Pengeluaran KWSP kali ke-5 tindakan popular untuk dapat sokongan, kata MTUC
PETALING JAYA: Kesatuan sekerja membidas desakan golongan yang mahu kerajaan membolehkan pengeluaran simpanan pencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat kali kelima sebagai tindakan popular jangka pendek untuk mendapatkan sokongan.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata pendesak tidak memikirkan kesannya kepada masa depan pekerja, lebih lagi apabila seramai 6.7 juta pencarum berusia bawah 55 tahun mempunyai simpanan RM10,000 sahaja.
“Tindakan pihak tertentu yang mendesak pengeluaran KWSP buat kali kelima selepas i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas merupakan satu tindakan popular jangka pendek untuk mendapatkan sokongan rakyat tanpa memikirkan kesannya terhadap masa depan pekerja selepas bersara, serta pembangunan ekonomi negara,” katanya presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani dalam kenyataan.
MTUC menyeru semua pihak supaya tidak bertindak demi kepentingan tertentu dan kerajaan sewajarnya memikirkan inisiatif lain untuk membantu golongan pekerja.
“Penyelesaian jangka panjang bagi kita ialah mengkaji pelaksanaan elaun kos sara hidup dan pencen bagi pekerja sektor swasta bagi mengurangkan belanja sara hidup, dan paling penting memastikan kita mempunyai mekanisme gaji progresif yang mengambil kira upah untuk sara hidup,” kata Effendy.
Dalam pada itu, MTUC berkata desakan pihak berkenaan bertentangan dengan Rancangan Tindakan Kebangsaan bagi Warga Emas, yang bertujuan untuk memperkukuhkan sistem perlindungan sosial bagi warga emas.
Ia mengingatkan bahawa berdasarkan bancian 10 tahun 2010-2020, fenomena penuaan meningkat 6.8% berbanding 5% dan peningkatan peratusan kelompok berusia 65 tahun ke atas itu bakal menjadikan Malaysia negara tua menjelang 2030.
“KWSP salah satu perlindungan yang terbaik untuk warga emas,” kata Effendy. “Caruman KWSP untuk simpanan hari tua dan tuntutan untuk pengeluaran untuk kali kelima tidak wajar dalam keadaan semasa.”
Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran khas daripada akaun KWSP melalui skim i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra antara tahun 2020 dan 2021 bagi membantu rakyat berdepan tekanan ekonomi ketika pandemik Covid-19.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini bertegas tidak membenarkan simpanan KWSP dikeluarkan lagi bagi menjamin masa depan pesaraan pencarum.
Beliau sebaliknya mencadangkan kaedah membolehkan pencarum menggunakan wang mereka sebagai ‘sandaran’ kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.