Mohon maaf andai ucapan ‘disalah erti’, Dr Halimah Ali belanja gurindam di Dewan Rakyat
Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali akhirnya memohon maaf atas kenyataan yang dikeluarkannya berhubung Menu Rahmah baru-baru ini.
Hal ini berhubung kenyataan beliau mengenai program Menu Rahmah yang dikatakan berkualiti rendah dan mengundang penyakit berbahaya.
Permohonan maaf itu disampaikan oleh Dr Halimah yang juga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu di Dewan Rakyat dalam bentuk gurindam.
“Kalau ada jarum peniti, jangan disimpan di dalam peti, kalau ada ucapan disalah erti, saya menyusun 10 jari.
“Niat di hati suara rakyat saya juarai, semak imbang Kerajaan Madani, biar integriti bukankah itu peranan hakiki?,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Permohonan maaf itu diterima oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas persetujuan bersama dicapai sebelum ini.
Johari menyifatkan gurindam yang disampaikan Halimah itu mampu menjawab semua persoalan oleh semua pihak.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wen mengemukakan usul agar Halimah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Hal ini kerana, kenyataan bahawa Menu Rahmah boleh menyebabkan kanser dan autisme itu didakwa boleh mengelirukan Dewan Rakyat.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.