https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mengapa Pok Ya COng Codei Jadi Fenomena

Oleh Dinsman

Entah mengapa hari itu ketika sedang melayan fesbuk tiba-tiba muncul telefilem Pok Ya Cong Codei di laman maya saya. Pelik dengan nama Cong Codei itu dan mengetahui ia karya Sabri Yunus, walaupun sudah bertahun tak menonton drama atau filem di televisyen, hari itu saya menonton Pok Ya Cong Codei, tanpa mengetahui ia sebuah karya terbaru Sabri yang baru saja dimainkan di televisyen.

Tak ada apa-apa kesan yang istimewa atau luar biasa. Sabri Yunus bercerita tentang orang-orang Kelantan. Sebelum ini pun pernah aku melihat drama tivi yang dia bercerita tentang orang Kelantan yang datang ke Kuala Lumpur.

Dan beberapa hari kemudian saya melihat Pok Ya Cong Codei itu sudah viral di fesbuk. Dan beberapa hari kemudian ia sudah jadi seperti satu fenomena. Eh, mengapa ya? Apa istimewanya filem PYCC ini hingga mendapat sambutan begitu hebat sekali, terutamanya di kalangan orang Kelantan?

Dan tiba-tiba Faisal Abdul Aziz Setiausaha Agung Abim menghubungi saya minta bercakap mengenai filem itu dalam satu wacana yang akan dibuat di ibupejabat Abim di Taman Cemerlang Gombak, 27 Februari, bersama dengan Sabri Yunus sendiri.

Oleh kerana bersetuju dengan permintaan Faisal, mulai saat itu mulalah saya berfikir serius mengenai filem PYCC – apa istimewanya. Sengaja saya tak menontonnya semula di Youtube untuk melihat apa yang ingin saya cari itu kerana saya lebih percayakan kesan daripada pertemuan yang pertama, untuk menilai sesebuah karya.

Pertama, mengapa saya mendapat kesan bahawa PYCC itu hanya sebuah filem tivi yang biasa?

Jawabnya ialah kerana saya cenderong melihat hasil kerja-kerja seni dalam sebuah filem, yang bermaksud keindahan penggambaran, lakonan yang bergaya dan mengesankan, sudut-sudut permainan kamera yang artistik, pencahayaan yang menimbulkan mood dan suasana, latar lanskap yang boleh menangkap atau memukau pandangan dan sebagainya.

Semua hal itu memang tidak ketara dalam PYCC. Lalu apa yang ketara? Yang ketara ialah perwatakan Pok Ya yang dilakonkan oleh Sabri Yunus sendiri. Memang pada diri Pok Ya itu ada keistimewaannya. Bukan saja istimewa kerana seorang lelaki berusia 40-an atau 50-an berkahwin perempuan muda belasan tahun yang cantik, tetapi istimewa yang sehingga seorang peguam kaya yang tinggal di Kuala Lumpur terpaksa balik ke kampung di Kelantan mencari Pok Ya untuk dibawa ke Kuala Lumpur bagi mencari anak perempuannya yang hilang.

Dan istimewanya Pok Ya bukan sebagai bomoh mencari orang hilang dengan ilmu jampi serapah tetapi dengan ketokohan dan kehebatannya sebagai seorang ‘gedebe’ yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah manusia yang biasanya berkait dengan dunia samseng atau gengstar, melalui hubungannya dengan orang-orang muda yang menghormatinya dan sanggup bekerja membantu mengikut arahannya.

Maka saya merumuskan PYCC jadi fenomena kerana perwatakan Pok Ya itu yang dilakonkan dengan bersahaja tetapi cemerlang oleh Sabri Yunus. Pok Ya lakonan Sabri itu bukan gedebe sebarang gedebe tetapi itulah manusia gedebe yang dihormati dan disanjungi rakyat Kelantan. Gagah, berani, keras tetapi di dalamnya ada kelembutan dan kasih sayang. Ada kelebihannya dan ada kekurangannya.

Selain itu sebutan “Cong Codei” (sebutan salah oleh Pok Ya terhadap ejaan ‘Concorde’) itu sendiri juga adalah suatu tarikan kepada orang ramai. Saya sendiri pun. Ia seperti memberi sentuhan magik kepada filem itu, yang saya percaya Sabri pun tak menjangkanya.

Dalam prosesnya menghasilkan sekian banyak filem sehingga kini, dengan minat dan cintanya yang mendalam terhadap seni dan budaya Kelantan, saya kira Sabri telah menemui dan mensebatikan dan mensenyawakan dirinya dengan watak Pok Ya itu hingga orang Kelantan telah melihat Pok Ya gedebe itu di dalam diri Sabri. Kini Sabri itulah Pok Ya dan Pok Ya itulah Sabri. Andainya filem ini dilakonkan oleh orang lain ia tak akan diminati seperti itu.

Melalui PYCC Sabri telah berjaya mengangkat realiti kehidupan dan budaya rakyat Kelantan ke peringkat nasional. Ini suatu kejayaan besar, yang turut member kebanggaan kepada orang Kelantan.
Seperti dibincangkan dalam wacana petang Selasa lalu, Sabri telah mengangkat realiti ke dalam filem, seperti yang dilakukannya dalam beberapa filem sebelum ini, tetapi dalam PYCC inilah dia menyempurnakannya.

Dan mengangkat realiti ke dalam filem bukanlah satu kerja mudah. Ia memerlukan kemahiran tersendiri. Sabri telah melepasi kesukaran itu, dan dia telahpun menemui gaya penceritaannya atau naratifnya sendiri, dan malah bahasa filemnya sendiri.

Dan Sabri secara sedar memilih rakyat dan budaya Kelantan sebagai bahan utama penceritaan filem-filemnya (saya sebut filem sahaja walaupun kategorinya ialah drama tivi). Di sini saya melihat dan membandingkan kesenimanan Sabri Yunus dengan kesenimanan para sasterawan yang bercerita dan mengangkat realiti masyarakat ke dalam karya sastera – novel dan cerpen.

Maka tentulah wajar kalau para pengkaji seni-budaya dan sastera kita mula memberikan perhatian kepada kerja-kerja seni yang dilakukan oleh Sabri Yunus!

Secara berseloroh dalam wacana Abim itu saya katakan juga bahawa faktor lain mengapa minat orang ramai begitu besar terhadap Pok Ya ialah kerana watak manusia gedebe istimewa ini ditampilkan tepat pada waktu masyarakat Malaysia sedang kehilangan kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin yang ada di sekeliling mereka, di peringkat bawah hinggalah ke peringkat atas.

Pok Ya hadir membawa perwatakan pemimpin yang diperlukan masyarakat Malaysia sekarang. Suatu kebetulan. Tetapi terlepas dari konteks itu, perwatakan Pok Ya Cong Codei sebenarnya kalau diamat-amati adalah suatu perwatakan yang agak istimewa dan unik dalam khazanah kesenian dan kesusasteraan Melayu.

Saya teringatkan watak lain yang istimewa begitu ialah watak Utih dalam karya teater Usman Awang. Ini menyebabkan saya melihat serius kerja seni Sabri yang PYCC merupakan karya filem/drama tivinya yang ke-22, bermula dengan “Sanggul Beracun” (2011) yang mengejutkan peminat-peminat filem dengan beberapa keistimewaan bagi filem pertama seorang pengkarya.

Sanggul Beracun mendapat anugerah skrin 2012 bagi kategori drama terbaik, sinematografi terbaik, skrip terbaik dan pengarah terbaik.


















Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.