https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pukul pelajar tindakan melampau, kata pengetua madrasah tahfiz

PETALING JAYA: Pihak pengurusan madrasah tahfiz di Kota Tinggi yang dikaitkan dengan kes pukul pelajar lelaki berusia 11 tahun menggunakan getah paip menyifatkan tindakan pembantu warden sebagai “melebihi batas” dan melanggari dasar madrasah.

Sehubungan itu, pengetuanya berjanji tidak akan menyorokkan apa-apa maklumat dan sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Kata beliau, pihaknya melihat kejadian itu sebagai tindakan individu dan bukan madrasah.

Kata beliau: “Apabila berlaku kejadian seperti ini, ia merupakan hal individu dan dalam hal ini dasar kita tidak diikuti. Pihak madrasah tidak akan menyorokkan apa-apa maklumat kerana keutamaan madrasah ada pelajar kita.”

“Madrasah ini tempat mendidik manusia, anak-anak yang datang sini diajar untuk menjadi baik. Selaras dengan dasar kami yang mahu mendidik mereka dengan kasih sayang,” kata beliau dipetik Sinar Harian Online hari ini.

Pembantu warden berkenaan bekerja sejak setahun lalu dan berperanan membantu seorang warden, terutamanya apabila berlaku hal kecemasan pada waktu malam.

Madrasah yang sudah 7 tahun beroperasi mempunyai 110 pelajar berusia 11 hingga 17 tahun dengan jumlah kakitangan seramai 15 orang termasuklah 6 orang guru.

Tambah beliau, sebagai sebuah madrasah yang diiktiraf cemerlang di daerah Kota Tinggi, Johor dan akan mewakili peringkat negeri bagi pengiktirafan tersebut, pihaknya tidak sesekali bertolak ansur dan berlapang dada apabila berlakunya perkara seperti itu.

Katanya, kejadian yang berlaku juga dianggap sebagai 1 ujian dan dugaan buat madrasah berkenaan.
Dalam pada itu, beliau juga berkata, pihak madrasah juga sudah dilawati pegawai penyiasat, jabatan agama dan pelbagai pihak.

Pihaknya juga sedia menyerahkan rakaman litar tertutup (CCTV) kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Beliau memaklumkan sebanyak 24 CCTV dipasang di sekitar kawasan asrama dan sekolah termasuklah dewan makan, gelanggang futsal sekali gus hampir tiada kawasan ‘blind spot’ yang tidak dapat dirakam di madrasah berkenaan.

Hari ini, pembantu warden terbabit ditahan reman selama 4 hari bagi membantu siasatan.

Lelaki tersebut ditahan pihak polis di rumahnya di Felda Lok Heng Barat dekat Kota Tinggi pukul 4 petang semalam selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001, kata laporan itu.

Semalam, ibu pelajar terbabit, Felda Wani Ahmad berkata, anaknya terpaksa dipotong kedua belah kakinya yang dijangkiti kuman dan darah beku setelah didakwa sering dirotan pembantu warden asrama pusat tahfiz berkenaan.

Felda Wani berkata, anaknya, Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi yang merupakan anak ke-3 daripada 5 beradik itu mendaftar masuk ke pusat tahfiz berkenaan pada 27 Januari lalu.

Beliau yang tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang turut membuat laporan polis di Balai Polis Ulu Tiram pada 19 Mac lalu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.