https://critoxium.com/shop/

Terkini

17 ahli Parlimen Bersatu mahu Muhyiddin berundur


PETALING JAYA: 17 ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatannya sebagai Presiden dan memberi ruang kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk mengemudi parti.

Menerusi kenyataan bersama, wakil-wakil rakyat itu berkata, mereka menyokong penuh kenyataan Ketua Whip Dewan Rakyat Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang mendesak supaya Muhyiddin berundur kerana tidak lagi mempunyai keupayaan untuk menyatukan Bersatu dan membawa parti ke arah kejayaan.

“Tanpa menafikan jasa dan sumbangan Muhyiddin sebelum ini, hakikatnya beliau sudah tidak lagi mampu menyatukan parti dan memimpin parti ke arah kemenangan.

“Kami yakin bahawa Hamzah mampu menjadi Pemangku Presiden yang baik, mampu mengembalikan agenda Bersatu kepada perjuangan agenda rakyat dan negara, serta mampu menyatukan kembali parti demi memastikan kemenangan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

17 ahli Parlimen itu adalah Zikri Hassan (Kagar), Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Selain itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), Fathul Huzir Ayob (Gerik) dan Azahari Hassan (Padang Rengas).

Ahli Parlimen Bersatu lain Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Kalam Salan (Sabak Bernam), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar) dan Islahuddin Abas (Mersing) juga menyokong perkara sama.

Ini menandakan lebih separuh dari keseluruhan jumlah ahli Parlimen Bersatu iaitu 25 wakil rakyat tidak berpuas hati dengan Muhyiddin dan mahu Hamzah yang juga Ketua Pembangkang memimpin parti.

Konflik dalaman Bersatu semakin memuncak apabila seramai 14 pemimpin Bersatu termasuk Hamzah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti semalam.

Tindakan itu dipercayai berkaitan dengan isu disiplin termasuk gerakan kononnya untuk menjatuhkan kepemimpinan Muhyiddin.

Malah, perjumpaan pemimpin Bersatu di kediaman Muhyiddin pada 8 Februari dipercayai untuk membincangkan mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap Hamzah.

Perjumpaan tersebut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin Bersatu yang rapat dengan Muhyiddin, antaranya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.