dan mesti ambil hati mereka.
Selain memastikan jentera kerajaan berjalan lancar, jaga mereka dengan baik juga ialah demi memastikan sokongan yang diperlukan apabila pilihan raya diadakan. Bukan sokongan mereka sahaja tetapi juga anggota keluarga mencakupi ibu bapa dan sanak saudara. Jika dilayan baik sokongan akan didapati. Begitulah logiknya. Jika kakitangan kerajaan ‘disakiti’ boleh dilihat ‘menyakiti’ orang Melayu keseluruhannya. Itu lagi satu logiknya. Setuju atau tidak terpulang.
Oleh itu kakitangan kerajaan sentiasa dilayan baik. Contoh, mereka dapat “one-off payment” untuk hari raya, kos sara hidup, dan sebagainya selain bonus tahunan. Semasa wabak Covid-19 umpamanya, dilaporkan RM250 billion dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumum kerajaan Muhyiddin Yassin sebagai susulan impak wabak, RM1.17 billion daripadanya diperuntukkan buat kakitangan kerajaan.
Ringkasnya mereka menerima pembayaran sekali beri RM500 setiap seorang. Oleh kerana negara waktu itu mempunyai 1.5 juta kakitangan kerajaan manakala jumlah golongan pesara pula ialah 850,00, peruntukan sebesar RM1.17 billion diperlukan walaupun kantung kerajaan masa itu bukanlah dalam keadaan membanggakan.
Saya masih ingat sejurus pengumuman dibuat, Azman Ujang bekas pengerusi Bernama mengaju persoalan wajarkah kakitangan kerajaan dan pesara kerajaan (seperti beliau sendiri) menerima bantuan berkenaan?
Menulis artikel pada 3 april 2020 untuk akhbar The Sun Daily, Azman memberitahu Perbendaharaan Negara membayar RM10 billion untuk gaji setiap bulan untuk gaji kakitangan dan wang pencen untuk pesara (jumlah ini mungkin meningkat dewasa ini). Lalu tanya beliau, “apa perlunya kerajaan membayar tambahan RM1 billion lebih sebagai bantuan ini?”
Menurut beliau, berbeza dengan kakitangan atau pekerja swasta, kakitangan kerajaan tidak menghadapi risiko hilang pekerjaan seperti skim pemberhentian kerja dan sebagainya. Pekerjaan kakitangan kerajaan terjamin. Mereka tetap “selamat”. Bila bersara ada pencen setiap bulan. Begitulah selesanya keadaan mereka -sama ada wabak Covid-19 atau tidak.
Rasanya tiada kerajaan yang berani mengurangkan jumlah kakitangan meskipun tahu 1.5 juta angka yang besar yang pasti akan bertambah, malah kita tahu untuk memecat seseorang kakitangan kerajaan yang melanggar disiplin pun bukan senang. Kesimpulannya dikatakan sekali lagi kakitangan kerajaan dijaga baik.
Baru-baru ini Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy (daripada DAP), menyuarakan pendapat perkhidmatan awam negara perlu direformasikan. Bagaimanapun gesaan beliau dilihat atau boleh dianggap sesetengah pihak sebagai desakan kepada kerajaan sekarang untuk menamatkan dominasi orang Melayu dalam perkhidmatan awam. Ramasamy kita tahu dikecam hebat termasuk oleh PKR dan Amanah, rakan DAP dalam Pakatan Harapan. Ramai yang berpendapat kenyataan Ramasamy (yang beliau kata pandangan peribadinya dan bukan DAP) memberi peluru kepada pihak yang ghairah dengan isu perkauman dan agama menembak kerajaan.
Pemimpin Perikatan Nasional, Mohd Radzi Jidin, dengan pantas menuduh gesaan Ramasamy satu penghinaan kepada perkhidmatan awam dan orang Melayu. Adakah beliau benar-benar sayangkan perkhidmatan awam dan orang Melayu? Atau sekadar menangguk di air keruh?
Apa pun jujur saya katakan perkhidmatan awam yang sarat mesti direformasikan. Bolehkah ia dilakukan? Boleh tetapi sukar. Mungkin seperti menarik rambut dalam tepung? Atau seperti formula Lee Kuan Yew mendiang PM Singapura berurusan dengan kakitangan kerajaannya dahulu?
Sebagai penutup penulisan kali ini teringat saya seorang menteri kanan kerajaan BN pada 1990-an dulu. Beliau sering menjemput pengarang media ke majlis makan tengah hari bersamanya untuk borak-borak kosong. Saya pernah juga diundang. Pada satu sesi si menteri kanan itu memberitahu beliau ada terdengar kakitangan awam bercakap sesama sendiri bahawa “menteri datang dan pergi kita (kakitangan kerajaan) kekal di sini.”
Itu pandangan kakitangan pada 1990-an. Bagaimana agaknya pandangan kakitangan masa kini?
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.