https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ibu bapa perlu tegas pantau ketagihan anak guna peranti

 


Oleh Prof Madya Dr Melati Sumari

Teknologi digital dan peranti yang melambak di seluruh dunia diakui banyak memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia, namun tidak dinafikan terdapat kesan negatif akibat penggunaanya ke atas perkembangan kanak-kanak dan remaja.

Banyak kajian menunjukkan kesan negatif teknologi digital dan peranti terhadap kanak-kanak. Penggunaan peranti secara berlebihan sejak kecil boleh menjejaskan banyak bidang kehidupan kanak-kanak.

Contohnya, kanak-kanak yang sibuk menggunakan peranti sebagai ganti alat permainan akan hilang fokus, kurang kemahiran komunikasi, lemah kemahiran berbahasa dan berkemungkinan menjejaskan penguasaan akademik.

Kanak-kanak juga mungkin tidak mempunyai kreativiti kerana penumpuan lebih diberikan kepada skrin. Justeru, tidak hairan apabila ketagihan dan kebergantungan kepada peranti dalam kalangan kanak-kanak sedang membesar menjadikan tanggungjawab keibubapaan dalam era teknologi digital menjadi semakin sukar dan mencabar.

Dari segi perkembangan psikologi, kanak-kanak dan remaja masih melalui fasa memerlukan mereka menguasai dan melaksanakan tugas tertentu sebagai proses pengembangan jiwa dan minda. Ketika era teknologi belum begitu berkembang, mereka mempelajari dan menguasainya dengan bantuan guru, ibu bapa dan masyarakat.

Secara amnya, orang dewasa akan memastikan anak muda bertingkah laku dan bertindak mengikut norma sosial diterima umum dan tidak menyalahi undang-undang.

Namun, akses kepada teknologi menjadikan kebergantungan kepada orang dewasa menjadi kurang. Panduan hidup yang biasanya disampaikan dan diajar orang dewasa secara bersemuka mendapat 'campur tangan' media dalam talian.

Campur tangan media dalam talian datang dalam bentuk laman web, media sosial dan mesej melalui aplikasi teks.

Jejas perkembangan mental, emosi

Media melaporkan kanak-kanak dan remaja yang terpengaruh dengan kandungan grafik dan permainan ganas boleh menjejaskan perkembangan mental dan emosi mereka secara serius.

Justeru, bagi mencegah dan mengurangkan kesan negatif teknologi digital dan peranti ke atas anak, peranan ibu bapa secara tidak langsung akan bertambah untuk menyelia anak.

Maka, beberapa panduan boleh diguna pakai dalam menyelia dan mengawal anak bawah umur pada era digital antaranya menggunakan aplikasi pengawalan seperti Google Family Link.

Perkhidmatan kawalan ibu bapa dan keluarga oleh Google ini membolehkan ibu bapa melaraskan parameter untuk peranti digunakan anak mereka. Aplikasi ini membenarkan ibu bapa menyekat kandungan, membenar atau tidak penggunaan aplikasi tertentu, menetapkan masa penggunaan dan lain-lain kawalan.

Ibu bapa juga perlu memastikan anak sentiasa aktif seperti merancang jadual harian dan memastikan jadual dipatuhi ke paras optimum. Perkara ini agak mencabar memandangkan kebanyakan keluarga terdiri daripada ibu bapa bekerja, namun kerjaya tidak boleh dijadikan alasan sehingga mengabaikan tanggungjawab ini.

Paling penting, ibu bapa perlu konsisten membina hubungan bermakna dengan anak. Kesibukan ibu bapa dengan kerjaya sering kali mengorbankan hubungan kedua-dua belah pihak.

Akan tetapi, perlu disedari tanggungjawab keibubapaan hari ini tidak sama dengan cara atau kaedah pada 20 tahun lalu. Justeru, ibu bapa perlu merancang bagaimana mereka boleh mencipta ruang komunikasi sihat bersama anak.

Selain itu, ibu bapa perlu menyediakan jadual harian untuk anak yang masih berada di bangku persekolahan. Sebagai contoh, tetapkan selepas jam 8 malam, mereka perlu mengulang kaji pelajaran dan penggunaan peranti dilarang sama sekali selepas waktu ini.

Apa yang penting, dalam era digitalisasi ini, ibu bapa perlu meningkatkan usaha bagi menjadi 'orang tua' yang berfungsi bagi memastikan pengaruh maklumat mudah diperoleh melalui internet dan media sosial dapat ditapis supaya sesuai dengan usia anak dan selari dengan tatasusila budaya dan norma hidup.

Penulis adalah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.