Hamzah perlu jadi ahli biasa – Berjasa
PETALING JAYA: Pemimpin mana-mana parti termasuk dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berhasrat menyertai Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) perlu mengikuti syarat ditetapkan selain melalui proses berdasarkan Perlembagaan dan bersedia menjadi ahli biasa terlebih dahulu.
Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim berkata, selain itu penyertaan bekas kepemimpinan Bersatu termasuk Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin ke dalam parti itu juga perlu mendapat persetujuan semua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Malah katanya, pemimpin berpengaruh yang menyertai Berjasa juga perlu bersikap terbuka dengan sebarang keputusan termasuk soal peletakan calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
“Walaupun ada dalam kalangan mereka (bekas pemimpin Bersatu) yang mempunyai pengaruh kuat di kawasan Parlimen, parti itu tetap akan membuat perbandingan dengan calon-calon lain yang turut berhasrat untuk bertanding di bawah Berjasa.
“Apatah lagi kalau bekas pemimpin itu masuk Berjasa sebagai ahli biasa (terlebih dahulu). Jadi, banyak faktor dan perbandingan, perundingan dan tapisan perlu dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, timbul desas desus berhubung hala tuju politik Hamzah termasuk kemungkinan mengambil alih sebuah parti politik lama iaitu Berjasa sebagai ‘rumah baharu’.
Sementara itu, Zamani ketika ditanya soal pengambilalihan kepemimpinan Berjasa, menafikan dakwaan tersebut dan sebarang keputusan bergantung sepenuhnya kepada MKT parti itu.
Menurutnya, Berjasa akan terus kekal kepada agenda penyatuan Melayu dan nasional yang merangkumi pengukuhan perpaduan serta reformasi politik.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad yang sebelum ini dipecat keahliannya dalam parti berkata, beliau masih belum membuat apa-apa keputusan berhubung hala tuju politiknya termasuk penyertaan ke dalam Berjasa.
“Belum lagi (buat keputusan),” katanya ringkas.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.