Tetapi penduduk kulit putih berasal England pada tahun 1965 menubuhkan kerajaan mereka di Rhodesia Selatan dan menamakannya Republik Rhodesia. Mereka mengamalkan dasar Apartheid seperti mana yang berlaku di Afrika Selatan.

Kerajaan yang ditubuhkan di Salisbury, ibu negaranya itu tidak diiktiraf oleh dunia, termasuk Britain. Dunia mengenakan sekatan ekonomi. Seperti di Afrika Selatan, penduduk majoriti kulit hitam di Rhodesia menolak pemerintahan kulit putih.

Kalau di Afrika Selatan ada Nelson Mandela, di Rhodesia ada Robert Mugabe. Nasionalis Afrika Selatan pada masa itu mahu menamakan negara mereka Azania. Sementara nasionalis Rhodesia mahu menamakan negara mereka Zimbabwe.

Mugabe dipenjarakan oleh kerajaan Rhodesia dari tahun 1964 hingga 1974. Setelah bebas beliau menjadi pemimpin Kesatuan Kebangsaan Afrika Zimbabwe – Barisan Patriotik (ZANU-PF). Beliau muncul sebagai wira perjuangan kemerdekaan yang dipuji oleh dunia.

Pada tahun 1980, Rhodesia memperoleh kemerdekaan dan pilihan raya diadakan. Ia menjadi Zimbabwe dan Salisbury jadi Harare. ZANU-PF menang dan Mugabe menjadi Perdana Menteri, ketika itu berusia 56 tahun.

Tetapi Mugabe tidak seperti Mandela. Pada tahun 1982 hingga 1986, beliau memerangi pihak pembangkang khususnya rakyat Zimbabwe daripada kaum Ndebele hingga 20,000 orang terkorban. 

Dunia mulai dapati bahawa harapan mereka terhadap Mugabe untuk menjadi pemimpin yang bagus berkecai.

Pada tahun 1987, beliau menjadi Presiden Zimbabwe. Ketika itu berusia 63 tahun. Pada tahun 2000 beliau merampas ladang-ladang orang kulit putih atas nama reformasi tanah. Banyak negara kulit putih mengenakan sekatan ekonomi. Pada tahun 2003, Mugabe membawa Zimbabwe keluar dari Komanwel.

Pada tahun 2008 buat pertama kalinya, partinya ZANU-PF kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen selepas pilihan raya. Mugabe ketika itu berusia 84 tahun. Pejuang-pejuang kemerdekaan yang satu generasi dengannya di seluruh dunia, sama ada tiada atau telah pun bersara.

Banyak pihak berpendapat kemenangan berterusan beliau dalam pilihan raya adalah melalui penipuan terhadap peti undi dan tekanan ke atas pihak pembangkang. Pada tahun 2017 ini, beliau berusia 93 tahun. Mugabe dilaporkan berkata mahu memerintah sehingga 100 tahun.

Menyokong 

Beliau dilihat mahu isteri keduanya, Grace, bekas setiausahanya yang berusia 56 tahun menggantikannya sebagai presiden. Grace terkenal sebagai wanita yang suka bermewah.

Beliau juga dikatakan pernah berucap menghina veteran tentera yang merupakan bekas gerila pejuang kemerdekaan. Tentu banyak kalangan pemimpin partinya tidak dapat menerimanya. Mugabe memecat timbalannya, Emerson Mnangagwa pada November lalu.

Tindakan ini dipercayai kerana Mugabe berhasrat untuk melantik Grace menjelang persidangan partinya bulan depan. Tetapi Mnangagwa ada sokongan pihak tentera. Pada Rabu lalu, 14 November, pihak tentera bertindak mengena penahanan rumah ke atas Mugabe dan isteri. Mereka ditahan di istana presiden yang mewah.

Jelas itu adalah rampasan kuasa. Tetapi pihak tentera tidak mengisytiharkannya sebagai rampasan kuasa. Pihak veteran tentera menyokong tindakan itu.

