Sepanjang festival flora terbesar di negara itu berlangsung, pelancong dapat menyaksikan sendiri keindahan bunga jacaranda yang berwarna ungu dan mekar berkembang menyelimuti hampir keseluruhan New South Wales.
Bandar Grafton yang terletak di utara New South Wales memiliki kira-kira 2,000 pokok jacaranda yang subur, sekali gus membuatkan Grafton yang membangun sepanjang Sungai Clarence dipilih sebagai lokasi penganjuran festival tersebut.

Pelbagai aktiviti menarik disaji sepanjang festival itu berlangsung. Antara yang mencuri tumpuan adalah program pencarian permaisuri jacaranda, perarakan jalanan dan pertunjukan bunga api.
Selain Grafton, pengunjung disaran meluangkan sedikit masa di kawasan lain seperti Kirribilli, Lavender Bay dan Greenwich. Lokasi itu amat popular sebagai pusat perkelahan. 

Tidak lengkap kunjungan ke New South Wales jika tidak ke Sydney. Bagi yang merancang ke sini, jangan lepaskan peluang melihat sendiri panorama musim bunga yang dipenuhi keindahan lautan bunga jacaranda di kawasan sekitarnya.

Sekali sekala, nikmati keindahan Sydney dengan berjalan kaki bermula dari Royal Botanic Garden melewati Circular Quay dan The Rocks. Sepanjang laluan itu, pengunjung dapat menyaksikan keindahan Harbour Bridge, Sydney Opera House dan Cobblestone Streets yang dilatari kehijauan alam.

Selain itu, musim bunga adalah tempoh paling ideal untuk melawat Universiti Sydney. Di sini, pohon jacaranda gergasi yang popular dapat dilihat secara dekat. 

Dalam masa sama, Mayfield Garden, sebuah taman bersuhu dingin popular menanti pelancong untuk dikunjungi. Di sini, terdapat banyak kafe dan kedai menjual hasil ladang. Kafe dan kedai itu dibuka bagi kemudahan pengunjung.

Sementara itu, lengkapkan pengalaman percutian musim bunga di Australia dengan berkunjung ke taman botani yang berada di kaki Gunung Tomah. Terletak 100 kilometer dari Sydney, taman flora yang ditransformasi menjadi The Garden of Earthly Delights ini menempatkan pameran seni flora, binaan arca, persembahan muzik dan dendangan puisi.