“Boikot Undi: Senjata Senyap Yang Boleh Jatuhkan Kerajaan”
Oleh Fathi Aris Omar
Ada orang PH ingat saya ini walaun 😀 bila tulis begini 👇 Orang PH tentu tolak 100 peratus. Mereka geli dengan usulan ini. Yang faham saja ketawa.
Tetapi mereka tidak sedar bahaya yang PH sedang alami, khasnya keputusan pilihan raya Sabah 2025. Dan apabila Kerajaan Perpaduan tidak memuaskan hati sejumlah pengundi bukan Melayu.
Saya rasa perlu penjelasan sedikit apa yang tersirat di balik ayat-ayat ringkas di bawah (imej merah).
1. Saya diberitahu ada pengundi bukan Melayu, yakni pengundi PH, yang tidak puas hati prestasi dan janji DS Anwar Ibrahim dan juga isu babi.
2. Oleh kerana tidak sanggup sokong parti lain, mereka ingin boikot PRU atau tidak mahu keluar mengundi. Sementara yang lain sedang fikir parti-parti lain kecuali PAS.
3. Ada juga yang kecewa kerana sudah beberapa PRU mereka mengundi PH tetapi tiada kesan positif yang mereka impikan sudah jadi kenyataan. Jadi mereka bingung dan marah pada PH.
4. Jadi, saya cakap: jika mereka tidak berpuas hati pada Anwar, DAP atau PH, lebih baik kita pakat beri peluang kepada PAS. Sekurang-kurangnya untuk satu penggal.
5. Sebab apa begitu? Sebab bukan Melayu sudah setia bersama BN sejak 1957. Tetapi mereka bosan, lalu mereka mula alih arah kepada PR pada 2008 dan 2013. Kemudian PH pula pada 2018 dan 2022. Sudah dua gabungan mereka pertaruhkan.
6. Nampak? Jadi, hanya satu gabungan yang belum dicuba iaitu PAS (dan PN). Kenapa bukan Melayu tidak sanggup undi PAS, seperti Melayu digempar- gemparkan dengan DAP?
Lebih baik kita cuba naikkan PAS-PN pula jika uji kaji dengan BN dan PH dianggap "gagal" atau "tidak cukup memuaskan hati". Betul?
7. Hakikatnya politik di negara kita, selama ini, berkaitan uji kaji politik. Bukan pada 2008 atau 2018 tetapi sejak 1970-an dan 1980-an lagi (di Sabah). Kita memang suka uji kaji.
Jadi kenapa takut uji kaji dengan PAS-PN?
8. Apa makna uji kaji ini, seperti di Sabah dan pada 2008? Maknanya kita rela menolak sesuatu yang kita tidak suka walau kita sudah kenal.
Dan kita memilih sesuatu yang kita tidak pasti ada pengalaman dan track record. Politik seperti ini politik tolak (avoid), bukan politik dapat (gain) sesuatu yang lebih baik.
9. Politik tolak inilah yang ada pada semua penyokong pembangkang yang setia. Mereka rela kempen walau tidak menang; mereka rela habis segala-galanya walau sudah tahu akan kalah teruk.
10. Tetapi sejumlah penyokong PH dan DAP ini, bukan Melayu khasnya, mula fikir apa yang mereka dapat (gain) jika undi parti ini. Padahal dahulu, politik mereka politik tolak (avoid); mahu tolak BN.
Apabila fikir politik itu dapat sesuatu (gain), mereka kecewa apabila tidak dapat! Mahu UEC, mahu hak sama rata, meritokrasi, Malaysia untuk rakyat Malaysia dan apa-apa yang senada dengan itu.
11. Mereka sudah lupa politik tolak (avoid), yakni tolak BN dan tolak PAS. Bukan undi PH untuk capai (gain) sesuatu tetapi untuk tolak BN dan PAS. Mereka sudah lupa! Sebab itu mereka kecewa.
12. Berbeza dengan majoriti pengundi Melayu saat ini. Mereka masih amalkan politik tolak (avoid).
Mereka mahu tolak Anwar, DAP, Umno dan DS Zahid Hamidi. Motivasi mereka kuat, tidak mudah kecewa. Tidak patah hati dengan cepat. Menang atau kalah, mereka tetap tolak.
