PRN Melaka uji kekuatan sebenar BN, PH dan PN
Oleh Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari.
Apa yang bakal berlaku dalam PRN ini akan memberi petunjuk penting menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kerana situasi politik Melaka lebih mirip dengan situasi politik nasional, berbeza dengan Johor dan Melaka tempoh hari.
Petunjuk dimaksudkan berkait dengan kebarangkalian kerjasama antara parti politik serta pola sokongan semasa pengundi. Rencana ini bertujuan membuat analisis awal kekuatan dan kelemahan parti utama yang bakal bertanding PRN Melaka ini.
Pilihan utama gelanggang Melaka kali ini sudah tentu BN, penyandang yang menang 21 daripada 28 kerusi dalam PRN 2021. Pada masa sama, BN juga sedang bersemangat dengan kemenangan bergaya di Johor dan Negeri Sembilan tempoh hari.
Walaupun ramai melihat BN agak selesa, sebenarnya risiko besar sedang menanti mereka, silap percaturan BN boleh tertiarap.
Walaupun menang besar pada PRN pada 2021, BN kalah teruk pada PRU15 pada 2022. BN tewas semua kerusi Parlimen dipertandingkan, tiada seorang pun wakil BN Melaka di Dewan Rakyat sekarang.
Jika undi untuk memilih Ahli Parlimen dalam PRU15 berkenaan dicerakinkan mengikut kawasan DUN, BN hanya menang empat DUN sahaja, iaitu Asahan, Ayer Molek, Rim dan Merlimau.
Kerjasama BN dengan parti lain kali ini belum menentu, ini kerana mereka bertegas untuk bertanding semua 21 kerusi disandang sekarang. Jika bertanding solo, belum ada data menunjukkan peluang selesa. Ini kerana selepas PRU15, BN belum bertanding solo dalam mana-mana pilihan raya dalam konteks Semenanjung.
Dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dimenangi BN, iaitu Pelangai, Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning, semua kempen itu didukung PH. Bukan sekadar kerjasama biasa, bahkan data dari lapangan menunjukkan pemindahan undi PH kepada BN berlaku secara optimum.
Begitu kemenangan PRN Johor dan Negeri Sembilan, BN tidak memperoleh secara solo, sebaliknya dibantu Perikatan Nasional (PN). Bermula dengan kerjasama tidak berstruktur di Johor, BN kemudian mendapat dokongan penuh PN di Negeri Sembilan. Sekali lagi BN mendapat laba apabila pemindahan undi PN khususnya penyokong PAS berlaku secara optimum.
Selain itu, isu sedang berlaku di Negeri Sembilan sekarang turut berisiko kepada BN Melaka, khususnya dalam kalangan pengundi kelas pertengahan dan pengundi bukan Melayu.
Selepas menang selesa, BN dilihat gagal mengurus isu pentadbiran dengan baik, menjerumuskan Negeri Sembilan kepada situasi sangat tidak menentu.
Akhir sekali cabaran dihadapi BN ialah isu dalaman mereka sendiri, konflik antara kem Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof dengan kem mantan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. Dalam persaingan yang sengit dan marginal, kegagalan mengurus persengketaan ini berisiko mengundang.
Pakatan Harapan (PH)
PH memiliki rekod agak baik pada PRU15 2022 di Melaka. Mereka menang tiga daripada enam kerusi Parlimen. Lebih menarik, jika dicerakinkan undi berkenaan, mereka menang 14 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN.
Walaupun memiliki rekod agak baik pada pilihan raya terakhir, hakikatnya PH sekarang berada dalam mod kekalahan, serba tidak menjadi. Mereka tewas hatrik di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.
Menghadapi PRN Melaka yang akan diadakan nanti, kelihatan PH belum menemui penawar untuk menyembuhkan mereka daripada badi kekalahan, belum nampak formula untuk PH kembali berada di landasan kemenangan.
Antara faktornya mereka tewas naratif Melayu-Islam kepada PN dan BN. Selagi belum memenangi naratif berkenaan, PH akan kekal defisit undi pemilih Melayu, menyebabkan mereka berisiko kalah mudah di kawasan berdemografi majoriti Melayu.
Kekuatan PH di Melaka adalah dukungan pengundi Cina kepada DAP. Atas faktor itu, PH kelihatan berpeluang mempertahankan empat kerusi disandang DAP sekarang, iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Namun, mutakhir ini sokongan orang Cina kepada PH semakin tidak ghairah, menyebabkan DAP terlepas kerusi disandang pada PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.
Bak sedang kelemasan yang akan mencari tempat berpaut, khabar angin PH akan bekerjasama dengan BERSATU pada PRN Melaka ini semakin kuat. Kerjasama itu jika direalisasikan, bakal memberi keuntungan kepada BERSATU untuk kembali relevan dalam landskap politik tanah air.
Namun bagi PH, belum jelas sejauh mana kerjasama berkenaan menguntungkan mereka. Hal ini kerana masih jadi tanda tanya berapa orang lagi ahli dan penyokong BERSATU yang berbaki di akar umbi sekarang. Ini dapat dilihat apabila calon mereka tewas mudah dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan tempoh hari.
Perikatan Nasional (PN)
PN juga memiliki rekod agak baik di Melaka sebelum ini. Pada pilihan raya terakhir pada 2022, mereka menang tiga daripada enam kerusi Parlimen. Pada masa sama jika undi untuk kerusi Parlimen dicerakin, mereka menang 10 DUN.
Namun, pencapaian cemerlang itu ketika kekuatan PN sedang memuncak, kerjasama PAS dan BERSATU berada pada tahap terbaik. Dalam konteks Melaka pada 2022, jenama PN dan dukungan BERSATU memberi impak sangat signifikan terhadap prestasi PN.
Namun, situasi sekarang sangat berbeza, mereka tidak memiliki momentum sekuat 2022. Mungkin atas faktor itu, PN yang ada sekarang berusaha keras untuk menjalin kerjasama dengan BN. Jika gagal mencapai kata putus khususnya pembahagian kerusi, PN mungkin terpaksa bertanding solo atau sekurang-kurangnya mengguna model PRN Johor tempoh hari.
PN juga berhadapan situasi tidak menentu pada PRN Melaka ini. Pendaftar Pertubuhan (RoS) sedang menyiasat salah laku tadbir urus PN yang dilaporkan BERSATU sebelum ini, dijangka keputusan akan diketahui pada masa terdekat.
Jika RoS mendapati aduan itu berasas dan pendaftaran PN digantung sebagai contoh, skrip PRN Melaka ini akan berbeza.
Dalam konteks Melaka, jenama dan logo PN itu sendiri kuat dan signifikan. Jenama dan logo parti komponen, termasuk PAS sukar untuk bersaing di Melaka. Jika jenama PAS yang sudah kukuh pun belum ada jaminan sokongan optimum, apatah lagi jenama Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan GERAKAN.
Cabaran lain PN ialah hubungan antara PAS dengan WAWASAN Melaka kurang mesra. Dalam persaingan sengit dan marginal, kurang persefahaman antara dua komponen paling utama PN ini berisiko memberi impak merugikan kepada mereka dalam PRN nanti.
Tirai penggal ke-15 sudah dilabuhkan di Melaka, persaingan sengit akan berlaku antara tiga aktor utama iaitu BN, PH dan PN untuk mendominasi DUN bagi penggal ke-16. Dalam tempoh beberapa minggu ini mereka akan menawarkan hidangan masing-masing kepada pengundi.
Pilihan terakhir pada pengundi, tepuk dada tanya selera.
Pensyarah Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.