Mereka menyifatkannya sebagai "pembetulan tanpa pertumpahan darah" bagi mengembalikan Zimbabwe untuk menjadi negara yang mengamalkan demokrasi moden dan tulen.

Laporan terkini menunjukkan rundingan sedang dilakukan antara Mugabe dan pihak tentera dengan seorang tokoh dari gereja menjadi orang tengah. Pihak tentera mahukan Mugabe meletak jawatan dan tampuk pemerintahannya diserahkan pada Mnangagwa. Tetapi Mugabe tetap berdegil dan mahu menghabiskan penggalnya.

Jumaat lalu, Mugabe muncul pada Konvokesyen Universiti Terbuka Zimbabwe. Spekulasi yang timbul ialah pihak tentera membenarkan beliau keluar untuk menunjukkan pada dunia apa yang berlaku ialah bukan rampasan kuasa. Mereka berazam supaya Mugabe melepaskan jawatan dan menghalang Grace daripada memperoleh kuasa.

Andai kata Mugabe tetap enggan, apakah pilihan pihak tentera selain daripada bertindak memformalkan rampasan kuasa?

Ada dua perkara yang wajar menjadi renungan mengenai Zimbabwe. Pertamanya mengenai harapan rakyat terhadap kemerdekaan. Kedua, ketagihan kuasa hingga sukar bagi seseorang yang berkuasa pada tempoh waktu yang panjang untuk melepaskannya.

Zimbabwe adalah antara negara yang agak lewat mencapai kemerdekaan iaitu pada tahun 1980-an. 

Selepas Perang Dunia Kedua banyak tanah jajahan yang mencapai kemerdekaan dalam tahun 1950-an dan 1960-an. Perjuangan kemerdekaan pula bukannya mudah.

Banyak pengorbanan telah dilakukan oleh rakyat. Harapan mereka amat tinggi untuk hidup bebas dan makmur. Tetapi tidak banyak bekas tanah jajahan yang menjadi negara yang berjaya.

Pejuang-pejuang kemerdekaan yang menjadi wira berubah apabila mereka menjadi ahli politik. 

Bukan saja mereka menjadi pentadbir yang buruk tetapi bergelumang dengan korupsi. Harapan rakyat berkecai.

Perjuangan kemerdekaan yang penuh dengan darah, keringat dan air mata menjadi sia-sia.Sehubungan itu adalah sifat kuasa itu sendiri. Lihatlah Mugabe yang berusia 93 tahun, memerintah 35 tahun dan enggan melepaskannya.

Kalau beliau memerintah dengan baik, itu tidaklah mengapa. Tetapi keadaan politik dan ekonomi Zimbabwe menunjukkan negara itu tidak normal. Sistem demokrasi bertujuan menangani sindrom ketagihan kuasa itu.

Apabila keadaan itu berlaku tentunya ia buka ruang untuk pihak tentera bertindak. Tetapi tentera juga terdedah pada ketagihan kuasa seperti mana yang berlaku di banyak negara.

Apabila berlaku krisis politik berpanjangan, negara tidak sempat untuk beri tumpuan pada memajukan negara dan pembangunan rakyat. Sejarah Afrika mempunyai tragedi politiknya tersendiri. Orang Afrika berhak juga memiliki benua yang makmur seperti mana penduduk di rantau-rantau lain.

Biarlah harapan yang lahir sejak kuasa imperialis mengundurkan diri dari tahun 1950-an hingga 1980-an dapat akhirnya dipenuhi dengan rakyat mengecapi pembangunan. Sepanjang Perang Dingin, gelagat kuasa besar, Amerika Syarikat dan Soviet Union memburukkan keadaan di Afrika hingga berlaku kebuluran, peperangan dan penderitaan.

Apabila Perang Dingin berakhir, maka harapannya ialah era kediktatoran berakhir dengan demokrasi dapat diterapkan.

Tetapi itu tidak berlaku. Walaupun terdapat juga negara di Afrika dapat keluar daripada kesengsaraan, banyak tempat masih menggelupur dengan penderitaan.