https://critoxium.com/shop/

Terkini

Masa luar biasa untuk langkah luar biasa, kata Dr Mahathir

Oleh Sheridan Mahavera

INI adalah masa luar biasa yang memerlukan langkah luar biasa, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika beliau cuba meyakinkan pengundi Kelantan untuk menyokong gabungan Pakatan Harapan (PH).

Bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) yang kini menyertai pembangkang itu menggunakan frasa berkenaan untuk menggambarkan gabungannya dengan individu yang pernah dipenjarakannya, sesetengahnya adalah tokoh terkenal di Kelantan.

Ini termasuk Mohamad Sabu dan Husam Musa, kedua-duanya bekas veteran PAS dan kini menjadi sebahagian dalam empat parti yang membentuk PH bersama Dr Mahathir dan partinya, Bersatu.

Mohamad ialah presiden Amanah sementara Husam naib presidennya. Mereka berdua pernah menjadi musuh utama Dr Mahathir ketika bekas perdana menteri itu menjadi pengerusi Umno antara 1981 hingga 2003.

“Nampak pelik bukan? Saya duduk dengan Mohamad Sabu orang yang saya sumbat dalam Taiping (penjara) dua kali, ” katanya disambut tawa khalayak yang hadir program ceramah di Bachok, malam tadi.

Mohamad pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dua kali ketika Dr Mahathir perdana menteri.

“Dia dulu panggil saya maha firaun. La (sekarang) duduk tepi saya dan berbisik dengan saya.
“Saya tidak pernah bermimpi ini akan jadi sesuatu hari. Tetapi ia sudah jadi,” kata Dr Mahathir tentang hubungan barunya dengan Mohamad.

“Ini kerana negara menjurus kepada sesuatu yang luar daripada jangkaan. Jadi kita perlukan sesuatu yang luar dari jangkaan.

“Kita perlu ketepikan perbezaan kita bagi menjatuhkan Najib yang telah mencuri berbilion duit kita,” katanya.

Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri PH sementara Mohamad timbalan pengerusi dalam majlis presiden PH.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dan Dr Mahathir berucap pada jelajah nasional PH yang terkini, menyasarkan untuk mempersembahkan calon perdana menteri, timbalan perdana menteri dan mempromosikan manifesto mereka “Buku Harapan”.

Hadir sama ialah calon timbalan perdana menteri PH, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalan majlis presiden Muhyiddin Yassin.

PH akan bertanding melawan BN yang diterajui Perdana Menteri Najib Razak, dan PAS.

Dr Mahathir berkata Najib akan mencuba semua jenis helah untuk memastikan BN menang dan beliau kekal berkuasa.

Yang pertama ialah proses persempadanan semula di mana pentadbiran itu mencipta lebih banyak kerusi satu kaum.

“Najib percaya yang Melayu akan menyokong BN, iaitu bagi duit pada Melayu mereka akan undi. Ini tidak betul, sapu saja duit tu tapi pangkah PH,” katanya.

Dr Mahathir berkata Najib juga cuba menipu dengan tidak membenarkan PH didaftarkan secara rasmi sebagai satu gabungan.

“Dia tahu kalau PH tidak didaftarkan BN boleh menang. Dia takut. Saya tak pernah jumpa orang politik yang lagi takut seperti Najib.”

















Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.