Pastikan UMNO kekal relevan
Oleh
Bagi mencapai hasrat itu seperti
mana ditegaskan oleh Najib, kekuatan UMNO perlu dipertahankan manakala
Hishammuddin menyatakan, parti tersebut terus berjaya kerana ia bukan
berjuang untuk mana-mana individu atau pemimpin.
Sememangnya senario politik sudah berubah.
UMNO bukan lagi berada pada zaman tahun 1970-an, 1980-an, 1990-an atau
awal tahun 2000.
Parti itu kini berhadapan cabaran cukup
sengit bukan sahaja bagi mengekalkan kuasanya tetapi juga dalam
memastikan ia terus kekal relevan untuk menjadi tonggak pemerintahan
negara.
Untuk mencapai hasrat itu, dua faktor paling
penting yang harus ada kepada pemimpin dan ahli UMNO ialah kesetiaan dan
pengorbanan.
Kesetiaan bermaksud dalam apa keadaan
sekalipun mereka akan terus bersama parti keramat orang Melayu itu
manakala pengorbanan pula bererti sanggup berkorban apa sahaja
termasuklah kedudukan demi memastikan kesinambungan perjuangan parti.
Penulis bercakap soal kesetiaan dan
pengorbanan kerana Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula 5 Disember
ini dianggap penting bagi parti itu menyusun strategi dan membangkitkan
semangat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Apa yang diperkatakan atau dilaungkan di
Dewan Merdeka Pusat Dagangan Putra (PWTC) sepanjang perhimpunan tersebut
tidak boleh lagi sekadar retorik politik tetapi perlu diterjemahkan
apabila pemimpin dan ahli-ahli kembali ke kawasan mereka bagi menghadapi
PRU-14.
Hakikatnya PRU-14 adalah ujian sebenar kepada kesetiaan dan pengorbanan pemimpin serta ahli UMNO di peringkat akar umbi.
Ia memandangkan ketika musim pilihan rayalah
kita akan dapat menyaksikan sejauh manakah kesetiaan mereka akan
bertahan dan setinggi mana pengorbanan yang mampu mereka lakukan.
Kita tidak harus lupa berapa ramaikah
pemimpin dan ahli UMNO yang berucap di PWTC tetapi akhirnya menjadi
pengkhianat kepada parti sendiri.
Kalau mereka benar-benar mengkhianati parti
dengan menubuhkan parti baru seperti mana terwujudnya Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mengapa sebab UMNO tahu mereka itu musuh
yang nyata.
Tetapi masalahnya kelompok yang menjadi
'musuh dalam selimut’ lebih bahaya daripada PPBM. 'Spesies’ itu paling
banyak 'membiak’ ketika musim pilihan raya apabila mereka atau pemimpin
yang mereka sokong tidak terpilih sebagai calon.
Kriteria
Sikap seperti inilah yang menyebabkan
peremajaan UMNO sering gagal manakala kriteria calon boleh menang
sekadar menjadi syarat semata-mata.
Kalaulah keadaan itu berterusan dalam PRU nanti adakah UMNO akan terus dilihat sebagai parti yang relevan sepanjang zaman?
Di peringkat bahagian-bahagian masih ada yang
mahu terus kekal menjadi warlord. Kelompok pemimpin seumpama itu tidak
mahu memberi laluan untuk parti mengetengahkan muka-muka baharu sebagai
calon.
Jika ada ura-ura mahu menggugurkan mereka
dalam senarai calon, mulalah pemimpin peringkat bahagian yang tidak
terpilih ini mengatur strategi bagaimana mahu memastikan calon dipilih
oleh pucuk pimpinan tewas.
Walaupun mereka mendabik dada mengatakan
setia kepada perjuangan parti tetapi apabila diminta melakukan
pengorbanan dengan memberi laluan kepada calon lebih layak bertanding
dalam PRU, kedua-dua faktor itu entah ke mana.
Kalaupun mereka mahu berundur, ia tidak akan
dilakukan secara sukarela atau seikhlas hati sebaliknya meletakkan
syarat. Syarat itu pula bermacam-macam termasuklah anak pinak mereka
menjadi calon.