13. Tidak seperti politik dapat (gain) yang ada pada pengundi BN misalnya. Dapat sesuatu, sokong BN. Apabila tidak dapat, maka undi pembangkang. Atau sabotaj parti sendiri dan boikot kerja pilihan raya.
Nampak tak? Bahaya politik dapat ini. Tidak dapat (gain) sesuatu, maka dia patah hati, fikir untuk tidak mahu keluar mengundi atau cari parti lain. Sebab dia rasa undi dia hanya sia-sia!
Penyakit politik dapat (gain) inilah yang sedang dihidap oleh pengundi PH dan DAP bukan Melayu. Walau hanya satu penggal. Banyak orang terkena penyakit ini termasuk Melayu dan parti lain.
14. Jadi ahli strategi PH dan jurukempen DAP perlu sedar risiko psikologi pengundi seperti ini: politik dapat. Tidak dapat, aku reject kau!
Kau orang tetap setia pada PH, itu soal kau oranglah. Kau orang masih politik tolak. Tetapi tidak semua pengundi PH fikir sejalan dengan kau orang. Ingat! Kempen PRU bukan kerja syok sendiri.
15. Di mana silapnya? Silapnya pada 2008 juga! Apabila pengundi bukan Melayu alihkan sokongan kepada DAP dengan mutlak. Akhirnya DAP = MCA + MIC + Gerakan.
Asalnya mereka ada dua punca kuasa sebelum 2008. (1) Kerajaan BN: MCA + MIC + Gerakan + parti Borneo dan (2) pembangkang: DAP.
PAS tidak masuk kira sebab bukan pilihan.
Di sinilah dinamika politik bukan Melayu. Mereka ada pilihan. Antara kerajaan dan pembangkang. Macam pengundi Melayu ada Umno (kerajaan BN) dan PAS sebagai pembangkang.
16. Sekarang bukan Melayu sudah hilang arah. Jika DAP dalam kerajaan tidak tunaikan sesuatu atau gagal halang sesuatu, mereka mahu ke mana?
Sebab mereka sudah bunuh MCA, MIC dan Gerakan. Mereka sudah jammed. Tidak sokong DAP, ada risiko PAS-PN atau BN naik menguasi Putrajaya. Macam yang Melayu alami sekarang, apabila PAS-BN berjaya hakis undi Umno.
17. Pengundi bukan Melayu, termasuk DAP juga, kadang-kadang tidak faham psikologi Melayu. Mereka kurang sensitif dan suka desak yang bukan-bukan dengan nada cauvinis.
Mereka tidak sedar tindakan atau kenyataan seperti itu meliarkan lagi pengundi Melayu. Akibatnya apabila Melayu meluat pada DAP, mereka juga menyampah pada PKR dan Amanah.
18. Jika keadaan ini bertambah parah, yang menang hanya DAP dan PAS-PN. Parti seperti PKR akan makin terhakis dan terpinggir. Ibarat beri pisau pada PAS-PN untuk bunuh PKR dan Amanah.
Namun tentu orang bukan Melayu fikir, apa guna undi DAP jika parti itu tidak mampu tunaikan cita-cita sama rata Malaysian Malaysia? Apa guna undi DAP jika lembik macam MCA juga?
Mungkin hal seperti itu ada dalam fikiran bukan Melayu. Yakni, politik mereka politik dapat (gain).
Orang Melayu tidak peduli. Mereka masih pakai politik tolak (avoid). Tidak buat RUU355 tidak apa, asalkan dapat tolak PH, Anwar dan Umno. Dapat "air karat" tidak apa, asal bukan Umno.
Dapat MP tidak cerdik (seperti kata KJ) tidak apa, asal dapat tolak PH, Anwar dan Umno. Inilah politik tolak (avoid) pengundi Melayu pada PRU 2022.
19. Dalam senario seperti inilah, pengundi bukan Melayu yang kecewa pada DAP, Anwar dan PH memberi kekuatan pada PAS-PN.
Betul, mereka tidak akan undi PAS. Tetapi jika bukan Melayu boikot DAP dan PH, bersedialah kebangkitan undi majoriti Melayu.
20. Dan, mungkin bukan Melayu tidak sedar, pemimpin dan pengundi Melayu hari ini makin yakin mereka dapat kuasai Putrajaya tanpa undi bukan Melayu lagi. Tiada lagi model BN atau PH.
Perasan atau tidak? Nampak atau tidak?




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.