https://critoxium.com/shop/

Terkini

Buli adalah buli tak kira anak siapa,’ kata menteri


KAJANG: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap kes buli dilaporkan berlaku di sekolah berasrama yang mana anak lelaki seorang penyanyi sebuah kumpulan rock popular turut dilaporkan menjadi mangsa.

Menteri Fadhlina Sidek berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar terbabit dengan aktiviti buli itu selepas siasatan dilakukan polis.

“Saya ingin tegaskan buli adalah buli tidak kira anak siapa pun. Anak selebriti (atau) anak menteri sekalipun. Buli adalah buli.

"Kita takkan kompromi dalam soal ini. Kita telah pun buat tindakan tegas dan bersama ambil tindakan dengan pihak autoriti,"

katanya pada sidang media selepas program Inisiatif Reformasi Pendidikan di Dewan Sri Cempaka, Saujana Impian.

Beliau mengulas dakwaan penyanyi kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau dikenali sebagai Tam Spider yang mendedahkan anak lelakinya berusia 14 tahun menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama.

Susulan pendedahan Tam, beberapa ibu bapa di sekolah sama tampil mendedahkan anak mereka juga menjadi mangsa buli.

Sabtu lalu, Ketua Polis Dang Wangi, Sulizme Affendy Sulaiman, berkata pihaknya membuka kertas siasatan selepas lima laporan diterima daripada ibu bapa yang mendakwa anak mereka menjadi mangsa buli.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata buat masa ini KPM menangguhkan keputusan pertukaran guru dari 12 SJKC di Pasir Gudang, Johor yang sepatutnya mengajar di sekolah lain.

Beliau berkata, ia ditangguhkan sehingga proses berkait rapat pembelajaran dan pendidikan murid di sekolah terlibat dapat diteruskan dan dilakukan secara berfasa mulai tahun depan.

“Sebenarnya pertukaran kerja guru ini perkara biasa, tetapi isu itu kita ambil perhatian. "Jadi, kerana isu tersebut dapat banyak perhatian banyak pihak, maka kita tangguhkan keputusan pertukaran itu," katanya.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim memohon pertukaran ditangguhkan selepas guru serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan pihak pengerusi lembaga pengurusan sekolah termasuk ibu bapa bertemunya memohon ia ditangguhkan.

Katanya, mereka tidak membantah proses pertukaran tetapi berpendapat adalah baik jika dilakukan pada awal atau akhir tahun.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.