Kesudahannya usaha meremajakan UMNO tidak
tercapai. Ketika parti-parti komponen BN lain sudah bersedia meletakkan
sehingga 60 peratus calon muka baharu, UMNO pula terus mengekalkan
calon-calon muka lama, ada antara mereka sudah diberi isyarat akan
ditolak oleh rakyat dalam PRU yang akan datang.
Begitu juga dalam soal boleh menang, kriteria
ini sudah lama ditetapkan oleh kepemimpinan parti tetapi acap kali
berlaku ia seolah-olah sukar dilaksanakan.
Bukan kerana bahagian-bahagian UMNO tidak ada
calon tetapi disebabkan oleh politiking dalaman yang menyebabkan
kriteria tersebut di sesetengah kawasan sekadar 'slogan’ sahaja.
Namun begitu walaupun memegang jawatan dalam
struktur bahagian bukanlah syarat utama menjadi calon tetapi ada juga
pemimpin bahagian yang layak dikekalkan sebagai calon atau diketengahkan
sebagai calon.
Bagaimanapun apa yang kerap berlaku ialah
situasi calon 'payung terjun’. Ketika pemimpin-pemimpin bahagian
bertungkus-lumus melakukan pelbagai aktiviti meraih sokongan rakyat, ada
antara mereka tidak terpilih sebagai calon biarpun layak.
Sebagai contoh, di sesetengah bahagian ada
ketua bahagian yang tidak mahu pemimpin pelapis menonjol, justeru dia
tidak memberi sebarang peruntukan kepada pemimpin berkenaan.
Apabila senarai calon diketengahkan pemimpin
pelapis itu disingkirkan atas alasan tidak popular dalam kalangan rakyat
sedangkan siang malam pemimpin tersebutlah yang turun bertemu rakyat
tetapi tidak dapat memenuhi kehendak mereka atas keterbatasan tertentu
termasuklah tidak mendapat bantuan ketua bahagian.
Calon boleh menang ialah calon yang disukai rakyat dan kriteria ini perlu dijadikan syarat utama serta dilaksanakan.
Dalam soal ini, kepemimpinan parti perlu
mempunyai keberanian untuk menggugurkan mana-mana wakil rakyat yang
sudah tidak lagi popular dalam kalangan rakyat, bukannya mengekalkan
mereka semata-mata kerana bimbang akan berlaku sabotaj.
Jika mereka benar-benar setia dan sanggup
berkorban demi kepentingan parti, mereka tidak akan ada masalah untuk
memberi laluan kepada calon yang boleh menang sebenar-benarnya.
Senario politik sudah berubah. Demografi pengundi juga sudah berbeza. UMNO perlu melihat semua faktor untuk kekal relevan.
Budaya 'syok sendiri’ dalam kalangan
sesetengah pemimpin dengan merasakan orang Melayu tetap akan bersama
parti itu perlu dijauhi. Apa yang penting ialah terus berusaha menarik
sokongan mereka.
Hentikan pemikiran politik lama yang mengukur
tahap sokongan berdasarkan jumlah kehadiran orang ramai ke majlis atau
program yang dianjurkan.
Dari satu segi memang ia dilihat positif
kerana menunjukkan rakyat tidak membenci UMNO tetapi dari segi lain ia
bukan penentu mereka akan mengundi parti tersebut kerana akhirnya calon
yang menjadi penentu.
Sebab itulah UMNO perlu membariskan calon baru dan calon lama untuk kekal relevan.
Kalau benar UMNO mahu dilihat relevan
sepanjang masa maka selain kesetiaan dan pengorbanan, keberanian juga
dituntut daripada kepemimpinan parti untuk melakukan perubahan.
Jika langkah itu tidak dilakukan, percayalah
UMNO tidak akan mencapai kejayaan cemerlang dalam PRU kerana rakyat
khususnya generasi muda tidak melihat apa relevannya mereka menyokong
parti keramat orang Melayu itu.
Oleh itu sebelum terlambat, tunjuklah
kesetiaan, lakukan pengorbanan dan paparkanlah keberanian demi
memastikan UMNO terus kekal relevan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.