https://critoxium.com/shop/

Terkini

Siapa Sebenarnya Mahu Iran Berubah — Rakyat atau Kuasa Luar?


Oleh Fathi Aris Omar

Jika hendak dimudahkan, matlamat perang ini ringkas sahaja:

A. Tukar rejim ayatollah dengan pemerintah baru yang boleh diperkuda. Maka kuasa asing dapat sumber minyak murah. Ia pernah berlaku.

Pemerintah yang demokratik ditumbang, maka naiklah rejim raja palsu Shah. Hasil mahsul dijarah kuasa asing.

B. Selamatkan rejim haram daripada ancaman kumpulan ayatollah, maka boleh kawal tanah suci umat Islam itu 100 peratus.

Jika rejim itu dapat stabil di tepi Laut Mediteraneun, maka ia berpotensi lebarkan penguasaan penuh ke Teluk Parsi dan Laut Merah.

Tetapi apa isu sebenar di republik ayatollah?

1. Rakyat perlu buat perubahan dalam negara tanpa tunduk pada kuasa luar yang puluhan tahun ingin menjarah hasil bumi negara itu.

Caranya ada dua sahaja:

1 (a) kekalkan rejim sedia ada, atau

1 (b) tukar rejim yang tidak jadi kuda Barat walau bukan geng ayatollah

2. Rakyat yang berang buat perubahan dalam negara dengan bantuan antek-antek asing dan kemudian jadi kuda blok Barat.

Maka berulanglah babak pedih kudeta Reza Shah Pahlavi dengan sokongan kuasa asing pada 1941.

Persoalan 1 (b) ini yang ramai tidak faham. Yang benci republik ini, guna hujah agama, seolah-olah menghalalkan serangan semalam.

Ada yang tengok mazhab. Ada yang tengok demonstrasi hujung 2025 hingga awal 2026..Tetapi mereka lupa sekatan demi sekatan ekonomi.

Mereka lupa kezaliman dan penganiayaan sejak revolusi 1979. Dalam dan luar negara.

Maka rakyat Malaysia yang bodoh jadi tukang sorak kuasa Barat. Di mulut, cakap anti-Barat tetapi jadi jurucakap dan tukang sorak kuasa yang dibenci.

Sebab apa? Sebab malas baca sejarah dan cari konteks sesuatu peristiwa. Kita asyik layan isu demi isu secara terpisah-pisah. Tabiat kita semua.

Mereka lupa kenapa muncul revolusi 1979. Yakni cubaan untuk bebas daripada eksploitasi asing.

Negara mana yang sanggup diperhamba?

Tanah Melayu sendiri jadi mangsa tekanan, eksploitasi dan penjarahan selama ratusan tahun.

Negara-negara Arab tidak kesah sebab mereka merdeka daripada Usmaniah dengan bantuan kuasa Barat. Bagi mereka, itulah kemerdekaan. Barat itu sekutu mereka, pejuang kemerdekaan.

Maka pemimpin Arab tidak kesah dieksploitasi. Sebab mereka anggap itu semua pelaburan dan jaminan perlindungan daripada geng ayatollah.

Ringkas cerita,

C. Mereka yang bodoh cakap benci Barat tetapi jadi jurucakap dan tukang sorak perang ini.

D. Mereka yang selesa diperalat kuasa Barat sentiasa rasa terancam dengan usaha kemerdekaan.

Dan umat Islam jatuh dalam kategori C dan D.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.