https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kementerian Pendidikan tiada rancangan iktiraf UEC


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) tiada perancangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina, katanya dalam jawaban bertulis kepada pertanyaan di Dewan Rakyat.

Pendirian itu berlandaskan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan, kata Menteri Fadhlina Sidek, menjawab pertanyaan Sabri Azit (PN-Jerai) yang ingin tahu pendirian terkini kementerian berhubung pengiktirafan UEC.

“Sehingga kini KPM tiada perancangan untuk mengiktiraf UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina,” katanya.

Pada Disember lalu, Fadhlina menjelaskan bahawa mengiktiraf UEC bukan keutamaan kementeriannya buat masa ini, namun ia akan dilihat dari semasa ke semasa.

Fadhlina, yang juga seorang Ahli Parlimen PKR, berkata apa-apa berkait dengan manifesto Pakatan Harapan berhubung pengiktirafan UEC akan dilihat semula, kerana negara ditadbir oleh kerajaan perpaduan.

“Kita tidak lagi bercakap mengenai manifesto PH semata-mata,” katanya pada sidang media ketika itu.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, menyambut baik pengumuman Fadhlina pada masa itu, mengingatkan bahawa kerajaan sekarang bukan pentadbiran PH tetapi gabungan bersama Barisan Nasional dan beberapa yang lain, menurut Umno Online.

PH dalam manifestonya berkata ia akan meneruskan usaha mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam, dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pendidikan Malaysia.

Sarawak mengiktiraf UEC sejak 2014, yang membolehkan pemegang sijil itu memasuki Universiti Teknologi Sarawak milik kerajaan negeri.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.