Perang di mata Ali Khamenei
Oleh FAISAL TEHRANI
Baru-baru ini saya menulis di kolum ini mengenai sebuah karya as-Syahid Ayatullah Ali Khamenei yang diterjemahkan sebagai ‘Akar Keimanan’. Ramai pihak menunjukkan minat kepada buku ini dan menghubungi saya.
Malah ada yang bertanya, apakah ada karya lain as-syahid yang sesuai dibaca?
Sudah tentu ada. Buku yang selayaknya dibaca umum ialah Perang Kebudayaan atau dalam judul bahasa Parsinya Al-Ghazwu Ats-Ttaqafi: al Muqaddimat wa al-Khalfiyyat at-Tarikhiyyah.
Buku ini terdapat dalam bahasa Indonesia dan pernah mendapat sambutan hangat di rantau kita pada 1990-an.
Kemudian - agaknya kerana momok yang dilabel kepada Syiah - buku tersebut tenggelam dalam sekian banyak buku wacana. Padahal ia adalah sebuah karya yang menurut saya sungguh monumental.
Idea atau gagasan beliau seputar perang kebudayaan ini dibangunkan daripada banyak ucapan dan pidato sebagai pemimpin tertinggi Iran, dan sering diulang-ulang. Gagasan ini kemudian disusun rapi dan membentuk satu wacana tersendiri.
Apakah perang yang diberi perhatian oleh Khamenei ini?
Menurut Khamenei, perang yang sengit dan dahsyat sebetulnya bukanlah perang persenjataan seperti yang kita lihat berlaku di antara Iran dengan AS dan Israel tatkala ini.
Perang yang lebih ganas dan lebih menggerunkan ialah dalam lapangan budaya.
Boleh ditemukan di media sosial
Khamenei mendefinisikan perang budaya sebagai kekerasan politik atau ekonomi yang sangat halus dan bersifat teror senyap. Serangan dilancarkan untuk menundukkan umat di bawah penguasaan musuh.
Matlamat perang ini ialah untuk menggantikan budaya sedia ada di sesebuah negeri dengan budaya musuh - dalam konteks ini, Barat.
Pendekatan perang budaya juga melampaui tiga peringkat iaitu pertama, menggoyang keyakinan kita terhadap agama; kedua, memutuskan hubungan umat dan keyakinan mereka daripada Revolusi (dalam hal ini agama Islam); dan ketiga, menjarakkan umat daripada kemampuan menghasilkan sesuatu yang besar dan berwibawa dengan alasan-alasan kecil serta memberi ketakutan atau ancaman kepada umat untuk mendirikan atau menghasilkan sesuatu yang hebat.
Di landasan inilah kita memahami mengapa Iran bersungguh-sungguh mahu menghasilkan sains teknologi yang bersumberkan nuklear. Walau lebih kerap dan keras Iran dihenyak serta dinafikan haknya, maka lebih kuat mereka berjuang agar beroleh hak memiliki teknlogi tersebut. Ali Khamenei
Menurut Khamenei kaedah perang kebudayaan ini adalah dengan menunggang diaspora Iran yang mahu kembali kepada era Redza Pahlavi yang kini bermukim di AS.
Itulah sebabnya di media sosial kita akan berasa jelik dengan tingkah laku diaspora Iran. Mereka malah bersekongkol dengan Zionis dan mengherdik sesiapa sahaja yang berusaha untuk menentang serta melindungi umat.
Tingkah laku mereka itu paling banyak boleh ditemukan di platform media sosial Threads.
Kaedah kedua perang kebudayaan ialah menerusi penyebaran filem, karya sastera dan buku fikrah picisan yang tiada membangunkan pemikiran.
Seiring dengan gerakan ini ialah sebaran produk porno supaya generasi muda menjadi lemah dari segi pemikiran, kesihatan seksual dan berada dalam khayal angan-angan yang terapung-apung.
Analogi ubat dan racun
Untuk menumbuhkan semua itu dengan subur, satu hal yang mesti dilakukan ialah mencambahkan kecintaan kepada kebendaan. Hal itu supaya generasi muda berasa terhimbau kepada apa yang ditawarkan peradaban Barat sebagai sesuatu yang canggih dan mesti diikuti.
Tanpa sedar umat akan ditimpa dengan kolonialisme budaya.
