PAN kecundang sebelum masuk gelanggang
Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
SERONOK juga melihat cara parti-parti dalam
Pakatan Harapan (PH) memfaraidkan sesama mereka 65 kerusi Parlimen
Semenanjung Malaysia yang ditandingi oleh calon-calon PAS sewaktu PAS
bersama di dalam Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dahulu.
Paling menyedihkan tentulah PAN yang para pemimpinnya sebelum ini
berdegar-degar melaungkan ke seluruh negara kononnya PAN akan
mengambil-alih tempat PAS di dalam Pakatan Rakyat dahulu dengan
menandingi kerusi-kerusi yang PAS tandingi.
Walhasilnya, daripada 65 kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia yang
ditandingi oleh calon-calon PAS yang PAS tandingi dahulu, PAN hanya
diberikan 25 kerusi sahaja (38 peratus), berbanding 35 yang diberikan
kepada PPBM, 4 kepada PKR dan 1 kepada DAP.
Markah 38peratus yang diperolehi oleh PAN ini adalah bukti nyata
kegagalan awal PAN di dalam misi yang dilaung-laungkannya untuk kononnya
menggantikan peranan PAS di dalam PH dengan konsep Islam Rahmatan lil ‘Alaminnya.
Agihan kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia ini menunjukkan betapa
PAN diperbudak-budakkan oleh rakan-rakannya dalam PH sehingga
menyebabkan pemimpin PAN meluahkan kekesalan mengenai mereka terpaksa
berkorban.
Keluhan Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hasan, di dalam portal berita Free Malaysia Today,
mencerminkannya: “Hanya PAN yang sanggup berkorban untuk gabungan
pembangkang tetapi parti komponen lain hanya memikirkan kemahuan
sendiri.”
Kata Aminolhuda mengenai agihan kerusi Parlimen di Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, “Kita (PAN) korbankan satu-satunya kerusi
Parlimen yang ada di Wilayah Persekutuan untuk PPBM walaupun PKR ada
lebih daripada 1 kerusi Parlimen di sana.”
Begitu juga dengan agihan kerusi Parlimen di Johor dalam mana
Aminolhuda berkata: “Di Johor, DAP ambil alih Parlimen Ayer Hitam
daripada PAN hanya kerana DAP perlu bertanding 1 kerusi lebih daripada
jumlah kerusi yang akan ditandingi MCA.”
Turut dibangkitkan oleh Aminolhuda adalah pengorbanan PAN “yang ke
depan membentuk PH”, “menjadi tonggak PH di Johor”, “isytihar Johor
negeri barisan depan PAN” tetapi terpaksa menyerahkan Johor kepada PPBM.
Begitu juga dengan pendedahan Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad, di dalam portal berita The Malaysian Insight,
bahawa Konvensyen Pakatan Harapan hampir sahaja tidak mampu
dilangsungkan bila timbul kebuntuan di dalam agihan kerusi tersebut.
Kata Khalid, kebuntuan yang berlaku ekoran ketegasan semua parti
mempertahankan kerusi masing-masing ini hanya berjaya dipecahkan sekali
gus membolehkan konvensyen itu dilangsungkan setelah PAN setuju
menyerahkan kerusi Titiwangsa kepada PPBM.
Kesemua ini mendedahkan mengenai ketidaktegasan para pemimpin PAN
memperjuangkan kepentingan mereka sekali gus menimbulkan persoalan besar
mengenai bagaimana konsep Islam Rahmatan lil 'Alamin dapat diperjuangkan oleh PAN.
Paling ketara memperbudak-budakkan PAN ialah PPBM yang membolot
kedua-dua kerusi PAN di Wilayah Persekutuan dan kedua-dua kerusi PAN di
Perlis sehingga PAN langsung tidak memperolehi sebarang kerusi di dua
negeri ini.
Lebih jelas lagi ialah bila kedua-dua kerusi yang PAN tandingi di
dalam Pilihan Raya Kecil pada 18 Jun 2016 dahulu dan yang telah PAN
jagai sejak detik itu, iaitu kerusi-kerusi P67 Kuala Kangsar dan P93
Sungai Besar, pun turut dirampas oleh PPBM.
