https://critoxium.com/shop/

Terkini

'BN yang urus ekonomi negara, bukan Tuhan'

Oleh FAIZ FADZIL 

Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang Allah menentukan harga barang berdasarkan sepotong hadith dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 semalam, adalah kenyataan terdesak Umno untuk mengekang kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga barang dengan memanipulasi agama.

Hadith yang dibacanya itu yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, menyempit, meluaskan dan memberi rezeki. Sesungguhnya aku benar-benar berharap untuk bertemu Allah dalam keadaan tidak ada seorang pun yang menuntut kepadaku berkenaan sesuatu kezaliman pada darah dan harta."

Jelas daripada hadith tersebut prinsip Islam adalah keadilan di mana Rasulullah menyebut tentang membersihkan diri daripada kezaliman.

Tadbir urus kerajaan yang salah dan korup serta penuh pembaziran dan ketirisan menyebabkan kantung negara menjadi kering dan akhirnya kerajaan terpaksa mengenakan cukai regresif seperti GST yang telah menyebabkan kenaikan melambung harga barang.

Skandal korupsi institusi seperti 1MDB menyebabkan kehilangan kepercayaan pelabur asing, mendorong kejatuhan nilai ringgit yang mengakibatkan harga barang import menjadi mahal.

Bukankah ini kezaliman kepada rakyat akibat kepincangan tadbir urus kerajaan Barisan Nasional?


Kenaikan harga makanan pada kadar 26 peratus dengan kadar pengangguran meningkat 3.5 peratus menunjukkan kehidupan rakyat yang semakin terhimpit dengan kelemahan ekonomi di dalam negara.

Harga runcit minyak yang dijual tinggi adalah ditetapkan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Kekayaan negara dibolot kroni pemimpin negara tetapi rakyat pula dipaksa membayar hutang negara. Jadi, siapakah yang mengurus ekonomi negara, Najib atau Tuhan?

Hamzah seharusnya memahami lebih banyak dalil dan nas lain yang memerintahkan kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat. Pemimpin adalah pelindung kepada rakyat dan bukannya penindas.

Dalam surah Saba’ ayat 15, Allah menyebut tentang “baldatun thayyibatun wa rabbun ghaffur” yang bermaksud negara yang makmur dan pengampunan Tuhan.

Adakah korupsi dan penyelewengan diredhai Allah bagi mendapatkan pengampunan tuhan? Adakah sebuah negara dianggap makmur jika rakyat dihimpit kesusahan akibat kenaikan harga barang?
Hamzah sebaiknya meletakkan jawatan sebagai menteri dan belajarlah ilmu agama di mana-mana pondok.

Seharusnya para ilmuan agama bangkit membetulkan kenyataan beliau agar agama tidak lagi dimanipulasi untuk menutup kezaliman.

Kesucian agama Islam tidak boleh dicemari sebegini rupa sehingga boleh menghilangkan penghormatan rakyat terutama penganut agama lain kepada agama rasmi negara ini.


FAIZ FADZIL adalah Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.