https://critoxium.com/shop/

Terkini

100 Hari Kerajaan Perpaduan : Betulkah Orang Melayu Tidak Berpuas Hati



1. Dua hari lepas, terbit laporan kaji selidik yang dibuat oleh firma penyelidikan O2 Malaysia dengan kerjasama 5 media arus perdana.

2. Kaji selidik tersebut dilakukan dengan 35,077 pelayar agensi media dari seluruh negara selama 10 hari bermula dari 6 Februari hingga 16 Februari 2023 bertujuan meninjau sentimen rakyat berhubung prestasi kerajaan perpaduan.

3. Hasil tinjauan tersebut menunjukkan dapatan berikut:

(i)  45% Responden menyatakan hala tuju semasa negara Betul berbanding 30% Responden menyatakan Salah.
(ii)  38% Responden menyatakan ekonomi negara dari Disember 2022 hingga Februari 2023 Bertambah Baik berbanding 39% Responden menyatakan Bertambah Buruk.

4. Selain itu, dapatan kaji selidik juga menunjukkan Melayu Semenanjung paling ramai bersikap negatif terhadap kerajaan perpaduan, iaitu:

(i) 43% Melayu Semenanjung menyatakan hala tuju semasa negara Salah.
(ii) 53% Melayu Semenanjung menyatakan ekonomi negara dari Disember 2022 hingga Februari 2023 Bertambah Buruk.
(iii) 71% Melayu Semenanjung menyatakan Tidak Berpuas Hati dengan usaha kerajaan menunaikan manifesto PRU15 mereka berbanding 20% India, 20% Cina, 27% Bumiputera Sarawak, 36% Bumiputera Sabah dan 42% Lain-lain.

5. Ini menyebabkan laporan tersebut menekankan majoriti kaum Melayu merasakan kerajaan perpaduan tidak berprestasi dengan baik selama 100 Hari memerintah.

6. Betulkah dapatan ini? Apakah hujah dan alasannya responden tidak berpuas hati ini? Hujah ini dikesampingkan dalam laporan dapatan kajian.

7.   Sebagai perbandingan, lihat dapatan kaji selidik Merdeka Center pada 26 Disember 2022–15 Januari 2023 yang menunjukkan tahap kepuasan hati orang Melayu terhadap prestasi DS Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan adalah jauh lebih tinggi. Misalnya:

(i) 60% responden Melayu berpuas hati terhadap prestasi DS Anwar Ibrahim sebagai PM.
(ii) 49% responden Melayu berpuas hati terhadap terhadap kerajaan perpaduan.

8. Biarpun laporan Merdeka Center menunjukkan tahap kepuasan orang Melayu terhadap PM dan kerajaan perpaduan adalah tinggi, namun rakyat lebih tertarik dengan hasil kaji selidik 02 kerana ia membabitkan responden lebih ramai berbanding kaji selidik Merdeka Center yang membabitkan 1,209 responden.

9.  Namun, timbul pertanyaan. Betul dan tepatkah kaedah penyelidikan 02? Validkah pemilihan responden? Apakah ia dibuat secara sistematik atau tidak?  

10. Misalnya, walaupun melibatkan 35,077 responden, 81% daripadanya adalah Lelaki dan 19% responden adalah Perempuan yang tidak mencerminkan profil sebenar pengundi Malaysia. Begitu juga dari segi Pecahan Etnik, Kumpulan Umur, Penempatan dan Kumpulan Pendapatan Bulanan Isi Rumah.

11.   Ini berbeza dengan metodologi Merdeka Center yang dibuat secara sistematik mengikut “random stratified sampling” di mana responden dipastikan mencerminkan profil sebenar pengundi Malaysia dari segi umur, etnik, jantina dan kawasan mengundi.

12. Bagi saya, kaji selidik yang reliable hendaklah cermat dalam aspek metodologi. Jangan dibuat secara rawak kerana ia tidak mencerminkan realiti sebenar di bawah.

13. Apakah pandangan ini bermakna saya menolak dapatan kaji selidik yang dibuat? Saya menerima maklum balas yang diberi kerana ia berguna untuk saya di J-Kom meningkatkan lagi usaha kami mendekati rakyat dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

14.    Yang saya tegur ialah dalam menjalankan kaji selidik, gunalah metod ilmiah yang betul supaya dapatannya dapat mengurangkan peratusan kesilapan yang besar. Selain itu, adalah supaya ia dapat menggambarkan realiti sebenar yang lebih tepat.

15. Lagipun, kaji selidik ini dibuat sebelum DS Anwar Ibrahim membentangkan bajet 2023 pada Jumaat lalu yang menggariskan hala tuju Malaysia Madani.

16.  Yakinlah setelah bajet 2023 dilulus dan dilaksanakan, maka hala tuju negara akan lebih jelas, dan ekonomi negara akan bertambah baik.

17.  Semoganya selepas ini, sokongan rakyat—dari semua etnik terhadap DS Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan akan sentiasa tinggi.

DATO’ DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF
Ketua Pengarah J-KOM

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.