Rafizi harap Tok Pa diberi ruang bantu isu ekonomi
PETALING JAYA: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berharap bekas menteri daripada Bersatu, Mustapa Mohamed diberi ruang untuk membantunya dalam perkara melibatkan kementerian, seperti usaha membasmi kemiskinan dan melestarikan ekonomi.
“Saya berbesar hati agar Tok Pa (Mustapa) terus mendapat ruang untuk menyumbang khidmatnya (walau dalam persaraan) dalam perkara-perkara di bawah Kementerian Ekonomi yang rapat dengan hatinya.
“… seperti pembasmian kemiskinan dan meningkatkan kelestarian ekonomi menepati sasaran pembangunan lestari (SDG),” katanya di Facebook.
Beliau turut memuat naik gambar bersama Tok Pa ketika bekas Ahli Parlimen Jeli itu berkunjung ke pejabat “lamanya” pada Isnin.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, sebahagian besar inisiatif di kementerian itu dilaksanakan oleh Tok Pa, dan usaha baik wajar diteruskan selain memberi tumpuan jika terdapat ruang untuk diperbaiki.
“Yang baik ditinggalkan oleh pengurus besar sebelum kita, wajar dikekalkan. Kalau ada ruang untuk diperbaiki pelaksanaan, kita tumpu kepada perkara itu.
“Itu pandangan saya apabila mengambil alih tugas sebagai menteri ekonomi yang sebelum ini sebahagian besarnya dilaksanakan oleh Mustapa Mohamed,” katanya.
Tok Pa dilantik mengetuai Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin dan diteruskan bawah Kabinet Ismail Sabri Yaakob.
Timbalan presiden PKR itu berkata, beliau dan Tok Pa ada banyak persamaan kerana mempunyai latihan profesional dalam bidang ekonomi dan kewangan selain minat mendalam untuk membantu orang susah.
“Terima kasih kepada Tok Pa atas semua khidmat kepada rakyat selama hampir tiga dekad sebagai wakil rakyat.”
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.