Ketamakan PPBM ini terserlah di dalam kenyataan Naib Presiden PKR,
Rafizi Ramli, kepada portal berita MalaysiaKini bahawa PPBM meminta
diperuntukkan bilangan kerusi Parlimen paling banyak di Semenanjung
Malaysia, malah asalnya meminta sebanyak 80 kerusi.
Turut memperbudak-budakkan PAN ialah DAP yang, mengikut laporan portal berita The Malaysian Insight,
menyerahkan kerusi-kerusi P135 Alor Gajah dan P165 Tanjong Piai kepada
PPBM hanya untuk mendapatkan kerusi P148 Ayer Hitam milik PAN.
Jika betul DAP menghormati PAN dan konsep Islam Rahmatan lil 'Alaminnya,
mengapa tidak diberikan sahaja mana-mana kerusi milik DAP kepada PAN,
bukan kepada PPBM, sebagai tukaran kepada kerusi P148 Ayer Hitam milik
PAN itu?
Tidak hairanlah bila Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hasan,
Pengerusi PAN Perak, Asmuni Awi, Timbalan Pengerusi PAN Pahang, Syed
Hamid Syed Mohamed, dan lain-lain lagi membangkitkan layanan teruk
terhadap PAN ini secara terbuka.
Semoga layanan teruk terhadap PAN dalam soal agihan kerusi Parlimen
di Semenanjung Malaysia ini mampu menyedarkan sebahagian pendokong PAN
betapa perjuangan Islam yang cuba mereka bawa sukar terlaksana melalui
PH.
Markah Prestasi PAN Ganti PAS Mengikut Negeri
Markah penuh ialah 38 peratus (25 daripada 65)
Perlis (0 peratus): 0 daripada 3
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 3 daripada 3 kerusi di Perlis, iaitu P1 Padang Besar, P2 Kangar dan P3 Arau.
Dalam PRU 14, 2 daripada kerusi PAS ini diserahkan kepada PPBM,
iaitu P1 Padang Besar dan P3 Arau, meninggalkan PAN dengan 0 kerusi.
Wilayah Persekutuan (0 peratus): 0 daripada 2
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 2 daripada 12 kerusi di Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, iaitu P119 Titiwangsa dan P125
Putrajaya.
Dalam PRU 14, kedua-dua kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM, meninggalkan PAN dengan 0 kerusi.
Melaka (0 peratus): 0 daripada 1
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 1 daripada 6 kerusi di Melaka, iaitu P134 Masjid Tanah.
Dalam PRU 14, kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM.
PAN bagaimanapun diberikan kerusi P139 Jasin milik PKR dalam PRU 14.
Pahang (17 peratus): 1 daripada 6
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 6 daripada 14 kerusi di Pahang,
iaitu P79 Lipis, P81 Jerantut, P86 Maran, P87 Kuala Krau, P88 Temerloh
dan P91 Rompin.
Dalam PRU 14, 4 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM,
iaitu P79 Lipis, P81 Jerantut, P86 Maran dan P87 Kuala Krau, manakala 1
lagi diagihkan kepada PKR, iaitu P91 Rompin, meninggalkan PAN dengan 1
kerusi, iaitu P88 Temerloh.
Johor (25 peratus): 2 daripada 8
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 8
daripada 23 kerusi di Johor, iaitu P143 Pagoh, P147 Parit Sulong, P148
Ayer Hitam, P151 Simpang Renggam, P154 Mersing, P155 Tenggara, P156 Kota
Tinggi dan P161 Pulai.
Dalam PRU 14, 5 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM,
iaitu P143 Pagoh, P151 Simpang Renggam, P154 Mersing, P155 Tenggara dan
P156 Kota Tinggi, manakala 1 lagi diagihkan kepada DAP, iaitu P148 Ayer
Hitam, meninggalkan PAN dengan 2 kerusi, iaitu P147 Parit Sulong dan
P161 Pulai.
