https://critoxium.com/shop/

Terkini

Apa rasanya menyanggah Tuanku Ampuan Negeri Sembilan?


Oleh Faisal Tehrani

Melihat satu video kepulangan Yamtuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di KLIA baru-baru ini, saya tidak dapat mengikis wajah Tuanku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud yang kelihatan menangis terharu kerana terdapat sebilangan rakyat Negeri Sembilan menyambut baginda berdua.

Ramai pula menyatakan mereka terganggu dan terkesan melihat baginda dalam keadaan berduka. Tambahan pula wajah baginda begitu mendung.

Untuk diri saya, sosok itu mengingatkan saya kepada ibu sendiri yang lahir pada tahun sama baginda diputerikan. Wanita lahir Tahun Naga biasanya kuat jiwa dan berpengaruh tetapi malang, sering pula dikhianati.

Umum mengetahui bagaimana Tunku Muhriz diperlakukan dengan begitu buruk semata-mata kerana baginda bertekad untuk membanteras korupsi, dan memusuhi sebarang usaha pemutihan penjenayah rasuah.

Namun demikian tidak banyak perhatian diberikan kepada Tuanku Aishah Rohani. Barangkali Tuanku Aishah sendiri bukan jenis individu yang gila cahaya lip-lap.

Saya berpandangan rakyat Negeri Sembilan sangat beruntung kerana Tuanku Aishah Rohani menjadi isterinya Tuanku Muhriz. Baginda adalah anakanda ketiga kepada Tengku Besar Mahmud ibni Sultan Zainal Abidin III dan To’ Puan Zainun Su Mahmud.

Datuk atau nenda Tuanku Aishah Rohani ialah seorang sultan. Dan beliau bukan sembarangan sultan.

Saya ingin mengetengahkan sedikit pengetahuan sejarah untuk pencerahan semua.

Nenda Tuanku Aishah Rohani ialah Sultan Terengganu yang ke-11 iaitu Sultan Zainal Abidin III (1881-1918). Ini bermakna baginda itu bukan orang biasa, bukan orang kebanyakan, bukan kelas penghibur dan darjat kelasan itu terpancar dalam banyak minat dan kerja kebajikan dilakukan baginda.

Konflik tuntut takhta abad lalu

Merenung hayat hidup nendanya, Sultan Zainal Abidin III, kita akan menginsafi yang baginda bukanlah sembarangan Raja. Dan maruah Tuanku Ampuan itu bukan sewenangnya diinjak.

Sultan Zainal Abidin III ialah putera Sultan Ahmad II dengan Tengku Kalsom, puteri Almarhum Sultan Muhammad Mu'azzam Shah Daik dari kerajaan Johor-Riau-Lingga yang bergelar Tengku Puan Besar Terengganu.

Dalam erti kata lain, sebelah Tuanku Ampuan itu adalah keturunan diraja yang sah. Sultan Zainal Abidin III ini pula merupakan cucu saudara kepada Sultan Omar Terengganu yang sangat tersohor itu.

Sultan Zainal Abidin III ditabal sebagai Sultan Terengganu pada usia muda, iaitu semasa berumur 16 tahun. Pelantikan tersebut adalah hasil pemuafakatan para pembesar dengan sokongan tokoh ulama pada 1882.

Meskipun menaiki takhta pada usia remaja, pertabalan baginda itu sangat bergengsi dalam upacara penuh adat istiadat yang ikut dihadiri wakil Raja Chulalongkorn, Raja Siam (1868-1910) yang dikenali Rama V. Kerabat baginda bernama Tengku Long yang bersemayam di Riau turut berangkat hadir.

Naiknya Sultan Zainal Abidin III berdepan dengan konflik ekoran terdapatnya pihak menuntut takhta iaitu Tengku Abas, adinda Sultan Ahmad II yang telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Muda sejak zaman pemerintahan Sultan Ahmad II lagi.

Sungguhpun demikian krisis takhta berkenaan dapat dileraikan melalui campur tangan para cendekiawan dan ulama iaitu Sheikhul Ulama Syed Abdullah Syed Muhammad. Para sarjana Melayu berpihak kepada nenda Tuanku Ampuan.

Pemilihan Sultan Zainal Abidin juga dibuat kerana baginda diasuh atau dilatih oleh Sultan Omar dan Sultan Ahmad II untuk mengambil alih tampuk pemerintahan. Bahkan dalam teks sejarah Sultan Zainal Abidin III, baginda dianggap sebagai Sultan Terengganu terunggul dalam pemerintahan Terengganu selepas Sultan Omar.

