Menyelongkar perjanjian Anwar, Trump 2025
Maharaja Trump mencecah duli di Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada pagi 26 Oktober 2025. Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah datang menyambut Presiden Amerika Donald Trump bersama inang dan dayang dengan menari-nari.
Tidak sampai beberapa jam setelah klip menari-nari ini tersebar di media sosial, punat bom atom pertama tercabut dan meledak.
Ini bom atom daripada mufti Perlis. Sang mufti telah menyatakan rasa kecewa bila melihat inang dan dayang menari-nari bersama Trump dan perdana menteri.
Mufti Perlis berkata manusia yang bernama Donald Trump ini sedang bersekongkol dengan Zionis Netanyahu untuk membunuh warga Gaza. Lucah dan tidak kena pada tempat kita memberi sambutan menari-nari kepada seorang Zionis. Dunia akan mentertawakan kita.
Pada pagi yang sama, demo yang dirancang di Ampang Park pada pagi ketibaan Trump telah dikawal ketat. Semua stesen laluan MRT dan LRT yang berhampiran telah ditutup. Jalan juga dikawal untuk memastikan tidak ada sesiapa dapat mencelah masuk ke Ampang Park. Suasana sekatan Covid-19 muncul kembali.
Polis dan menteri KDN dibaca berlagak ganas seolah-olah ada sesuatu yang sedang dirancang.
Bila bom atom daripada mufti Perlis meledak, Anwar Ibrahim masih lagi bersilat lidah. Anwar menerangkan bahawa Trump dijemput oleh Asean. Malah, Anwar sendiri akan menyampaikan kepada Trump sentimen rakyat Malaysia yang menolak genosid di Gaza.
“Saya katakan sendiri pada Presiden Donald Trump akan tentangan Malaysia terhadap apa yang berlaku di Gaza," kata Anwar Ibrahim. Jika para pembaca kurang yakin dengan apa yang diucapkan oleh Anwar Ibrahim, sila tanya Trump sendiri.
Putar punya putar. Belit punya belit. Lebong punya lebong, rupa-rupanya ada udang di sebalik mee. Rupa-rupanya ada haruan di celah kangkang. Patutlah Polis dan menteri KDN berlagak ganas.
Tiba-tiba berita meledak. Serta-merta diketahui umum bahawa telah ditandatangani satu perjanjian antara Malaysia dengan Amerika. Imej Anwar dan Trump dilihat sedang menandatangani perjanjian ini tersebar. Butir perjanjian masih belum jelas.
Apa yang jelas dan kini disedari umum ialah beberapa bulan sebelum Trump sampai ke Kuala Lumpur, secara senyap sunyi lagi rahsia, Anwar bin Ibrahim telah melakar satu perjanjian: Perjanjian Anwar-Trump 2025.
Daripada berita yang dikumpul dan tersebar, saya difahamkan ahli kabinet Kerajaan Pakatan Harapan sendiri tidak tercium bau kentut ini. Anwar Ibrahim dan Tengku Zafrul pasti mengikat seluar dalam mereka dengan ketat hinggakan para menteri Kabinet pun tidak tercium bau kentut masam ini.
Apa yang dihebohkan ialah Persidangan Tahunan Asean 2025, Malaysia menjadi tuan rumah.
Bila berita Perjanjian Anwar-Trump 2025 tersebar, pemimpin pembangkang senyap tanpa suara.
Umum sedar adalah mustahil, terutama Parti Bersatu, untuk mencium perancangan gelap Anwar dan Zafrul. Ini kerana mereka terlalu sibuk berkeris dan berparang, berbunuh sesama sendiri. Malah, saya sendiri merasa was-was apakah Muhyiddin, Hamzah dan Azmin tahu bahawa Maharaja Trump telah mencecah duli di KLIA pada pagi Ahad, 26 Oktober 2025.
Saya mengelamun: Alangkah baiknya jika hayunan parang Muhyiddin, tikaman keris Azmin dan lontaran tombak Hamzah diarahkan kepada Donald Trump. Jika lamunan saya ini telah mereka lakukan, pasti pengundi akan menobatkan mereka untuk menggantikan Anwar Ibrahim. Amin.
Inilah hebatnya Anwar dan Zafrul. Dua sosok ini bekerja dalam gelap hanya menggunakan cahaya dari sinaran rambut perang Donald Trump.
Perjanjian Anwar-Trump 2025 ini membawa gempar satu Malaysia. Berita Perjanjian Anwar-Trump 2025 menjadi tular di media sosial walaupun butirannya belum jelas.
Untuk mengurangkan bau kentut yang telah merebak ini, Anwar Ibrahim secara bijak lagi licik telah meyakinkan Siam dan Kemboja untuk berdamai. Gula-gula Damai Siam-Kemboja ini telah digunakan oleh Anwar bin Ibrahim untuk melunakkan lagi Perjanjian Anwar-Trump 2025.
Tup-tup bila parlimen bersidang, satu lagi bom meledak. Kali ini bukan atom tapi bom nuklear berpandu. Tukang pandu bom ini ialah YB Hassan Karim — sosok yang berhormat daripada parti Anwar Ibrahim sendiri.
“Saya tidak kira apa akan jadi kepada saya nanti... tapi jelas negara kita telah digadaikan kepada Amerika...” Ledakan suara ucapan berani mati seorang nasionalis bangsa. Parlimen bergegar.
“Trump datang... kita jual harta kekayaan negara kita... tak bayar royalti kepada Kelantan dan Terengganu tapi beri berbilion kepada Amerika...” Tambahan suara berani mati YB Hassan Karim.
