https://critoxium.com/shop/

Terkini

Arab Saudi Panik: Selat Hormuz Ditutup, Pasaran Minyak Dunia Terancam


Terjemahan Fathi Aris Omar

Arab Saudi panik, jangka "akibat dahsyat" jika gagal eksport minyak melalui Selat Hormuz 👇

Aramco milik Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar dunia, jangka akan berlaku “akibat yang dahsyat” terhadap pasaran minyak dunia sekiranya perang Iran terus mengganggu penghantaran melalui Selat Hormuz.

Penghantaran minyak sebahagian besarnya telah terhalang daripada menggunakan laluan perkapalan itu, di mana biasanya kira-kira 20 peratus minyak dunia melalui kawasan tersebut setiap hari.

Pengawal Revolusi Iran berkata mereka tidak akan benarkan “walau satu liter minyak” dihantar keluar dari Timur Tengah jika serangan Amerika Syarikat dan Israel berterusan.

“Akan ada akibat yang dahsyat terhadap pasaran minyak dunia dan semakin lama gangguan ini berterusan… semakin drastik kesannya terhadap ekonomi global,” kata CEO Aramco, Amin Nasser.

“Walaupun kita pernah hadapi gangguan sebelum ini, yang ini setakat ini krisis terbesar yang pernah dihadapi industri minyak dan gas di rantau ini,” katanya.

Tambahnyq, krisis ini bukan sahaja goncang sektor perkapalan dan insurans, malah berpotensi cetus kesan domino yang besar terhadap industri penerbangan, pertanian, automotif dan sektor lain.

Israel dan Amerika Syarikat mula menyerang tapak ketenteraan Iran serta pusat kuasa rejim pemerintah pada 28 Februari.

Ia mendorong Kor Pengawal Revolusi Islam Iran mengumumkan Selat Hormuz ditutup beberapa hari berikutnya, sambil mengancam akan serang kapal yang bawa minyak jika cuba melaluinya.

Iran juga serang infrastruktur tenaga di negara- negara pengeluar minyak di sekitar rantau Teluk, yang menyumbang kepada kenaikan mendadak harga minyak dan gas.

Penanda aras minyak mentah global Brent, yang melonjak ke paras tertinggi lebih tiga tahun hampir $120 setong pada Isnin, didagangkan sekitar $92 pada Selasa selepas Donald Trump ramal perang itu mungkin berakhir tidak lama lagi.

Trump beri amaran bahawa AS akan serang Iran dengan lebih keras jika ia sekat eksport dari rantau pengeluaran tenaga yang penting itu.

Presiden itu juga berkata Tentera Laut Amerika Syarikat boleh mengiringi kapal di Teluk bagi menjamin laluan yang selamat.

Keupayaan tentera laut AS untuk berbuat demikian masih tidak jelas, memandangkan beberapa kapal sudah terlibat dalam serangan terhadap Iran dan memintas peluru berpandu negara itu.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan pengiring oleh Tentera Laut AS dan sama ada ia mampu dilaksanakan pada skala yang diperlukan, Nasser berkata jumlah yang terlibat adalah sangat besar.

Tambahnya, pelanggan Aramco tanggung risiko penghantaran.

“Sudah tentu kami akan sokong tindakan atau langkah yang dapat bantu menghantar produk kami kepada pelanggan dan ke pasaran global,” katanya.

Namun pegawai kanan tenaga dari negara Teluk lain nyatakan keraguan terhadap idea tersebut, sambil berkata menghentikan perang adalah satu-satunya cara untuk buka semula selat itu bagi eksport minyak dan gas.

Nasser menyatakan bahawa inventori minyak global kini berada pada paras terendah dalam tempoh lima tahun.

Krisis ini akan sebabkan stok berkurang dengan lebih cepat, sambil tegaskan bahawa penghantaran melalui selat itu perlu disambung semula.

“Malangnya bagi pasaran global, kebanyakan kapasiti lebihan berada di rantau ini,” kata Nasser kepada para penganalisis.

Tambahnya, peningkatan permintaan sepanjang tahun akan terus mengekalkan keseimbangan pasaran yang ketat.

Pada masa ini, Aramco tidak mengeksport minyak dari Teluk kerana kapal tidak dapat memuatkan kargo di sana.

Namun syarikat itu, yang tidak mendedahkan jumlah tepat pengeluaran minyak mentahnya, masih memenuhi sebahagian besar keperluan pelanggannya, katanya, sebahagiannya dengan menggunakan inventori global.

“Namun inventori itu tidak boleh digunakan untuk tempoh yang panjang, tetapi buat masa ini kami memanfaatkannya,” katanya.

Aramco juga telah meningkatkan dengan ketara jumlah minyak yang dihantar melalui saluran paip Timur-Barat, yang menghubungkan pusat pemprosesan minyak Abqaiq berhampiran Teluk Parsi ke pelabuhan Yanbu di Laut Merah, sekali gus memintas Selat Hormuz sepenuhnya.

Saluran paip itu, kini mempunyai kapasiti lebih dua kali ganda daripada kapasiti asalnya, dijangka capai kapasiti penuh sebanyak 7 juta tong sehari dalam beberapa hari lagi apabila pelanggan alihkan laluan penghantaran mereka, kata Nasser.

“Walaupun dengan kemampuan kami mengeksport melalui wilayah barat, anda masih bercakap tentang hampir 350 juta tong gangguan bekalan yang akan hilang dari pasaran,” katanya.

Selain saluran paip itu, Aramco juga boleh menyalurkan minyak mentah untuk memenuhi permintaan domestik.

Hampir 2 juta tong sehari daripada kapasiti 7 juta tong sehari saluran paip tersebut dihantar ke kilang penapisan domestik di barat yang merupakan pengeksport bersih produk petroleum.

Satu kebakaran kecil akibat serangan minggu lalu ke atas kilang penapisan Ras Tanura milik Aramco — yang terbesar di dalam negara — berjaya dipadamkan dengan cepat dan dikawal, katanya.

Aramco lapor penurunan keuntungan tahunan sebanyak 12 peratus, terutamanya disebabkan oleh harga minyak mentah yang lebih rendah.

Syarikat itu juga umum akan beli semula sahamnya sehingga bernilai $3 bilion dalam program pembelian semula pertama dalam sejarahnya.

TERJEMAHAN Saudi Aramco warns of ‘catastrophic consequences’ unless Strait of Hormuz opens

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.