https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘Terdesak Kekal Kuasa?’ Muhyiddin Gugurkan Timbalan Sendiri


PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa sudah terdesak untuk mengekalkan kedudukannya sehingga mengambil keputusan memecat Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pemecatan Hamzah sudah boleh diagak dari awal lagi kerana Muhyiddin sedang terdesak.

Beliau turut mempertikai tindakan Muhyiddin menghantar notis pemecatan Ketua Pembangkang itu di dalam kumpulan sembang WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

“Seolah-olah beliau juga Pengerusi Lembaga Disiplin, Muhyiddin sudah berperangai di luar tabi’i. Dalam parti, sokongan kepada Muhyiddin sudah minima. Hanya mereka yang dia lantik saja yang menyokong dia, itupun kerana sayangkan jawatan lantikan.

“Betul lah komen-komen saya sebelum ini bahawa Lembaga Disiplin diperkuda untuk memburu Hamzah. Akar umbi kekal bersama Hamzah dan kumpulan yang lebih besar adalah bersama Hamzah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sebentar tadi, Hamzah dilaporkan dipecat kerana didakwa mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kepemimpinan Muhyiddin.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin memutuskan bahawa Hamzah dipecat serta merta.

Beliau berkata, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang itu sudah melanggar Perlembagaan Bersatu.

Menerusi tangkap layar kumpulan sembang yang tersebar, Muhyiddin menghantar surat pemecatan Hamzah itu dan ia disambut dengan sokongan oleh beberapa pemimpin yang memihak kepadanya.

Konflik dalaman Bersatu semakin panas apabila seramai 14 pemimpin Bersatu termasuk Hamzah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti semalam.

Tindakan itu dipercayai berkaitan dengan isu disiplin termasuk gerakan kononnya untuk menjatuhkan kepemimpinan Muhyiddin.

Bagaimanapun, hanya Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim sahaja yang hadir ke prosiding tersebut, sementara Hamzah dilaporkan kini berada di Sydney, Australia atas urusan ahli keluarganya.

Hari ini, seramai 16 ahli Parlimen Bersatu mendesak Muhyiddin untuk segera melepaskan jawatannya sebagai Presiden dan memberi ruang kepada Hamzah untuk mengemudi parti.

Wakil-wakil rakyat itu berpandangan bekas Perdana Menteri itu tidak lagi mempunyai keupayaan untuk menyatukan Bersatu dan membawa parti ke arah kejayaan

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.