https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bolehkah solat hormat tanpa wuduk?


Soalan: Bolehkah kita tidak berwuduk untuk ikut imam solat jemaah sekiranya kita tidak sempat.
Jawapan Ustaz Azhar Idrus: Ini fesyen (cara) baharu nampaknya. Kalau ambil wuduk, dia takut tidak sempat sembahyang berjemaah, maka tidak payah wuduk. Sebab takut tidak sempat ikut sembahyang berjemaah, tidak payah ambil wuduk.

Mana boleh. Bukankah Nabi sudah beritahu, "attoharotu mintahu solah", toharoh itu adalah kunci bagi sembahyang. Kamu sempat atau tidak sempat pun kena ambil wuduk. Kemudian Nabi kata, "La yakbarullah husolata' ahadikun iza ahdasa hatta yatawado'", Allah Taala tidak terima sembahyang kamu bila kamu telah berhadas sampailah kamu mengambil wuduk. Itu jelas. Daripada ini, ulama-ulama pun setuju bahawasanya haram orang yang tidak ada wuduk sengaja menunaikan solat. Tidak boleh, melainkan dhorurah (darurat). Dhorurah lain, solat hormat waktu. Memang tiada wuduk tapi hendak hormat waktu supaya tidak berdosa.

Contohnya, dia dalam perjalanan balik ke rumahnya. 20 minit lagi habislah waktu Maghrib. Rumah dia dekat bukit-bukit sedikit. Jadi perjalanannya itu agak sukarlah sedikit. Dia tiada wuduk, hendak balik ambil wuduk untuk sembahyang Maghrib di rumah dalam waktu sekitar 20 minit lagi sebelum masuk waktu Isyak. Dalam perjalanannya itu, tiba-tiba dia bertembung dengan harimau. Harimau pun hendak terkam kepada dia. Dia kena larilah untuk menyelamatkan diri. Ketika itu, dia berkata dalam hati, "Kalau aku tunggu, maknanya harimau ini habis kejar aku, habislah waktu Maghrib." Jadi dia kerjakan solat yang dipanggil solat hormat waktu. Pasal apa hormat waktu? Bukankah 'siddratul khauf' itu sudah sah? Siddratul khauf memang sudah sah, tapi kita tiada wuduk. 'Siddatul khauf' ini solat ketakutan, sah, tidak payah qadak kalau kita ada wuduk. Masa harimau kejar itu kita sudah ada wuduk. Ini kebetulan harimau kejar kita tiada wuduk.

Takkan kita hendak cakap kepada harimau itu, "Nanti aku ambil wuduk dulu." Takkan hendak cakap macam itu. Jadi kita lari, "Kalau aku tunggu hingga selesai harimau kejar aku, habis waktu Maghrib, berdosa aku, maka aku kena hormat waktu." Hormat waktu dengan sembahyang dalam berlari.

Faham sembahyang dalam berlari? Takbir, "Allah huakbar" sambil berlari sambil harimau kejar kita. Boleh macam itu. Itu dipanggil solat hormat waktu. Sembahyang sambil berlari sah? Sah. Bukankah solat ketakutan? Sah. Yang kata tidak boleh berlari tidak boleh berjalan ketika sedang solat itu solat dalam masjid, dalam surau, tapi ini dalam keadaan dhodurah. Guna isyarat sahajalah. Jangan rukuk. Nanti ada yang rukuk pula ketika sedang berlari kerana dikejar harimau, habislah kita dibaham harimau. Kalau kita rukuk harimau pun ikut rukuk bersama-sama kita tidak jadi masalahlah. Yang jadi masalahnya, bila kita rukuk, harimau pun terus terkam kita. Habislah kita. Itu hormat waktu, lainlah dengan sembahyang yang lain itu.

Jadi kalau kita hendak kejar tok imam, "Kalau aku ambil wuduk tidak sempat solat jemaah nanti, takut tok imam bagi salam dulu sebab sudah tahayat akhir", tidak bolehlah tidak ambil wuduk. Wajib kena ambil wuduk.

Hanya orang berilmu takut kepada Allah

Soalan: Boleh Ustaz jelaskan, apakah kelebihan orang yang berilmu, khususnya dalam agama, berbanding orang jahil walaupun mereka hebat dalam ilmu keduniaan.

Jawapan: Orang yang berilmu, mereka tiada lemah pada segala hukum, iaitu tiada lemah pada segala kejadian. Malah kerana dengan ilmulah, yang pertama, kita dapat mengenal Allah Subhanahu wa Taala. Bila mengenal Allah maka datang perasaan takut. Barang siapa yang kenal Allah, dia takut kepada Allah. Barang siapa kenal Allah, dia kasih kepada Allah. Barang siapa kenal kepada dunia, dia benci kepada dunia. Barang siapa tiada kenal hakikat dunia maka dia kasih kepada dunia. Tidak takut kepada Allah, melainkan orang yang kenal sifat-sifat Allah. Sebab itu, "Awaludin" kata ulama-ulama mutakhodimin, "Makrifatullah". Awal agama itu mengenal Allah. Kerana firman Allah Subhanahu wa Taala, "Innama yasallaha min ibadihi ulama u". Hanyasanya yang takut dan gerun kepada Allah ialah hamba-hamba-Nya yang ada ilmu tentang Allah. Kita kenal Allah baru takut.

