https://critoxium.com/shop/

Terkini

Muhammad Faris dilantik Pengurus Besar NAFAS

 


KUALA LUMPUR: Pakar teknologi dan pengurusan korporat, Muhammad Faris Arriffin dilantik Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang baharu, berkuat kuasa semalam.

Menurut NAFAS dalam kenyataan hari ini, Muhammad Faris memiliki kepakaran 15 tahun dalam bidang kejuruteraan dan teknologi selain mahir dalam pengurusan korporat serta mempunyai pengalaman dalam bidang pembangunan perniagaan dan strategi pelaburan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum daripada The University of Adelaide, Australia itu kini sedang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Kewangan di Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS).

NAFAS menyifatkan pelantikan teknokrat bagi mengisi jawatan itu dapat membawa harapan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam memacu pertubuhan menjadi pemangkin usaha pemodenan rantaian bekalan industri agromakanan selain menarik minat golongan belia menceburi bidang pertanian melalui aplikasi teknologi dan digital.

Sementara itu Muhammad Faris dalam kenyataan berkata, NAFAS mempunyai keupayaan untuk menjadi tonggak kepada dasar-dasar dan inisiatif-inisiatif kerajaan yang mendukung hala tuju ke arah peningkatan aras keterjaminan makanan negara.

Selain itu, NAFAS juga dapat membela kesejahteraan petani melalui pendekatan yang lebih lestari, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

Katanya, jalinan kolaborasi antara NAFAS dan KPKM serta agensi-agensi lain termasuk kerajaan negeri, sektor awam dan swasta yang berkaitan akan diperkukuhkan demi merealisasikan aspirasi ini.

NAFAS mewakili 14 Pertubuhan Peladang Negeri dianggotai 279 Pertubuhan Peladang Kawasan dan mempunyai hampir sejuta ahli di seluruh negara.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob, berkata sebagai institusi yang menerajui pergerakan Pertubuhan Peladang, NAFAS sentiasa bersedia memainkan peranan utama membantu kerajaan membentuk masyarakat tani yang berdikari, makmur dan bersatu padu.

Katanya, diharapkan dengan kepemimpinan pragmatik serta visi transformasi yang jelas, pelantikan Muhammad Faris itu mampu membawa pertubuhan itu ke tahap yang lebih tinggi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.