Bersedia lawan sesiapa sahaja
Oleh Zulkiflee Bakar
BAHANG Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin terasa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bayangan bahawa ‘ia semakin dekat’. Pelbagai pihak mula membuat ramalan ada yang kata Mac dan ada pula yang kata April, malah ada juga yang meramalkan pembubaran Parlimen akan dilakukan pada Februari ini.
BAHANG Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin terasa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bayangan bahawa ‘ia semakin dekat’. Pelbagai pihak mula membuat ramalan ada yang kata Mac dan ada pula yang kata April, malah ada juga yang meramalkan pembubaran Parlimen akan dilakukan pada Februari ini.
Namun tarikh sebenarnya tersimpan rapi
dalam kotak fikiran dan hati. Perdana Menteri yang juga Pengerusi
Barisan Nasional (BN). Pilihan raya kali ini diramalkan akan berlaku
pertembungan sengit antara BN dengan parti-parti pembangkang.
Pembangkang pula terbahagi dua, satu dalam Pakatan Harapan yang
menggabungkan DAP sebagai ‘taiko’ manakala PKR,PAN dan Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) mengikut dari belakang. Pas pula akan bertarung
bersendirian.
Tidak dapat dinafikan berbanding gabungan
pembangkang, BN jauh lebih baik, tetapi cabaran yang ada di hadapan
parti tersebut ialah menterjemahkan dalam bentuk undi daripada rakyat.
Perdana Menteri sudah memberi jaminan bahawa BN akan menyediakan
manifesto terbaik dalam mengutamakan nasib rakyat.
Justeru
seluruh pemimpin dan ahli-ahli BN perlu bersedia ‘turun bertempur’ bagi
memastikan rakyat terus memberi mandat kepada parti tersebut untuk
memerintah negara. Jangan terlalu memikirkan sangat kekalutan dalam
Pakatan Harapan boleh memberi kelebihan kepada BN.
BN
perlu membuat persiapan untuk menghadapi sesiapa sahaja dan di mana
juga kawasan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.
Paling penting jangan sesekali membuat congakan bahawa pertandingan tiga
penjuru akan memberi kelebihan kepada BN.
Sebaliknya,
BN harus menyediakan jentera yang kuat dan calon yang tepat untuk
memastikan kemenangan parti itu. Jentera BN bukan sahaja perlu bersedia
dari segi pendekatan bertemu pengundi secara bersemuka tetapi juga
melalui media-media sosial. Sudah pasti menjelang dan ketika
berlangsungnya PRU-14, semakin banyak tohmahan akan dilakukan oleh
Pakatan Harapan.
Dalam keadaan semakin
ketandusan modal untuk menumbangkan BN, fitnah dan tohmahan pasti
akan digunakan habis-habisan bagi mengelirukan rakyat. Oleh itu, BN
perlu bersedia sepenuhnya. Jangan syok sendiri dan jangan melampaui
batas dalam melakukan serangan balas, segala-galanya harus dilaksanakan
secara sederhana supaya ia tidak menjadi ‘senjata makan tuan’.
Satu
lagi faktor yang paling penting ialah calon. Kali ini pelaksanaan
kriteria calon boleh menang dan disukai rakyat harus benar-benar
dilaksanakan. Ia tidak boleh sekadar menjadi laungan atau di atas kertas
sahaja. Calon-calon yang dipilih mesti berupaya memastikan kemenangan
parti bukan kerana mereka menjadi ketua bahagian atau sudah lama menjadi
wakil rakyat. Jika ada calon yang jauh lebih berpotensi pilihlah calon
tersebut.
Muka-muka baharu termasuk dalam
kalangan calon muda perlu diketengahkan. Mana-mana calon yang sebelum
ini sudah beberapa kali kalah sepatutnya tidak harus lagi
dipertimbangkan untuk disenaraikan semula. Berilah peluang kepada orang
lain untuk bertanding.
Ini memandangkan
akhirnya apa yang paling penting ialah kemenangan parti dan bukannya
survival politik mana-mana individu. Kalau ada yang mahu merajuk,
biarkan sahaja kerana PRU-14 bukannya masa untuk pujuk memujuk
memandangkan ini adalah penentu hidup mati BN.
Jika
mereka berjiwa besar dan ikhlas berjuang untuk kepentingan parti
mereka tidak akan merajuk, sebaliknya akan akur dan menyokong sesiapa
sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan. Dalam soal ini, BN dan UMNO
perlu ada keberanian untuk menggugurkan mana-mana calon yang sudah
dilihat tidak relevan lagi.
Mana-mana wakil
rakyat tidak kira ADUN mahupun Ahli Parlimen yang dilihat ‘wakil rakyat
bermusim’ dan hanya tunjuk muka kepada rakyat menjelang pilihan raya
perlu disingkirkan. Tidak perlu lagi memberi pertimbangan semata-mata
kerana bimbang akan berlaku sabotaj.
Cukup-cukuplah
perasaan takut kepada perbuatan sabotaj. Perasaan seumpama itu tidak
boleh melumuri parti dalam membuat keputusan. Apa yang perlu diberi
keutamaan ialah calon disukai rakyat dan boleh memberi kemenangan kepada
parti.
Kita sudah muak mendengar cerita
warlord atau ahli politik yang tidak tahu bermuhasabah serta tidak mahu
meletakkan kepentingan parti mengatasi politik peribadi. Mereka tidak
perlu diberi peringatan betapa pentingnya pilihan raya umum kali ini,
bak kata orang, ‘sendiri mau ingat’.
Di
peringkat kerajaan, Najib dengan dibantu Timbalannya, Datuk Seri Dr.
Ahmad Zahid Hamidi boleh dikatakan sudah melakukan segala-galanya
bagi memastikan BN menang cemerlang dalam PRU-14, tetapi semua usaha
itu akan tergugat jika di peringkat bahagian-bahagian masih lagi
bergelut dengan soal perebutan menjadi calon dan politiking sesama
sendiri.
Bagaimanapun difahamkan berbanding
sebelum ini, situasi di bahagian-bahagian jauh lebih tenteram
memandangkan sudah wujud keinsafan dalam kalangan kepemimpinan bahagian
untuk bersedia menerima apa juga keputusan parti berhubung pemilihan
calon.
Walaupun ada juga cerita-cerita yang
tidak enak didengar khususnya melibatkan lobi-melobi untuk menjadi
calon dan kebimbangan ada calon ‘payung terjun’, tetapi keseluruhannya
jentera BN sudah bersedia menghadapi ‘bapa segala pilihan raya’ itu.
Lagipun mereka semakin memahami sama ada suka atau tidak, cabaran
pakatan pembangkang tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi dengan
amalan politik matlamat menghalalkan cara yang dilakukan oleh pakatan
itu demi merebut kuasa.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.