https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Saya akan bongkar pembohongan Presiden Pas malam ini' - Mat Sabu


JOHOR BAHRU: Dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu keluar Pas dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) adalah kerana takut kalah dalam pilihan raya adalah tidak berasas sama sekali. Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dakwaan itu tidak benar dan sudah sampai masanya rakyat tahu perkara yang sebenar termasuk keputusan Pas meninggalkan gabungan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

"Semalam Presiden Pas 'tembak' mengatakan bahawa mereka tinggalkan PR kerana parti DAP tolak hudud. Saya takkan jawab malam ini, saya akan jawab malam esok di Simpang Jeram, Muar.

"Saya akan jawab malam esok bagaimana seorang Presiden Pas membuat pembohongan kepada rakyat jelata. Saya akan jawab satu persatu malam esok pembohongan itu.

"Aku bukan orang kecil, aku bekas Timbalan Presiden Pas. Jangan tipu rakyat di atas kupiah kami itu, 'no more'," katanya berucap pada Ceramah Perpaduan Pulai di Nusa Bestari di sini pada malam Ahad.

Turut hadir calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Naib Ketua PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Terdahulu, Abdul Hadi dalam ucapannya di Markas Pas Bakri, Muar pada Sabtu mendakwa, tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu menyertai Amanah adalah kerana takut kalah dalam pilihan raya.

Beliau turut menyifatkan mereka sebagai lemah semangat sehingga sanggup meninggalkan dasar perjuangan Pas.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, bekas pemimpin Pas termasuk Mohamad yang merupakan Timbalan Presiden Pas bersama Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad dilantik sebagai menteri.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mengingatkan Abdul Hadi supaya menghentikan perbuatan pembohongan kononnya Islam terancam. Jelasnya, parti Pas dan sekutunya sanggup menggunakan agama Islam semata-mata untuk kepentingan mereka.

"Sebagai contoh di Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu, semasa kempen mereka menggunakan isu sekolah agama dan tahfiz diarahkan tutup, isu itu membuatkan pengundi Melayu percaya mereka.

"Padahal arahan Sultan Selangor pada waktu itu supaya semua sekolah agama yang tak ikut peraturan dan standard piawaian mesti ditutup sebab boleh mengundang bahawa, perlu buat pembaharuan jika mahu beroperasi semula.

"Isu itu menyebabkan mereka dapat sokongan sementara, saya yakin pembohongan mereka itu tak boleh bertahan hingga empat tahun akan datang.

"Rakyat akan melihat perubahan ini, saya yakin rakyat tak bodoh dan kembali sokong kerajaan Perpaduan," katanya. - Sinar Harian



Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.