https://critoxium.com/shop/

Terkini

Warkah Untuk Anggota Parti Keadilan Rakyat


Saya sedar anggota Parti Keadilan Rakyat seramai lebih satu juta orang sekarang dalam keadaan lemah semangat dan sedih.

2.Kita baru sahaja kalah dalam Pilihanraya Negeri Sabah.Parti Keadilan menang satu kerusi sahaja.

3.Dalam masa yang sama, kita lihat Parti Keadilan sekarang tidak padu dan mantap seperti sebelum ini.

4.Pemimpin-pemimpin parti terutama ahli-ahli parlimen dari kalangan Parti Keadilan sendiri ( termasuk penulis ini) sering secara lantang dan terbuka mengkritik Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan Kerajaan Madani pimpinan Presiden Parti Keadilan sendiri.

5.Banyak disebut bahawa Parti Keadilan yang memimpin kerajaan sekarang terlalu perlahan atau kadang-kadang dilihat undur setapak dua ke belakang dalam agenda reformasi sama ada di bidang pentadbiran kerajaan atau di ruang demokrasi dan hak asasi.

6.Kadang-kadang teguran dan kritik itu kelihatan tidak adil kerana tidak mengimbangi dengan beberapa kemajuan dan pencapaian kerajaan selama tiga tahun ini dalam mengurus negara termasuklah dalam soal ekonomi dan kebajikan rakyat jelata.

7.Di aras peribadi, walau apapun yang saya telah suarakan agak keras terhadap kerajaan, terutamanya dalam soal Perjanjian Timbal Balik Perdangan Antara Malaysia dengan Amerika, dan saya tetap dengan pendirian saya itu, tetapi saya amat menghormati sikap pemimpin Kerajaan dan pemimpin Parti Keadilan khususnya Perdana Menteri dan juga Presiden Parti yang menghormati dan memberi ruang kebebasan untuk kami ahli parlimen Keadilan bersuara bebas di dalam dan di luar parlimen.Jika parti politik lain, mungkin kami telah dipecat atau digantung keanggotaan parti.Tetapi ini tidak berlaku dalam Parti Keadilan.

8.Saya anggap dari pandangan peribadi saya, contoh yang saya sebut di atas meyakinkan saya, bahawa Parti Keadilan Rakyat dan Presidennya Saudara Anwar Ibrahim masih teguh berpegang kepada satu teras yang penting dalam reformasi iaitu hak kebebasan dan demokrasi bersuara.

9.Jadi saya membuat kesimpulan bahawa Parti Keadilan boleh bangkit semula dari kekalahan sementara ini.

10.Amat sedih dan malang sekali jika sebuah parti politik yang sebaik Parti Keadilan Rakyat ini dengan 18 cita-cita perjuangannya yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Parti untuk menjadi wadah perjuangan rakyat berbilang bangsa membangunkan sebuah negara bangsa yang bersatu, demokratik dan adil menghadapi kemerosotan hanya selepas tiga tahun sahaja berada sebagai kerajaan.

11.Saya percaya Parti Keadilan Rakyat sebagai sebuah parti politik masih tersusun organisasinya.Parti Keadilan Rakyat mampu merancang semula, menyusun strategi, mengenali segala kelemahan parti dan kekuatan parti untuk menyusun saf, mengatur langkah, membina naratif tulen, jujur dan segar dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-16, mungkin dalam setahun setengah lagi.

12.Anggaplah kekalahan di Sabah baru-baru ini, satu kekalahan dalam satu pertempuran.Dari sejarah Parti Keadilan sebelum ini, ia pernah bangkit semula dan mara kedepan dengan lebih teguh sehingga memenangi perang yang besar iaitu Pilihanraya Umum yang akhirnya membawa Parti Keadilan menjadi parti politik tulang belakang dalam Kerajaan Persekutuan sekarang.

Salam Perjuangan!

Yang benar
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
02 Disember 2025

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.