Hal itu kerana baginda itu diketahui warak, alim dan tegas melaksanakan hukum syarak selain menekankan soal keadilan dan kesejahteraan rakyat jelata. Baginda juga pintar dan kreatif ‘bersilat’ sehingga dapat mengekang kemaraan pelbagai penjajah iaitu British dan Siam.

Baginda diingati generasi terdahulu kerana tegas menolak syarat-syarat Perjanjian Bangkok 1909 selain enggan menerima penasihat British.

Diasak kiri dan kanan

Jika Terengganu sering dikait dengan parti PAS, saya juga suka mengingatkan orang PAS di Negeri Sembilan bahawa nenda Tuanku Aishah Rohani ialah tokoh yang bertanggungjawab menggubal undang-undang tubuh bertulis pertama di Terengganu iaitu, Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Itqan al-Muluk bi Ta'dil al-Suluk) pada 11 Zulkaedah 1329 (2 Nov 1911).

Ekoran penggubalan undang-undang tubuh itu, Sultan Zainal Abidin III diberi jolokan Bapa Pemodenan Terengganu iaitu dari sudut pemerintahan. Undang-undang tubuh itulah yang menjadi asbab kepada tertubuhnya jabatan-jabatan kerajaan yang ada pada hari ini.

Usaha Sultan Zainal Abidin III itulah yang meletakkan minat masyarakat Terengganu kepada hukum syarak sehingga hari ini. Saya yakin orang PAS di Negeri Sembilan tidak mengetahui bahkan jahil akan sejarah berkenaan.

Malah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, pun mungkin tidak pernah mendengar lipatan sejarah itu. Jika Adun PAS bertaraf exco tahu, tentu berasa bersalah kerana ikut 'menurunkan' Tuanku Muhriz dari takhta.

Nenda Tuanku Aishah Rohani - Sultan Zainal Abidin III - berada di atas takhta selama 36 tahun. Gabenor Negeri-negeri Selat, Frank Swettenham, ada menulis kata-kata salut betapa dia kagum kerana meskipun baginda itu sangat tersohor dan memerintah lama, tetapi baginda tidak menghimpun harta atau mengumpul kekayaan.

Musuh seorang pemerintah atau seorang sultan itu kadangkala bukan musuh eksternal, tetapi kehalobaan. Kezuhudan Sultan Zainal Abidin III itu saya percaya serba sedikit ada mengalir dalam pembuluh darah cucu-cicitnya.

Membaca hayat nenda Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan itu memahamkan saya bagaimana baginda dapat menjadi kudrat dan penyokong kuat kepada Tuanku Muhriz yang sedang diasak kiri dan kanan, dan dinafikan hak baginda pada waktu muda.

Ia juga memahamkan kita mengapa Tuanku Ampuan boleh aktif dalam kerja kebajikan melibatkan kanak-kanak, dan pendidikan. Termasuklah menjadi Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Saya sedikit hairan mengapa tiada sarjana di Usim yang bersungguh ke depan mempertahankan kehormatan canselor mereka.

Mengapa saya membangkitkan perihal kedudukan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan ini?

Cucunda sultan yang warak

Begini, menurut RO Winstedt - pegawai Inggeris yang berminat dengan budaya dan adat Melayu termasuklah Adat Perpatih - faktor isteri dan keturunan juga memain peranan dalam menyerlah kedaulatan seseorang raja.

Dalam catatannya, A History of Negeri Sembilan pada 1934, Winstedt menyatakan aspek pemilihan seorang Yamtuan Besar Negeri Sembilan itu kadangkala perlu juga mengambil kira faktor latar belakang pasangan dan juga kekerabatan baginda isterinya.

Nah, Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan itu keturunan diraja yang sah dari Johor-Riau, dan datuk atau nendanya sendiri adalah sultan yang terkenal. Saya kira jika kita mengambil kira aspek sejarah dan salasilah ini sahaja untuk dipertandingkan, baginda menang serba-serbi.

Menonton satu video di media sosial iaitu kepulangan Tuanku Muhriz di KLIA baru-baru ini, saya tidak dapat memadam wajah mendung Tuanku Aishah Rohani yang berjalan di belakang. Langkah baginda gontai, tampak sebak, dan menahan air mata terharu kerana terdapat rakyat Negeri Sembilan menyambut mereka berdua.

Ia membuatkan saya terfikir apa rasanya sebahagian rakyat Negeri Sembilan menderhakai Tuanku Muhriz, dan isteri baginda - seorang cucunda seorang sultan yang warak dan terbilang dari Terengganu.

Ya, izinkan saya bertanya kepada kelompok yang menyanggah Tuanku Muhriz di Negeri Sembilan dan rakyat negeri tersebut amnya: apa rasa kalian dan kenapa kalian tergamak melakukannya?

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.