https://critoxium.com/shop/

Terkini

Percutian indah, tidak perlu hotel mewah


PERCUTIAN indah keluarga bukan bermakna membawa anak menginap di hotel mewah atau melancong melangkaui sempadan kawasan kediaman, tetapi sebanyak mana masa diluangkan untuk mereka.

Ibu bapa perlu membuat belanjawan mini khas untuk percutian itu terutama untuk makan minum, tiket dan cenderamata.

Kemudian anda boleh membelanjakannya tanpa rasa bersalah selagi di dalam lingkungan belanjawan itu.

Bagi ibu bapa yang anak-anaknya sudah bersekolah sebaiknya minta pendapat mereka dalam membuat keputusan.

Bincang bersama tempat yang ingin dilawati dan setelah bersetuju, biarkan mereka membuat kajian melalui internet atau majalah berkenaan tempat menarik atau aktiviti yang boleh dilakukan.

Di bawah pengawasan ibu bapa, biarkan mereka membuat satu program lawatan yang menarik.

Dengan cara ini, ibu bapa akan mendapat kerjasama penuh anak sebelum dan ketika bercuti. Ini juga memberi peluang untuk mereka mengasah bakat kepimpinan dan bertanggungjawab menguruskan sebuah aktiviti keluarga.

Di samping itu, ibu bapa boleh menjimatkan wang tanpa perlu mengambil pakej lawatan.

Bagi ibu yang memiliki anak lebih daripada empat orang, semua perancangan bergantung kepada kesediaan mereka untuk berjalan jauh.

Jika mereka tidak biasa atau bersedia, ini mungkin akan menimbulkan tekanan bukannya keseronokan.

Tetapi jika mereka boleh berkelakuan baik, jarak perjalanan yang jauh tidak menjadi masalah.

Ibu bapa boleh melatih anak dari kecil dengan mewajibkan mereka memakai tali pinggang keledar supaya mereka akan lebih berdisiplin sepanjang perjalanan.

Pilih lokasi percutian

Memilih lokasi percutian juga bergantung kepada usia anak misalnya untuk anak di bawah usia setahun, percutian ke taman bunga atau melawat tempat perkelahan yang selamat dan semula jadi adalah sangat sesuai.

Bagi anak berusia dua hingga empat tahun, tempat mempunyai kolam air untuk kanak-kanak atau taman permainan menarik sesuai untuk mereka.

Untuk anak berusia empat hingga enam tahun sudah bijak menilai dan berfikir, justeru kawasan sesuai seperti pantai, taman tema air, taman tema kanak-kanak atau taman haiwan.

Bagi yang sudah bersekolah, kawasan percutian sesuai ialah taman tema, tempat bersejarah atau percutian berbentuk mencabar.

Bagi kanak-kanak berusia di bawah tujuh tahun, sebuah percutian yang mudah dan ringkas, contohnya menginap tiga hari dua malam di pantai peranginan, tanpa program yang terlalu padat sesuai dengan usia mereka.

Bagi anak bersekolah rendah pula percutian adalah masa paling sesuai untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dan pembelajaran, sekali gus mendorong mereka menghargai dunia di samping mencipta memori indah yang kekal sepanjang hayat.

Untuk anak bersekolah menengah, amat penting bagi ibu bapa memastikan pendapat mereka diterima dan sesuai dengan minat mereka.

Percutian terbaik adalah percutian seimbang, iaitu masa bebas untuk mereka melakukan aktiviti kegemaran mereka dan masa indah bersantai bersama keluarga.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.