https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mahathir menguak semula tafsiran sejarah

Oleh Dian Mustafa

Politik Malaysia kini memasuki babak menarik. Lebih-lebih lagi setelah bergabungnya Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pakatan parti pembangkang. Dengan langkah barunya ini, beliau dalam diam membuka kembali perbahasan tentang “bagaimana cara kita mengamati sejarah.”

Dengan beralihnya kubu Mahathir dari pihak pemerintah kepada parti pembangkang, akan banyaklah sejarah lama diungkit semula.

Namun, ia bukanlah sejarah lampau sangat pun, tidak memamah ratusan atau ribuan tahun.
Sebaliknya, ia hanya sejarah beberapa dekad sahaja dan sebahagian dari kita masih lagi menyimpan memori dan dokumen-dokumen mengenainya.

Meskipun hanya beberapa dekad, anehnya perbincangan mengenai sejarah kebelakangan (recent past) ini tetap sahaja bersimpang siur. Seolah-olah betapa pendeknya jarak kita dengan sejarah itu tidak menjamin kesempurnaan kita dalam membacanya.

Sebagai contoh, ingatan kita pada Operasi Lalang 1987.

Sebahagian di kalangan pembangkang dan masyarakat sivil secara tegas dan tekal menganggap Mahathir bertanggungjawab secara penuh terhadap peristiwa tersebut. Dalam kata lain, Mahathirlah puncanya.

Meskipun beliau menyebut hanya bertindak atas nasihat polis. Ini adalah pembelaan Mahathir, yang tentunya dilihat berbeza dengan kehendak pihak yang menyabitkan kesalahan ke atasnya.
Dalam pertentangan ini, tampaknya sejarah dibaca dengan dua sisi yang berlawanan.
Pertama, sejarah sebagai kebenaran yang tidak boleh diolah-olah lagi, seperti yang selama ini dipercayai kalangan pembangkang dan masyarakat sivil.

Dan kedua, sejarah yang cuba disusun semula oleh Dr Mahathir dengan membuka ruang untuk pentafsiran baru.

Lagi dipaksa, lagi terkuak

Percanggahan ini memberitahu kita yang sejarah bukanlah peristiwa mati. Ia sebenarnya hidup, boleh bangkit semula berdasarkan kaitannya dengan masa kini, bagaimana ia dibentangkan semula serta keperluan semasa bagi proses menuntut keadilan.

Maka, tidak wajar jika ada pihak yang ingin memaksakan pentafsiran sejarah yang tunggal, seperti mana yang dilakukan segelintir di kalangan pembangkang dan masyarakat sivil tentang Mahathir dan Operasi Lalang. Tindakan itu hanya memancing lagi perbincangan.

Bukankah itu yang terjadi apabila pemerintah memaksa pentafsiran sejarah yang berat sebelah dan menjadikannya versi rasmi dan muktamad. Akhirnya, ada yang tidak berpuas hati tampil mengemukakan tafsiran yang sama sekali berbeza.

Sebab itu dalam bab pentafsiran sejarah ini, kalangan pembangkang dan masyarakat sivil yang saya sebut di atas sama sahaja dengan pemerintah. Kedua-duanya enggan melayan pembacaan perspektif yang berbeza.

Kedua-dua pihak ini saling bersifat kuku besi antara satu sama lain.
Satu pihak taksub dengan sejarah tunggal yang tidak (atau belum) diperakui. Satu pihak lagi taksub dengan sejarah yang mengangkat mereka sahaja (pemerintah).
Satu pihak menutup sebelah mata terhadap ruang pentafsiran baru. Satu pihak lagi menutup sebelah mata terhadap fakta yang terpampang di depan.

Dengan sebelah mata yang tertutup, masing-masing adalah lanun bermata satu yang berusaha merebut harta karun bernama “pentafsiran tunggal”.

Semak imbang kepada sejarah

Maka, dalam menghadapi dua kutub yang bertentangan ini, kita mestilah bersikap adil dan berlapang dada dengan tafsiran baru suatu sejarah.

Tidak dinafikan yang kita memerlukan sejarah berdasarkan fakta sebagai proses untuk menuntut keadilan. Fakta penting untuk institusi keadilan. Tetapi sisi yang berbeza juga sama pentingnya untuk semak dan imbang kepada suatu sejarah yang sudah diterima umum.

Dengan adanya keseimbangan antara fakta dan pentafsiran, kita dapat menerima ia bukan sahaja tentang peristiwa lalu yang bersifat material dan kronologi semata, tetapi penuh dengan niat, hasrat dan nilai yang berselindung.

Untuk membongkar soal yang bersifat bukan materi ini, perlu ada rasa hormat terhadap pembacaan sejarah menerusi sisi yang berbeza

Jika tidak, sejarah terus menjadi bidang tandus penuh fakta, sentiasa dikepung dengan satu bentuk pentafsiran sahaja. Bidang tandus bukan sahaja ditinggal sepi, malah dipandang enteng.

Maka, Sejarah lebih baik dilihat adalah hantu-hantu yang terus berkeliaran di masa kini, bukannya tinggal sebagai butiran tak berganjak di masa lalu.

Dian Mustafa adalah bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini merupakan surirumah sepenuh masa. Beliau boleh dihubungi menerusi dian_mustafa@yahoo.com.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.