https://critoxium.com/shop/

Terkini

Lima ciri manifesto yang baik

Oleh Norizan Sharif

APABILA anda telah menjadi perdana menteri selama 22 tahun, bukan mudah untuk memberikan harapan baharu kepada rakyat. Orang akan bertanya, mengapakah anda tidak melakukan sebelum ini apa yang anda mahu lakukan sekarang.

Namun Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan-rakannya telah melancarkan manifesto Pakatan Harapan minggu lepas.

Dalam sistem demokrasi, manifesto ialah satu dokumen pemasaran idea, harapan dan masa depan. Manifesto lebih dari sekadar janji-janji pilihan raya.

Saya percaya selepas ini Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera juga akan melancarkan manifesto mereka juga.

Dan, saya juga percaya manifesto Barisan Nasional akan lebih komprehensif berbanding Pakatan Harapan. Malah, ia mungkin mencakupi bidang-bidang yang Pakatan Harapan terlepas pandang.

Sebagai kerajaan, Barisan Nasional ada kelebihan persaingan atau competitive advantage. Parti itu mempunyai akses kepada maklumat dan data kerajaan. Oleh kerana Barisan Nasional ialah parti yang memerintah, manifesto saja tidak cukup.

Barisan Nasional sewajarnya mengemukakan kad laporan pencapaian manifesto dulu sebagai mukadimah kepada manifesto pilihan raya umum ke-14.

Saya tidak pasti sejauh manakah pencapaian Barisan Nasional, namun berdasarkan kenyataan beberapa orang pemimpin parti itu, lebih 95% manifesto sebelum ini telah dilaksanakan.
Sekiranya itu benar, maka ia adalah satu pencapaian yang baik. Rakyat sewajarnya diberikan kad laporan itu agar mereka boleh menilai sendiri pencapaian tersebut.

Ini penting kerana pengundi akan dapat melihat apakah yang telah dilaksanakan oleh parti itu. Dari situ, pengundi akan dapat melihat manifesto baru dalam perspektif yang baharu.

Manifesto ialah satu alatan pemasaran atau marketing tool. Dengan manifesto, parti-parti politik berusaha melakukan brand positioning, sekali gus mempengaruhi persepsi rakyat kepada parti tersebut.

Tentulah manifesto saja tidak boleh menukar persepsi negatif menjadi positif, namun manifesto boleh mengukuhkan jenama positif.

Dalam keghairahan mendapatkan undi, parti-parti politik cenderung mengemukakan manifesto populis tanpa mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan.

Dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat dulu, Donald Trump berjanji untuk membina tembok di sepanjang sempadan negara itu dan Mexico. Setelah menjadi presiden, ternyata ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Begitu juga sebelum ini Governor Phil Murphy berjanji untuk menghalalkan marijuana di New Jersey.

Setelah dilantik ke jawatan itu, dia berhadapan dengan pelbagai kesukaran berbuat demikian.
Terlalu banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum anggota legislatif dan pentadbiran kerajaan boleh menyokong beliau dalam soal itu.

Sementara manifesto boleh memasukkan elemen populis untuk menarik undi, parti-parti politik melakukan kesilapan besar jika ia berhenti setakat itu.

Manifesto yang baik wajar ada sekurang-kurangnya lima elemen penting.

Pertama, ia seharusnya menjelaskan kerangka ideologi parti, atau ideological framework.

Dalam bahasa yang mudah, apakah yang membezakan ideologi parti itu dengan parti-parti lain. Apakah yang menjadikan ideologi parti itu serasi dengan majoriti pengundi.

Kedua, manifesto itu seharusnya mempunyai mesej teras. Ini penting kerana mesej teras ini menjadi rujukan apabila timbul isu baharu yang mungkin tidak dapat dimasukkan dalam manifesto.
Dalam konteks Barisan Nasional, mungkin ia mahu menjadikan Malaysia sebagai negara yang inklusif dan progresif.

Bertitik-tolak dari mesej teras inilah, parti politik membina janji-janji pilihan raya.

Ketiga, rekod pencapaian sebelum ini atau kad laporan. Ini penting bagi membolehkan pengundi menilai kemampuan sesebuah parti melaksanakan apa yang dijanjikan.

Sekiranya tidak, pengundi akan melihat manifesto sebagai janji-janji manis pilihan raya saja.
Keempat, hadkan skop kepada perkara-perkara penting dan bermakna kepada rakyat. Parti politik mudah terperangkap untuk berjanji bulan dan bintang.

Manifesto ialah alatan untuk parti politik berkomunikasi dengan pengundi. Usah buat setebal Rancangan Malaysia.

Kelima, gunakan bahasa yang boleh difahami oleh rakyat. Elakkan bahasa bombastik atau jargon pengurusan.

Sebagai rule of thumb, gunakan bahasa yang pelajar darjah enam boleh sebut dan faham. Lebih ramai orang faham, lebih mudah mereka beri undi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.