Kedah (38 peratus): 3 daripada 8
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 8 daripada 14 kerusi di Kedah,
iaitu P5 Jerlun, P6 Kubang Pasu, P7 Padang Terap, P8 Pokok Sena, P11
Pendang, P12 Jerai, P13 Sik dan P16 Baling.
Dalam PRU 14, 5 daripada kerusi
PAS ini diserahkan kepada PPBM, iaitu P5 Jerlun, P6 Kubang Pasu, P11
Pendang, P12 Jerai dan P16 Baling, meninggalkan PAN dengan 3 kerusi,
iaitu P7 Padang Terap, P8 Pokok Sena dan P13 Sik.
Perak (43 peratus): 3 daripada 7
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 7 daripada 24 kerusi di Perak,
iaitu P54 Gerik, P55 Lenggong, P56 Larut, P57 Parit Buntar, P59 Bukit
Gantang, P67 Kuala Kangsar dan P69 Parit.
Dalam PRU 14, 4 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM,
iaitu P54 Gerik, P55 Lenggong, P56 Larut dan P67 Kuala Kangsar,
meninggalkan PAN dengan 3 kerusi, iaitu P57 Parit Buntar, P59 Bukit
Gantang dan P69 Parit.
PAN juga diberikan kerusi P74 Lumut milik PKR dalam PRU 14.
Terengganu (43 peratus): 3 daripada 7
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 7 daripada 8 kerusi di
Terengganu, iaitu P33 Besut, P34 Setiu, P35 Kuala Nerus, P36 Kuala
Terengganu, P37 Marang, P38 Hulu Terengganu dan P39 Dungun.
Dalam PRU 14, 3 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM,
iaitu P33 Besut, P34 Setiu dan P38 Hulu Terengganu, manakala 1 lagi
diagihkan kepada PKR, iaitu P39 Dungun, meninggalkan PAN dengan 3
kerusi, iaitu P35 Kuala Nerus, P36 Kuala Terengganu dan P37 Marang.
Kelantan (45 peratus): 5 daripada 11
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 11 daripada 14 kerusi di
Kelantan, iaitu P19 Tumpat, P20 Pengkalan Chepa, P21 Kota Bharu, P22
Pasir Mas, P23 Rantau Panjang, P24 Kubang Kerian, P25 Bachok, P28 Pasir
Puteh, P30 Jeli, P31 Kuala Krai dan P32 Gua Musang.
Dalam PRU 14, 5 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM,
iaitu P19 Tumpat, P25 Bachok, P28 Pasir Puteh, P30 Jeli dan P32 Gua
Musang, manakala 1 lagi diagihkan kepada PKR, iaitu P22 Pasir Mas,
meninggalkan PAN dengan 5 kerusi, iaitu P20 Pengkalan Chepa, P21 Kota
Bharu, P23 Rantau Panjang, P24 Kubang Kerian dan P31 Kuala Krai.
Pulau Pinang (50 peratus): 1 daripada 2
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 2 daripada 13 kerusi di Pulau Pinang, iaitu P41 Kepala Batas dan P42 Tasek Gelugor.
Dalam PRU 14, 1 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM,
iaitu P42 Tasek Gelugor, meninggalkan PAN dengan 1 kerusi, iaitu P41
Kepala Batas.
Negeri Sembilan (67 peratus): 2 daripada 3
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 3 daripada 8 kerusi di Negeri Sembilan, iaitu P126 Jelebu, P127 Jempol dan P133 Tampin.
Dalam PRU 14, 1 daripada kerusi PAS ini diagihkan kepada PPBM,
iaitu P127 Jempol, meninggalkan PAN dengan 2 kerusi, iaitu P126 Jelebu
dan P133 Tampin.
Selangor (71 peratus): 5 daripada 7
Dalam PRU 13, PAS bertanding di 7 daripada 22 kerusi di
Selangor, iaitu P93 Sungai Besar, P95 Tanjong Karang, P96 Kuala
Selangor, P101 Hulu Langat, P108 Shah Alam, P111 Kota Raja dan P113
Sepang.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.