Bakal wakil rakyat perlu orientasi
MELIHAT suasana
semasa, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal berlangsung pada
bila-bila masa sahaja. Gong paluan perang oleh Perdana Menteri untuk
bersiap-siaga telah lama dibunyikan.
Mendengar akan paluan tersebut,
maka ramailah antara mereka yang bercita-cita tinggi mula melobi untuk
menonjolkan diri agar dapat dicalonkan oleh parti-parti politik sebagai
salah seorang calon pilihan raya.
Namun begitu berapa ramai yang “teringin” itu
sedar akan tanggungjawab yang bakal dipikul sekiranya dipilih kelak.
Ringkasnya, adakah mereka yang menawarkan diri ini benar-benar bersedia?
Maka kerana itu penulis merasakan perlunya
diwujudkan satu bentuk orientasi untuk bakal-bakal wakil rakyat ini.
Penulis sebenarnya merasakan lebih cenderung untuk mewajibkan kursus
sebegini, agar keseriusan bakal wakil-wakil rakyat boleh dinilai dari
mula lagi.
Orientasinya bukanlah berbentuk seperti
orientasi ketika kita melalui minggu haluan siswa ataupun seperti ketika
baru mendaftar sebagai pelajar di universiti, tetapi lebih kepada
orientasi untuk memahami keperluan dan kehendak masyarakat yang mereka
akan wakili.
Penganjurnya, pastilah dalam kalangan pertubuhan persatuan penduduk atau NGO yang bebas unsur politik di dalamnya.
Antara kandungan orientasi ini termasuklah
memahami selok-belok geografi kawasan yang akan diwakili, mengetahui
secara teliti back to back mengenai pendapatan per kapita dan pecahan
bangsa.
Beliau juga harus mempunyai senarai mereka di bawah radar
Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Asnaf Pusat Zakat.
Bakal wakil-wakil rakyat juga harus mendampingi
balai polis setempat untuk mengetahui sendiri kadar jenayah kawasan dan
jabatan perpaduan dan integriti untuk mengetahui titik-titik panas
penyatuan bangsa.
Dengan adanya maklumat sebegini pastinya bakal
wakil-wakil rakyat tersebut dapat menjangkakan apa yang terburuk jika
mereka terpilih mewakili kawasan tersebut.
Bukan sekadar itu, mereka ini juga harus
mengetahui apa yang dikehendaki oleh setiap lapisan masyarakat setempat,
dan berjuang untuk mendapatkannya.
Hakikatnya, setiap wakil rakyat perlu melihat
sesesuatu dalam keadaan mikro sebelum bercita-cita meletakkan diri dalam
keadaan makro seperti menjadi exco kerajaan negeri mahupun menteri di
peringkat pusat.
Penulis lebih suka selepas setiap orientasi ini, wakil-wakil yang ingin menjadi Yang Berhormat harus mengemukakan satu blueprint kawasan
untuk dikemukakan kepada parti-parti politik mereka, ini boleh
dijadikan satu manifesto khusus untuk kawasan tersebut. Kerana bagi
penulis setiap kawasan mempunyai perbezaan kehendaknya.
Orientasi kedua pula perlu melibatkan pasangan
bakal wakil-wakil rakyat ini. Wakil rakyat yang tidak mendapat sokongan
daripada pasangan masing-masing harus diketepikan, kerana konsep negara
kita menitikberatkan kesepaduan kekeluargaan. Maka orientasi ini
diperlukan untuk menjelaskan peranan dan sokongan yang diberikan oleh
setiap pasangan terhadap bakal wakil-wakil rakyat ini. Jangan nanti ada
pasangan yang bertindak menjadi “lebih sudu daripada kuah”.
Suka juga penulis menegaskan kepada mereka yang
sudah menyandang jawatan wakil rakyat lebih daripada dua penggal tetapi
gagal menunjukkan prestasi yang membanggakan harus dengan sukarela
diganti dengan muka baru yang lebih proaktif. Kadangkala terlampau lama
juga menyebabkan seseorang itu merasa selesa dan alpa akan tanggungjawab
yang patut mereka pikul.
Konsep report card sering kali
dicadangkan dan sudah tiba masa dikuatkuasakan. Saya merasakan mereka
yang memperoleh markah kurang daripada 80% harus digugurkan secara
automatik daripada jawatan ini. Jawatan ini hanya boleh dan layak
disandang oleh mereka yang punya komitmen tinggi sahaja.
Secara tuntasnya peranan utama wakil rakyat
ialah mewakili rakyat kawasan pilihan rayanya. Justeru, wakil rakyat
tersebut menggalas amanah besar yang hendaklah ditunaikan dengan jujur
dan bijaksana sebagaimana kehendak mereka yang berada di daerah pilihan
rayanya. Wakil rakyat itu bukan sahaja mewakili rakyat yang mengundi
mereka semasa pilihan raya tetapi juga rakyat yang tidak menyokong atau
tidak mengundi mereka semasa pilihan raya. Selain itu kepentingan rakyat
boleh dijaga dengan saluran bantuan serta projek-projek tempatan.
Dalam perkhidmatan wakil rakyat, hendaklah
diwujudkan ruang-ruang untuk rakyat berhubung bagi mendapatkan maklumat
dan bantuan. Ketika ini zaman teknologi yang memerlukan maklumat
disalurkan dengan pantas. Maka wakil rakyat yang savvy teknologi sahaja yang amat diperlukan masa kini.
Wakil rakyat hendaklah menyediakan akses
maklumat kepada rakyatnya tentang agenda penting negeri atau negara.
Wakil rakyat juga perlu melibatkan rakyat dan menjelaskan peranan mereka
dalam konflik serta perlu membina konsensus dan mencapai penyelesaian.
Wakil rakyat perlu responsif kepada setiap keperluan rakyat.
Secara umumnya peranan wakil rakyat sebagai
wakil kepada rakyat, hendaklah membuatkan rakyat berasa mereka diwakili
oleh wakil yang mereka secara majoriti telah pilih.
Justeru, harapan kita kepada wakil rakyat, sudah
pasti untuk mereka melaksanakan amanah dengan baik sehingga mampu
menyelesaikan masalah, bukan sahaja masalah dalam kawasan mereka, tetapi
juga menyelesaikan masalah negara.
YB itu bukan sekadar Yang Berhormat, malah meliputi Yang Berkhidmat, Yang Bertimbang rasa dan pastinya Yang Berkorban.
DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI SABRI ialah Pengarah IPDM, Universiti Utara Malaysia (UUM).





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.