Menurut Khamenei, seringnya mangsa perang kebudayaan ini adalah kita di Selatan, atau di dunia ketiga. Ia dilakukan supaya kita tidak dapat bangkit oleh pertukaran ilmu dan tidak bebas serta selalu memerlukan Barat.
Satu hal yang penting dinyatakan di sini ialah perang kebudayaan menurut Khamenei berbeza dengan pertukaran kebudayaan.
Bagi Khamenei semua bangsa dan peradaban memerlukan pertukaran budaya kerana kita perlu belajar daripada yang lain. Pertukaran budaya adalah sesuatu yang positif kerana ia berupa penyempurnaan dan pengayaan budaya.
Beliau memberi analogi pertukaran budaya sebagai ubat atau vitamin yang diperlu tubuh, sedangkan perang kebudayaan merupakan pengambilan racun dan toksik (ubat murah) yang akan merosakkan badan.
Pertukaran budaya berlaku pada saat sesuatu bangsa berada dalam kekuatan dan berkemampuan, manakala perang kebudayaan berlaku semasa bangsa tersebut mengalami keterperukan dan kelemahan.
Niat perang kebudayaan ialah kerosakan sosial sesuatu bangsa sehingga mereka menjadi sangat bergantung kepada Barat agar golongan terbabit boleh terus dihambakan. Hal ini antara lain dilakukan menerusi bahasa kerana bahasa adalah jantung sesuatu bangsa.
Kita mengenal simpulan bahasa, bahasa jiwa bangsa. Nah, di sinilah titik serangan perang kebudayaan itu berlaku.
Sumber ilmu, peradaban bangsa
As-Syahid Khamenei seterusnya menekankan lagi yang penyebaran bom-bom budaya dilakukan dengan teknologi komunikasi yang canggih.
Hari ini tentu sahaja ia langsung terus ke tangan kita melalui telefon kelek dan Ipad yang kita sayang serta tekuni sepanjang masa.
Dalam buku Perang Kebudayaan yang bagus ini, Khamenei mengupas bagaimana umat Iran berusaha melawan kuasa imperialisme dan penjajahan budaya. Contoh-contoh dari era Shah yang digulingkan rakyat pada 1979 dibentangkan agar kita dapat memahami konteks perlawanan Iran dan Barat - yang diberi nama westoksikasi (Barat dan racun).
Pemimpin tertinggi Iran itu menghujahkan beberapa cara untuk menyelamatkan bangsa atau umat daripada tertawan dalam perang kebudayaan.
Selain dari pemugaran budaya dan seni tradisi sendiri serta bahasa dan kesusasteraan, umat perlu kembali mempelajari sejarah sendiri dan ia seharusnya tidak terbatas pada sejarah Islam saja.
Keperluan memahami dan menekuni sejarah membolehkan kita memahami sumber ilmu bangsa dan peradaban sendiri, lantas mencetuskan minat mendalam untuk mengacukan kembali kekuatan bangsa dari zaman lampau pada era kontemporari.
Hari ini kehebatan dan kebesaran bangsa Iran menepis serta melawan musuh di medan perang dengan teknologi peluru berpandu yang canggih memusnahkan musuh Zionis dan sekutu munafiknya di negara Teluk.
Ia sudah mencengang dan melongokan kita.
Ketahuilah apa yang Iran berjaya lakukan sekarang bukan kerana kekuatan militer pada hardware (iaitu dimensi fizik perang itu) tetapi sebaliknya pada pertahanan perisian berupa perlindungan kesedaran umat yang telah berjalan sekian lama.
Jika Khomeini membebaskan Iran dengan menewaskan Shah di lapangan perang kebudayaan, Khamenei pula melindungi dan membangunkan program dan pelan pemantapan bangsa dalam hal perisian di atas.
Hanya dengan kedua-dua tahap yang dilalui selama lebih empat dekad itulah kita kini melihat ketangkasan pemimpin tertinggi mereka yang ketiga, Ayatullah Mojtaba Khamenei, berupaya untuk mengacukan muncung peluru berpandu kepada musuh.
Walhasil, kekuatan Iran hari ini bukan datang dari vakum sebaliknya muncul daripada pengalaman sejarah dan perjuangan berdarah, air mata, kudrat dan peluh yang banyak. Ada pelbagai pelajaran yang boleh kita pelajari dari Iran, justeru menekuni dan mendiskusi buku luar biasa ini adalah salah satu caranya.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.