https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tiada pilihan lain, terpaksa minta bantuan ramai

KUANTAN - “Kami tiada pilihan lain, hanya mengharapkan sumbangan orang ramai,” kata Khairil Mansor, 38, yang memerlukan bantuan untuk membiayai rawatan jantung dan masalah paru-paru kronik dihidapi anak lelakinya berusia empat tahun.

Khairil yang bekerja sebagai penyelia tapak di salah sebuah syarikat swasta berkata, dia kini tidak mampu menanggung kos rawatan susulan Mohd Amir Muaz yang mencecah ribuan ringgit setiap bulan.

Menurutnya, dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan tidak mencukupi menyebabkan dia tertekan untuk mendapatkan wang terutamany apabila tarikh rawatan tersebut semakin hampir.

“Setiap kali sesi rawatan saya terpaksa mengeluarkan duit RM7,000 hingga RM8,000 bagi kos rawatan pakar dan warded.

“Jumlah itu cukup banyak dan saya akui tak mampu. Tambahan pula saya masih menanggung tiga anak yang masih bersekolah berusia antara 13, 10 dan 8 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Damai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Gading.

“Malah isteri saya pula tak kerja sebab perlu menjaga Mohd Amir Muaz,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, semalam.

Berikutan itu, katanya, dia terpaksa menagih simpati orang ramai memandangkan peluang untuk anaknya sembuh semakin tipis, tetapi rawatan secara bulan tetap perlu diteruskan.

Khairil memberitahu, penyakit jantung yang dialami anak bongsu dari empat beradik itu boleh sembuh apabila meningkat dewasa.

“Doktor ramalkan begitulah tapi untuk masalah paru-paru kronik yang dihadapi Mohd Amir Muaz kemungkinan tak dapat diubati kerana ia sudah rosak sepenuhnya.

“Jadi, Mohd Amir Muaz perlu menjalani rawatan susulan daripada doktor pakar sepanjang hayatnya,” katanya.

Ditanya mengenai kos pembedahan, Khairil berkata, setakat ini doktor masih belum memutuskan perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan secara berkala pada setiap bulan perlu dilakukan bagi memastikan Mohd Amir Muaz sentiasa berada dalam keadaan baik.

Dia yang tinggal di Kampung Seri Damai, berharap ada pihak yang sudi menderma bagi membolehkan anaknya menjalani hidup dengan selesa.

“Saya merayu kepada orang ramai supaya membantu anak saya mendapatkan rawatan dengan sempurna serta menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak yang lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun 1560-1210-0911 (Maybank) atas Khairil atau menghubunginya di talian 017-9726554.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.