Orang yang tidak kenal lawanlah. Itu yang tidak mahu sembahyang. Tidak kenal Tuhan. Sebab itu dia takut kepada makhluk.

Orang yang kenal satu-satu benda, benda itu garang, benda itu bahaya, dia takut. Tapi kalau orang yang tidak kenal walaupun benda itu garang, dia tidak takutlah. Macam budak-budak kecillah. Kala jengking merayap atas simen, dia ambil, pegang, lalu digigit oleh binatang itu. Empat hari duduk di hospital. Kenapa? Sebab benda yang orang begitu takut, dia pergi pegang. Dia tidak ada ilmu tentang kala jengking. Lalu ular sendut di hadapannya pula, dia ambil ular tedung, dijadikan permainan, lepas itu dipatuk ular, terus mati. Emak yang berada di tingkat atas bertempik, melarang anak kecilnya supaya tidak pegang ular itu. Kenapa? Sebab emaknya takut kepada ular itu. Emaknya ada ilmu. Jadi dia tahu ular itu adalah binatang yang bahaya.

Begitu juga dengan keadaan sekarang. Ulama-ulama, tok guru-tok guru, bertempik siang dan malam memberikan peringatan kepada sesama manusia supaya takut kepada Allah kerana mereka sendiri takut kepada Allah. Mereka kenal Allah. Itulah sebab mereka memberikan pesanan, tazkirah kepada rakyat, tapi rakyat tidak mahu peduli, tidak takut sedikit pun kepada Allah. Sama seperti budak kecil, dengan emaknya yang sudah kenal ular sendut itu, hingga bertempik melolong suruh anaknya lari jauh dari ular itu, tetapi anaknya tidak mempedulikannya, hanya tersengeh sahaja lalu dipegangnya ular itu sebab tiada ilmu. Rakyat pula yang kata kepada ulama, "Apa benda gak bising banggor (riuh rendah), tak mahu ikut kamu. Tidak payah sentuh bab ini, hal kami ini, hal hiburan ini, serba tak kena." Puncanya mereka berkata begitu kepada ulama-ulama itu kerana mereka tiada ilmu. Jadi akhirnya, mereka dipatuk ular. Ia macam itulah.

Sunnah dan qiyas kepal tanah kubur

Soalan: Di dalam masyarakat kampung kita, kebiasaannya bila seseorang itu meninggal dunia tanah kubur yang digali liang lahad dibawa balik sedikit sebelum mayat dikebumikan. Ketika jenazah dibawa ke kubur, tanah itu dibawa bersama dan diletakkan semula di liang lahad selepas jenayah dikebumikan. Adakah perbuatan ini ada dalam sunnah atau adakah adat semata-mata?

Jawapan: Masalah ambil tanah kubur lepas itu dibawa balik ke rumah. Digali kubur, diambil sedikit tanah kubur yang digali itu, dimasukkan ke dalam besen atau talam, kemudian dibawa balik ke rumah si mati dan diletakkan dekat tangga rumahnya. Datang seorang digengam tanah itu dan diletakkan kembali ke dalam besen atau talam itu. Datang pula orang lain yang menziarah si mati digengamnya tanah itu dan diletakkan pula ke dalam besen atau talam itu. Begitulah juga dengan yang lain yang datang menziarah si mati itu seorang demi seorang yang baru datang itu. Nanti apabila mayat dibawa ke kubur dibawa sama tanah itu dan dimasukkan sama ke dalam kubur si mati.

Asal daripada mana perbuatan itu? Asalnya daripada sunnah. Sunnah yang diqiyaskan sahaja. Zaman Nabi tidak dibawa balik tanah kubur ke rumah. Zaman Nabi pergi ke kubur. Nabi suruh sahabat-sahabat ambil tanah, tiga kali gengam. Ambil yang pertama, baca "Minha khalak nakun", kemudian dilemparkan ke dalam liang. Ambil kali yang kedua, baca "Wafiha nueidukun", kemudian dilemparkan ke dalam liang. Ambil yang ketiga, baca "Waminha nukhrijukun tarotan ukro", kemudian dilemparkan ke dalam liang. Tiga kali ini, sunnah. Itu zaman sahabat. Lepas itu zaman sekarang, orang sibuk, tidak sempat hendak pergi ke kubur.

Jadi hendak buat macam mana? Hendak ambil juga berkat bacaan tadi? Caranya ambil tanah kubur, diletakkan siap-siap di rumah si mati. Jadi orang yang tidak pergi ke kubur baca di situlah. "Minha khalaknakun," letak balik. Karang bawa pergi balik tanah itu ke kubur. Jadi qiyas. Dibenarkan pada syarak. Jangan anggap itu sebagai sunnah, tapi qiyas daripada sunnah. Yang sunnahnya gengam di kubur.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.