https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kenapa Amirudin pilih Bersatu tidak PAN?

Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
 SAMA seperti kebanyakan rakan lain, saya juga tidak terkejut dengan tindakan Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah, meninggalkan PAS.
Sebaliknya, apa yang agak mengejutkan ialah bila PPBM, sebuah parti yang berteraskan kepada perjuangan pribumi, yang menjadi pilihan beliau.
Apatah lagi bila PPBM mutakhir ini sedang berhadapan dengan pelbagai masalah yang memungkinkan ia tidak dapat menyertai PRU 14.
Selain pemimpin dan ahli keluar parti, PPBM juga diberitakan gagal menguruskan parti dengan baik sehingga gagal mengadakan AGM.
Pelik juga bila difikirkan di saat ramai pemimpin dan ahli keluar dari PPBM, PPBM inilah yang menjadi pilihan Datuk Amiruddin untuk menyertai.
Kerana Datuk Amiruddin sebelum ini berada dalam PAS, ramai yang menjangkakan beliau akan menyertai PAN bila keluar dari PAS.
Ini kerana PAS adalah sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya, begitu juga dengan PAN yang mendakwa begitu.
Tercatat dalam Perlembagaan PAN matlamatnya untuk mendirikan sebuah negara dan masyarakat madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua.
Bila Datuk Amiruddin memilih untuk menyertai PPBM, bukan PAN para pemimpin PAN perlulah merenung di mana salah dan silapnya gerak kerja mereka.
Memanglah memalukan bila PAN tidak menjadi pilihan Datuk Amiruddin sedangkan pemimpin seperti Timbalan Pengerusi PAN Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi, sendiri pernah memberikan bayangan kemasukan beliau ke dalam PAN.
Apa pun, kemasukan Datuk Amiruddin ke dalam PPBM mungkin juga boleh dikaitkan dengan latar belakang dan pemikiran politik beliau sendiri.
Ada yang berspekulasi mengenai hubungan peribadi beliau yang baik dengan Timbalan Presiden PPBM merangkap Pengerusi PPBM Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Ada juga yang berspekulasi mengenai penglibatan beliau di dalam JIM sebelum ini di mana kononnya menjadi agenda JIM untuk cuba menguasai semua parti.
Begitu juga, dari segi logik, tindakan Datuk Amiruddin menyertai PPBM, bukan PAN, adalah suatu tindakan yang cukup pragmatik dalam konteks Kedah.
Ini kerana parti yang diberi peranan untuk menerajui Kedah dalam PRU 14 oleh Pakatan Harapan bukanlah PAN, mahupun PKR, tetapi adalah PPBM.
Jadi, jika jawatan dalam kerajaan negeri atau keupayaan mempengaruhi dasar kerajaan negeri yang menjadi pertimbangan, sudah tentulah PPBM akan menjadi pilihan.
Bagaimanapun, bacaan bahawa Pakatan Harapan akan mampu mengambil-alih pentadbiran Kedah dari Barisan Nasional bukanlah satu perkara yang pasti kerana apa saja boleh terjadi.
Apa yang pasti dan jelas terbukti kini ialah Datuk Amiruddin adalah seorang pemimpin yang berani, paling tidak beliau berani melanggar bai'ah yang dibuat dengan PAS!
Sama ada keberanian beliau ini akan menghasilkan natijah yang positif di dalam kehidupan beliau atau tidak serta sama ada ia perlu dicontohi atau tidak adalah soal lain pula

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.