https://critoxium.com/shop/

Terkini

“Siapa Bakal Ketua Pembangkang? Pas Masih Berteka-Teki”


Pas belum memuktamadkan siapakah calon dari parti itu yang akan dinamakan sebagai ketua pembangkang.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau juga belum menerima maklumat mengenai perkara itu termasuk dakwaan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang akan dipilih.

Menurutnya, hak untuk menamakan ketua pembangkang itu diberikan kepada Pas memandangkan parti itu mempunyai jumlah ahli Parlimen paling ramai dalam gabungan berkenaan.

“Mesyuarat itu bersetuju supaya Pas menamakan sesiapa dalam kalangan ahli Parlimennya yang sesuai untuk mengambil tempat itu secepat mungkin.

“Cuma saya belum dapat maklumat terkini. Saya hendak tunggu daripada pimpinan Pas, sudah ada atau belum keputusan dibuat, saya tidak tahu,” katanya kepada pemberita pada Program Rahmat Ramadan Bersatu Negeri Sembilan di Nilai di sini, hari ini.

Hari ini Utusan Malaysia melaporkan Takiyuddin didakwa telah dipilih untuk menggantikan Hamzah sebagai ketua pembangkang dalam perbincangan dalaman ga­bungan itu baru-baru ini.

Sumber dalaman PN membe­ritahu, perkara berhubung ja­wa­tan ketua pembangkang sememangnya dibangkitkan dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 22 Februari lalu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi PN dalam pada itu berkata, sebaik sahaja Pas memuktamadkan calon, perkara itu perlu dimaklumkan secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Kita tunggu sahaja kerana saya pun tidak tahu bila. Kalau ikut kehendak parti, kita sudah buat keputusan, tetapi nama itu belum ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata beliau tidak terkesan mengenai kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyifatkan beliau sebagai ‘musuh utama’.

“Saya tidak kisah kalau dia kata saya musuh nombor satu atau nombor 10 kerana dulu dia pernah kata dia saya punya penyokong nombor satu.

“Dia telah melakukan kesalahan besar dengan melanggar perlembagaan parti dan melakukan pelbagai tindakan yang bertentangan dengan kepentingan parti serta peribadi saya. Atas sebab itu, Lembaga Disiplin mengambil keputusan untuk menyingkirkan,” katanya.-UTUSAN.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.