“Pas Lindungi Hamzah? Krisis Senyap Dalam Perikatan Nasional”
PETALING JAYA: Pas didakwa sengaja melengahkan proses penyingkiran Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), R. Sanjeevan berkata, partinya sudah membuat keputusan dan menghantar surat rasmi.
Kata beliau, Bersatu berpandangan bahawa Ketua Pembangkang perlu diganti kerana Hamzah sudah dipecat dari parti.
“Tetapi Pas masih membisu, berlengah dan berpura-pura seolah-olah tiada apa berlaku. Ini bukan lagi soal prosedur, ini soal maruah serta kejujuran dalam gabungan. Kalau keputusan parti rakan sendiri pun tidak dihormati, apa makna gabungan?
“Atau sebenarnya Pas lebih selesa menjaga kepentingan politik sendiri daripada menjaga kesepakatan? Ketandusan pemimpin sampai terpaksa bergantung pada orang yang sudah dipecat?” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sebentar tadi, media melaporkan, kedudukan Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu sebagai Ketua Pembangkang kekal sehingga penghujung sidang Dewan Rakyat.
Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiada notis rasmi diterima berhubung pertukaran jawatan berkenaan setakat ini
Beliau berkata, sebarang perubahan jawatan penting memerlukan proses peraturan Dewan Rakyat yang tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.
Katanya, rundingan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang boleh diteruskan sekiranya perlu, namun kedudukan semasa adalah sah dan tidak menimbulkan sebarang isu dari sudut peraturan.
Sementara itu, Sanjeevan turut mencabar Pas untuk memegang jawatan Ketua Pembangkang selepas jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) disandang oleh Naib Presiden mereka, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Nak jadi Pengerusi PN tapi takut jadi Ketua Pembangkang? Kalau berani pegang jawatan besar, beranilah pikul tanggungjawab.
“Jangan hanya pandai bercakap soal wala’ dan prinsip, tapi bila diuji terus hilang arah,” katanya. – UTUSAN




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.