https://critoxium.com/shop/

Terkini

Otak Dijajah Algoritma, Manusia Terperangkap Dalam Dunia Palsu


Oleh Fathi Aris Omar

Bagaimana seorang lelaki boleh jadi terangsang dengan pakaian dalam wanita di ampaian? Lalu dia curi untuk memuaskan diri sendiri.

Bagaimana fetish ini boleh terjadi? Bagaimana objek bukan seks boleh menukar fikiran manusia sehingga bawa kesan pada organ seks?

Begitu kuatnya "kesedaran palsu" di dalam otaknya mencetus tindakan sehingga jasadnya terkesan.

Saya rasa pengguna media sosial mengalami realiti seperti ini: "kesedaran palsu". Realiti digital bukan realiti alam nyata. Realiti baharu ini mengubah kesedaran manusia, tingkah laku dan amalannya.

Apa yang kita baca, akibat bias algoritma, daripada media sosial atau pengalaman permainan digital mencetuskan realiti "baharu" yang "terherot", tidak lagi berjejak pada realiti di alam nyata.

1. Masalahnya bermula daripada skrin yang memisahkan hubungan semula jadi sesama manusia. Skrin telefon atau komputer riba menjadi dinding selesa untuk kita berbuat apa sahaja.

Kita tidak rasa pengguna lain itu manusia, seperti seorang manusia di depan kita. Skrin jadi dinding.

Apabila ada pendinding, kita rasa "selamat" boleh buat apa sahaja: makin orang, tidak hormat orang, gelakkan orang, hina orang, ejekkan orang Gejala ini disebut dehumanisation (hilang sifat manusia).

2. Algoritma media sosial meneguhkan lagi kitaran bahan-bahan bacaan (atau tontonan) yang kita suka. Pilihan ini datang bertubi-tubi mengikut apa yang kita cari, kita minat dan kita berikan tumpuan.

Pilihan lain tidak muncul atau tersorok daripada kita. Kandungan (content) lain tidak sampai kepada kita. Tiada pandangan atau hujah alternatif.

Masalah ini disebut filter bubble (gelembung bertapis).

3. Daripada gelembung pilihan kandungan itu, kita berinteraksi dengan pengguna yang sealiran pula. Kita membaca, memberi komen, mendengar hujah dan mendapat video yang kita suka daripada rakan yang sealiran sahaja.

Keadaan ini disebut echo chamber (ruang bergaung), ruang pengalaman yang kukuhkan kesedaran sedia ada.

4. Maka seseorang itu rasa bertambah yakin pada maklumat yang sedia ada dalam kepalanya, dalam logik akalnya, dalam common sense dirinya.

Makin ramai orang bercakap begitu, makin yakinlah hujah, ilmu dan pengalamannya itu benar. Jika berlawanan maklumat, dia akan tolak. Dia hanya memilih maklumat yang serasi dengan ilmu atau pengetahuan yang sedia ada.

Gejala ini disebut confirmation bias (kecenderungan untuk pengesahan).

5. Apabila berdepan maklumat keliru atau palsu, manusia tidak cenderung semak ia sahih atau tidak. Manusia lebih suka fikir, bagaimana bertindak.

Jika kena dengan (4), dia terus bersetuju. Kecuali dia sudah tahu ia palsu. Tetapi manusia tidak kritikal, tidak persoalkan, tidak semak.

6. Orang yang gelisah, tertekan, benci, takut atau marah lebih mudah percaya pada kandungan emotif (ada emosi), negatif dan terseleweng ini.

Jadi tersebar meluas maklumat palsu, terseleweng, kabur dan fitnah..

7. Orang lebih cenderung percayai maklumat palsu yang gambarkan pihak lawan secara negatif berbanding maklumat palsu yang bersifat negatif terhadap kumpulan sendiri.

Serangan negatif pada kerajaan, PH atau PMX akan dipercayai. Walau ada kebaikan. Tetapi apabila PAS cakap "hulur wang kepada pengundi itu sedekah, bukan rasuah", mereka abaikan, buat-buat tidak tahu, tidak kecam.

Begitulah sebaliknya. Orang PH memandang buruk atau negatif apa sahaja kenyataan orang PAS.

Proses yang terjadi di alam digital ini 👆👆👆 mempengaruhi otak pengguna media sosial. Tanpa sedar, mereka masuk ke alam baharu, "kesedaran palsu". Maklumat mencengkam otak mereka.

Tidak ubah seorang lelaki yang rasa ghairah pada seluar dalam wanita yang tersidai di ampaian.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.