https://critoxium.com/shop/

Terkini

3 masalah AMANAH, satu jurang identiti ideologi


Oleh Mujibu Abd Muis

Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berakhir, wacana politik lebih banyak tertumpu kepada kejayaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menghimpunkan sokongan pengundi Melayu.

Keputusan PRN memperlihatkan bagaimana penyatuan atau pengalihan undi Melayu mampu menjejaskan kedudukan Pakatan Harapan (PH), termasuk di kawasan sebelum ini menjadi kubunya.

Malah, simulasi terkini menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) mengunjurkan antara 20 hingga 35 kerusi Parlimen milik PH berisiko bertukar tangan sekiranya undi BN dan PN digabungkan dalam pertandingan satu lawan satu.

Unjuran ini menimbulkan persoalan sama ada pola itu boleh berlaku di kerusi strategik PH seperti di Tambun, Kota Raja, Nibong Tebal, Lembah Pantai, Seremban, Johor Bahru atau Pandan.

Namun, di sebalik kebangkitan politik Melayu dan potensi perluasan pengaruh BN-PN, persoalan lebih besar ialah sejauh mana PH mampu mendapatkan kembali sokongan Melayu yang pernah menjadi antara faktor kemenangan gabungan itu pada PRU14.

Persoalannya bukan sekadar bagaimana BN dan PN menyatukan undi Melayu, tetapi mengapa PH semakin sukar mempertahankan sokongan yang pernah menjadi kekuatan politiknya.

Dalam konteks ini, kedudukan AMANAH wajar diberikan perhatian. Dengan gagasan Islam sederhana, progresif dan inklusif, AMANAH sepatutnya menjadi jambatan penghubung antara PH dengan pengundi Melayu-Islam.

Namun, kekalahan di ketujuh-tujuh kerusi ditandingi dalam PRN Melaka, termasuk kegagalan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil yang pernah dimenangi Adly Zahari, menimbulkan semula persoalan sejauh mana gagasan Islam progresif mampu menarik sokongan pengundi Melayu.

Kekalahan di Bukit Katil bukan sekadar kehilangan satu kerusi, tetapi turut mencerminkan kegagalan AMANAH membina pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu selepas lebih sedekad menawarkan alternatif kepada PAS.

Ditubuhkan pada 2015, AMANAH muncul dengan aspirasi membentuk aliran politik Islam inklusif, sederhana dan terbuka terhadap realiti masyarakat majmuk.

Kemunculannya membawa harapan bahawa politik Islam boleh bergerak seiring dengan demokrasi, reformasi institusi dan kerjasama antara kaum.

Namun, selepas 11 tahun, gagasan ini masih gagal diterjemahkan kepada kekuatan elektoral meyakinkan, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.

Cabaran utama AMANAH ialah ketiadaan identiti politik cukup jelas dan meyakinkan. Walaupun tampil sebagai alternatif progresif kepada PAS, perbezaan ideologi semata-mata tidak memadai.

PAS jauh mendahului menerusi jaringan akar umbi mendalam, strategi siasah tersusun serta naratif kuat menghubungkan Islam dengan identiti Melayu dan kesetiaan politik.

Sebaliknya, AMANAH masih bergelut membuktikan manfaat langsung tawarannya terhadap kehidupan seharian rakyat.

Selain itu, kedudukan AMANAH dalam PH turut mencetuskan dilema tersendiri. Dominasi DAP dalam kalangan pengundi bukan Melayu menyukarkan AMANAH meyakinkan pengundi Melayu tanpa terperangkap dalam polemik identiti politik gabungan.

Dilema ini amat jelas. AMANAH perlu mempertahankan identiti Islam progresifnya, tetapi pada masa sama mesti membuktikan parti itu bukan sekadar pelengkap kepada kekuatan politik rakan-rakan gabungannya.

Rekod pilihan raya parti ini memperlihatkan kemerosotan wajar diberikan perhatian. Pada PRU14, AMANAH memenangi 11 kerusi Parlimen dan 34 kerusi DUN, pencapaian terbaik sejak penubuhannya.

Namun, jumlah itu menyusut kepada lapan kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN pada PRU15.

Meskipun meraih lapan kerusi DUN dalam PRN enam negeri pada 2023, prestasi parti antara 2025 hingga 2026 menunjukkan kemerosotan ketara.

