Apakah lawan PAS bermaksud musuhi Islam?
Oleh Mohsin Abdullah
“Terima kasih banyak kepada rakyat Kelate (Kelantan). Mu beri sokongan kepada perjuangan Islam. Alhamdulillah. Orang muda bersemangat, orang tua hok sokmo (sepanjang masa) sokong perjuangan Islam. “Alhamdulillah sehingga tinggal dua kerusi. Takpolah kena ada jugok, takut orang nak tengok lagu mana hok lawan perjuangan Islam ni. Jadi rakyat boleh tunjuk hok dua tu.”
Itu sedutan ceramah Nassuruddin Daud, menteri besar Kelantan yang baharu. Video ceramah itu sudah tular. “Hok dua” yang dimaksudkannya adalah Adun Galas Mohd Syahbuddin Hashim (BN) dan Adun Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim (Amanah).
Baki 43 kerusi DUN Kelantan dimenangi PAS pada PRN 12 Ogos lalu. Maka terima kasih kepada rakyat Kelantan diucapkan Nassuruddin seperti yang terkandung dalam video ceramahnya itu.
Tetapi apabila beliau berkata “orang nak tengok lagu mana hok lawan perjuangan Islam ini jadi rakyat boleh tunjuk hok dua tu”, ramai yang mendakwa menteri besar Kelantan “menuduh” dua Adun pembangkang sebagai “melawan perjuangan Islam”.
“Lawan PAS sama dengan lawan perjuangan Islam”. Itu sifir mudah menteri besar Kelantan dan ramai penyokong PAS, kata Arif Atan yang pernah menjadi wartawan Harakah, lidah rasmi PAS.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Arif berkata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada membincangkan panjang lebar mengenai ciri pelampau agama. Dalam konteks ucapan Nassuruddin, kata Arif “jelas MB Kelantan yang juga digelar Panglima Perang itu menyamakan politik kepartian dengan akidah”.
Tetapi seorang yang mengikuti Facebook Arif mengulas: “Betullah PAS mengangkat Islam, kalau menentang PAS bererti menentang dari mengangkat ugama Islam”. Arif pula membalas begini: “Kena betulkan pemikiran ini, PAS hanya sebuah parti politik sama macam parti politik lain yang tujuannya mahu kuasa. PAS bukan institusi macam pejabat mufti yang umat perlu patuhi”.
Beralih kepada satu lagi hantaran Facebook. Kali ini sajian pensyarah Universiti Malaysia Terengganu Yusri Ibrahim. Selaku ahli akademik beliau bercakap mengenai “budak-budak isi borang untuk pilih universiti yang sesuai dengan citarasa mereka, yang ada kriteria terbaik pada pertimbangan mereka”.
Beliau seterusnya menyenaraikan beberapa universiti yang boleh dipilih bakal siswa siswi. Namun kata beliau “jika mereka tidak pilih Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tidak bermakna mereka lawan perjuangan Islam, tidak sama sekali”. Lantas berkata: “jangan main tuduh-tuduh lawan islam dan sebagainya hanya kerana tidak memilih produk berlabel Islam, anasir begitu tidak baik untuk keharmonian masyarakat”.
Terpulang kepada pembaca membuat interpretasi berhubung apa dan maksudnya itu. Ada seorang pengikut Facebook Yusri menyahut: “Saya pun pilih Maybank sebagai tempat simpan duit. Nasib baik Bank Islam tak tuduh saya macam-macam.” Itu sinis pada hemat saya.
Apa pun artikel saya semalam ialah mengenai sama ada masanya sudah tiba untuk Malaysia mewajibkan mengundi pada pilihan raya. Tetapi berpandu pandangan para agamawan mengundi sememangnya wajib buat umat Islam untuk memilih kerajaan. Kata mereka mengundi wajib kerana untuk memastikan Islam diangkat.
Pandangan itu tentulah berdasarkan tuntutan agama. Cuma yang saya gusar ialah ada pihak tertentu akan atau boleh menggunakan hujah agamawan sebagai “endorsement” untuk mereka. Boleh dijadikan bahan kempen kerana mereka mengaku dan mendakwa merekalah konon orangnya yang mengangkat Islam dan sebagainya.
Lalu kembali kepada dakwaan lawan PAS maknanya lawan perjuangan Islam. Pemikiran yang menurut Arif mesti diperbetulkan. Saya setuju. Lalu siapa yang mesti memperbetulkan keadaan? Segala macam dakwaan?.
Bagi saya agamawan. Mereka yang sebenarnya neutral, tidak memihak dan tidak partisan yakni tidak ada kecenderungan terhadap mana mana parti politik. Ringkasnya agamawan yang dihormati, diyakini dan dipercayai masyarakat.
Agamawan yang benar benar agamawan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.