Sidang parlimen jadi heboh, terutama daripada parti Islam PAS. Dum dam tang tung bunyi ahli parlimen bersuara. Semua melihat Perjanjian Anwar-Trump 2025 sebagai menggadaikan Tanah Melayu.
Ledakan nuklear daripada YB Hassan ini menjemput pelbagai sektor masyarakat untuk turut sama bersuara. Saya mula terbaca pandangan peguam, pandangan ahli akademik, pandangan lembaga perniagaan dan daripada aktivis badan bukan kerajaan.
Rata-rata pandangan mereka ini selari dan seirama. Kalau mengikut adat Perpatih Negeri Sembilan — suara seirama mereka ini datang dari perut dan waris yang sama.
Paling menarik ialah tulisan Kadir Jasin, bekas ketua pengarang NST ketika zaman Mahathir. Jika di dunia Arab, suara Kadir Jasin ini boleh disamakan dengan suara Hassan Heikal daripada akhbar Al-Ahram yang terbit di Kaherah di zaman Presiden Nasser.
Kadir membawa kita kembali melihat sejarah bagaimana Perjanjian Pangkor 1874. Kadir Jasin menyifatkan perjanjian dagang yang ditandatangani oleh Anwar dan Trump sebagai satu ulang tayang sejarah lama yang pernah membawa kepada penjajahan di Tanah Melayu.
Malah, Kadir turut membandingkan Perjanjian Anwar-Trump 2025 sama dengan Perjanjian Pangkor 1874, yang membuka jalan kepada penjajahan British di Tanah Melayu melalui sistem Residen.
“Pucuk dicita ulam mendatang. Di Perak, Raja Muda yang terlepas jawatan berhasrat merampas balik takhta. Maka beliau meminta tolong sahabatnya, Tan Kim Cheng di Singapura, seorang ahli kongsi gelap yang berjaya menjadi peniaga, ahli politik dan diplomat.
"Dengan bantuan pedagang Inggeris, William H. Read, termeterailah Perjanjian Pangkor pada 1874 yang menandakan bermulanya penjajahan Inggeris di negeri-negeri Melayu,” kata Kadir.
Wow — hebat perbandingan yang digunakan oleh Kadir ini. Malah, terlintas dalam kepala saya tentang Tengku Zafrul. Tengku Zafrul akan hilang kerusi menteri bila status senator tamat. Maka untuk terus berkuasa, Tengku Zafrul perlukan payung Anwar Ibrahim. Bagi saya, ini sama wataknya dengan Tan Kim Cheng — yang perlukan payung diraja untuk terus menyamun.
Setelah mencecah duli di Kuala Lumpur, Maharaja Trump terbang ke Jepun dan Korea. Tapi kentut Perjanjian Anwar-Trump 2025 telah mengeluarkan berak yang amat busuk.
Anwar Ibrahim, pakar lebong, terus bersilat lidah. RTM dan semua media yang sama sealiran terus menghebohkan ASEAN 2025 sebagai pintu syurga yang makin terbuka untuk dimasuki oleh warga Malaysia.
Anwar Ibrahim telah digambarkan sebagai pemimpin yang hebat oleh Maharaja Trump. Kehebatan Anwar bin Ibrahim telah disamakan setaraf dengan kehebatan Bibi Netanyahu, Perdana Menteri Israel.
Kenapa tidak? Sebelum ke Kuala Lumpur, Trump telah berada di Tel Aviv. Trump berucap di Parlimen Israel.
Pada 20 Ogos 2025, akhbar The New York Times telah melaporkan: Trump described Mr. Netanyahu as a good man.
Dua bulan kemudian, pada 29 Oktober 2025, NST telah melaporkan kata-kata Trump: Prime Minister was great, great guy...
Oops... nampaknya saya tersilap. Saya minta maaf.
Untuk Netanyahu, Trump hanya berkata: Netanyahu a good man. Sementara itu, untuk Anwar Ibrahim, bukan hanya good malah great... great guy. Dua kali Maharaja Trump mengulang perkataan great.
Sebelum ini, Anwar pernah mendakwa Trump berkata yang dirinya ini disifatkan oleh Maharaja Trump sebagai sosok fantastic. Bukan sekali tapi tiga kali. Saya ulang, bukan sekali tapi tiga kali — fantastic... fantastic... fantastic.
Untuk yang kurang arif bahasa Inggeris: good man bermakna insan yang baik manakala great guy membawa makna sosok yang hebat.
Aduh! Hebat memang hebat sosok yang bernama Anwar bin Ibrahim ini. Dia mendapat pujian daripada manusia yang paling berkuasa sekali dalam dunia ini. Tidak ada sesiapa yang boleh menandingi kuasa Maharaja Trump.
Modi dari Delhi, Xi Jinping dari Beijing atau Starmer dari London — campurkan ketiga-tiga ini, Donald Trump masih teratas.
Jika saya mendapat pujian seperti ini, pasti tujuh hari tujuh malam saya tidak akan lelap tidur. Makan tidak lalu, kentut tidak keluar.
Pelik bin ajaib, Perjanjian Anwar-Trump 2025 terus menjadi perbincangan hebat. Trump sudah lama pulang, rumah sudah siap, tapi tukul makin kuat berbunyi.
Sedikit demi sedikit butiran perjanjian diselongkar.
Apa dia yang ditemui dalam Perjanjian Anwar-Trump 2025 yang menjadikan pahat dan tukul masih berbunyi?
Sila tunggu sambungan minggu hadapan. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.