https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ayatollah Ali Khamenei terbunuh serangan AS-Israel


WASHINGTON/TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran sejak 1989 dan musuh tegar Barat, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh pada Sabtu dalam serangan awal serangan besar-besaran Amerika Syarikat (AS) dan Israel, kata Presiden Donald Trump, sambil menggesa penggulingan rejim kepimpinan republik Islam itu.

Perkara itu dimaklumkan media kerajaan Iran.

Susulan kejadian itu, kerajaan Iran mengisytiharkan 40 hari berkabung umum di seluruh negara, sebagai tanda penghormatan terhadap pemimpin tertinggi tersebut.

Sorakan kedengaran di jalan-jalan Teheran selepas laporan pertama muncul dari Israel mengenai kematian Khamenei, ketika kepulan asap hitam berlegar di kawasan tempat beliau biasanya menetap, menurut saksi kepada AFP.

Serangan itu berlaku beberapa minggu selepas pihak berkuasa Iran menindas secara kejam protes besar-besaran, membunuh ribuan orang.

“Khamenei, salah seorang manusia paling jahat dalam sejarah, telah mati,” kata Trump dalam satu kenyataan.

Trump berikrar serangan tidak akan dihentikan sehingga kejatuhan republik Islam itu, sambil menggesa pasukan keselamatan supaya berundur.

“Ini adalah peluang tunggal terbesar bagi rakyat Iran untuk mengambil semula negara mereka,” tambah Trump.

Iran membalas serangan itu dengan rentetan serangan peluru berpandu dan dron di seluruh Asia Barat, membunuh sekurang-kurangnya seorang di Abu Dhabi dan seorang lagi di Tel Aviv ketika letupan menggegarkan bandar-bandar utama monarki Arab Teluk.

Sebelum ini, tiada pengesahan segera daripada pihak berkuasa Iran mengenai kematian Khamenei.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi sebelum ini memberitahu laman berita NBC News bahawa Khamenei masih hidup .

Jurucakap kementerian luar, Esmail Baqaei memberitahu portal berita Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa beliau tidak berada dalam kedudukan untuk mengesahkan apa-apa.

Bercakap sebelum Trump, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata mengenai Khamenei bahawa terdapat banyak petanda bahawa beliau tidak lagi hidup.

Katanya kepada rakyat Iran: “Inilah masanya untuk anda bersatu tenaga, menggulingkan rejim dan menjamin masa depan anda.”

Tentera Israel berkata, penasihat kanan Khamenei, Ali Shamkhani dan ketua Pengawal Revolusi Iran yang berpengaruh, Jeneral Mohammad Pakpour turut terbunuh.

Reza Pahlavi, anak kepada shah pro-Barat yang digulingkan dalam revolusi Islam 1979, menggesa rakyat Iran supaya kekal berwaspada dan kemudian turun ke jalanan secara besar-besaran apabila beliau mengeluarkan seruan.

Memuji laporan kematian Khamenei, Pahlavi berkata: “Dengan kematiannya, republik islam secara efektif telah berakhir dan tidak lama lagi akan dihumban ke tong sampah sejarah.”

Pahlavi, yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya dalam buangan berhampiran Washington, telah menampilkan dirinya sebagai tokoh peralihan ke arah demokrasi sekular walaupun beliau tidak mendapat sokongan daripada semua pihak pembangkang.

Pihak berkuasa Iran menggesa penduduk berpindah keluar dari Teheran, ibu kota dengan 10 juta penduduk. Persatuan Bulan Sabit Merah negara itu berkat,a sekurang-kurangnya 201 orang terbunuh dalam serangan dan lebih 700 lagi cedera. – AFP

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.