AMANAH tewas di satu-satunya kerusi ditandinginya di Sabah, kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang di Negeri Sembilan, gagal mempertahankan DUN Bukit Katil di Melaka dan hanya menang tipis di DUN Simpang Jeram, Johor, dengan majoriti merosot daripada 2,399 kepada 170 undi.

Hanya menang satu kerusi

Secara keseluruhan, dalam tiga PRN di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka sepanjang 2026, AMANAH hanya memenangi satu daripada 35 kerusi DUN ditandinginya.

Kekalahan tokoh berprofil tinggi seperti Adly membuktikan jawatan dalam kerajaan bukan jaminan sokongan pengundi.

Jelas masalah utama parti itu kini bukan kekurangan kerusi untuk ditandingi, tetapi kegagalan menterjemahkan peluang politik kepada sokongan pengundi konsisten.

Pada asasnya, masalah AMANAH merangkumi kepemimpinan, ideologi dan daya tarikan elektoral. Namun, isu lebih mendasar ialah jurang antara identiti ideologinya dengan keupayaan memperoleh sokongan dalam pilihan raya.

Parti ini memerlukan tokoh mampu menarik sokongan melangkaui kelompok sedia ada, di samping membangunkan barisan pelapis meyakinkan.

Bagaimanapun, tidak tepat untuk menyimpulkan Islam sederhana menjadi kelemahan AMANAH. Pendekatan Islam menekankan keadilan, keterangkuman, tadbir urus baik dan kesejahteraan tetap mempunyai ruang penerimaan tersendiri, baik dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam mahupun bukan Melayu.

Masalahnya, gagasan Islam progresif masih belum diterjemahkan kepada mesej politik dekat dengan realiti kehidupan pengundi Melayu.

Kos sara hidup, peluang pekerjaan, mobiliti sosial, pendidikan, kedudukan agama dan mutu perkhidmatan awam menjadi perkara lebih segera dalam pertimbangan mereka.

Pengundi tidak semestinya menolak Islam progresif. Namun, mereka mahu melihat bagaimana pendekatan itu dapat melindungi kepentingan mereka, memperbaiki kehidupan keluarga dan menjamin masa depan generasi seterusnya.

AMANAH tidak boleh menganggap perbezaan ideologi dengan PAS sebagai kelebihan secara automatik menghasilkan sokongan. Sebaliknya, parti itu perlu membuktikan pendekatannya mampu menawarkan penyelesaian lebih dekat, relevan dan meyakinkan kepada masyarakat.

Masa depan AMANAH belum tertutup, tetapi parti itu perlu menilai semula strategi dan kedudukan politiknya. Ia tidak semestinya perlu menggantikan PAS atau menewaskan UMNO untuk kekal relevan.

Sebaliknya, AMANAH perlu membuktikan masih wujud ruang politik tersendiri bagi Islam sederhana, demokrasi pluralistik dan pembaharuan institusi.

Ruang itu tidak boleh dipertahankan dengan wacana ideologi semata-mata. Ia memerlukan kepemimpinan berwibawa, jaringan akar umbi kukuh, kehadiran berterusan dalam komuniti dan rekod perkhidmatan benar-benar dirasai masyarakat.

AMANAH juga perlu menilai semula strategi pilihan raya dengan memilih kawasan berpotensi, membangunkan pemimpin tempatan dan membina hubungan langsung dengan komuniti Melayu.

Kebergantungan berlebihan terhadap kekuatan gabungan serta populariti tokoh nasional hanya akan menyukarkan parti itu membina kekuatan dan identiti politiknya sendiri.

Akhirnya, selepas 11 tahun bertapak, AMANAH berada di persimpangan kritikal menjelang PRU16. Cabaran sebenar parti ini bukan lagi meyakinkan elit politik terhadap kemurnian ideologi, sebaliknya membuktikan gagasan berkenaan mampu diterjemahkan kepada penyelesaian nyata menyentuh keperluan, kepentingan dan masa depan pengundi Melayu-Islam.

Tanpa pembaharuan strategi berani dan identiti mandiri, AMANAH berisiko terus terpinggir, sekali gus mengecilkan peluang PH untuk terus menerajui Putrajaya.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Felo Penyelidik, ILHAM Centre

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.